Keputusan seorang ibu berbangsa Cina, Zhu Er Chan, menghantar anak lelakinya ke Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sudah ada beberapa kali institusi pendidikan prasekolah itu menerima pelajar sebegitu.
Seorang guru Pasti Nur Iman 3 di Cha'aah, Norjamiah Ayob, mereka memang terbuka menerima kehadiran pelajar berusia tiga tahun, Low Zi Kang - atau Kang Kang - untuk diasuh di situ.
Sejak awal, kata guru berusia 40 tahun itu, semua guru Pasti terbabit menerima baik kehadiran Kang Kang.
"Malah kami menyayangi dan melayan dia sama seperti anak murid lain, tak ada beza," katanya kepada Malaysiakini.
Sebelum ini tular kisah Zhu, 31, yang memilih untuk menghantar anaknya ke pusat pendidikan prasekolah dikendalikan PAS dan menarik perhatian ramai.
Asalnya Zhu membuat keputusan tersebut kerana perlu mencari tempat untuk menjaga anaknya untuk seketika sementara dia perlu pulang ke kampung bagi menyelesaikan suatu urusan.
Zhu memberitahu dia perlu berada di kampung tersebut selama kira-kira tiga bulan.
Kebetulan, Pasti Nur Iman 3 itu berada paling hampir dengan rumahnya. Justeru dia bertanya kepada pihak tadika berkenaan sama ada mereka sedia menerima Kang Kang atau tidak.

Ternyata Pasti tersebut membuka pintunya untuk sesiapa saja yang berminat tanpa mengambil kira latar bangsa, agama atau budaya masing-masing.
Norjamiah - atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mia - berkata pendekatan yang diambil Pasti ialah melihat kepada keperluan seseorang pelajar, termasuk aspek suasana harian masing-masing.
Walaupun menekankan pendidikan Islam, Norjamiah berkata, mereka tidak memaksa pelajar untuk mengikut secara rigid apa yang ditetapkan. Apatah lagi jika melibatkan pelajar bukan Islam.
Dalam keadaan begitu, katanya, Kang Kang cepat menyesuaikan diri dan aktif di kelas.
“Unsur rutin Islam pula saya perkenalkan melalui suasana sekolah seperti membaca doa, adab berpakaian dan tingkah laku yang baik tanpa melibatkan aspek ibadah khusus Muslim untuk Kang Kang,” katanya.
Beri pengiktirafan pelajar bukan Islam
Dia berkata ibu bapa Kang Kang kini sedia maklum mengenai silibus dan semua aktiviti di Pasti yang turut menekankan pembentukan sahsiah di samping penekanan aspek akademik.
“Guru-guru mengajar nilai yang baik seperti menghormati guru, bersalaman, berbahasa sopan dan berdisiplin. Ini memang rutin kami setiap hari,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Pasti Johor, Nazirul Munir Puniran, berkata keputusan Zhu menghantar anaknya ke institusi itu mencerminkan sifat terbuka mereka sejak sekian lama.
“Kami mengalu-alukan kedatangan semua masyarakat Malaysia untuk menghantar anak masing-masing ke Pasti kerana Pasti bukan khusus untuk Melayu Islam sahaja,” katanya.

Tambah Nazirul, dasar Pasti adalah jelas iaitu membenarkan kemasukan pelajar bukan Islam bersama penekanan kepada nilai sejagat dan pembentukan sahsiah.
“Polisi Pasti jelas iaitu mendidik anak-anak sejak di peringkat awal dengan acuan Islam, namun pada masa yang sama bersikap terbuka, berakhlak dan menghormati kepelbagaian masyarakat.
"Tiada unsur paksaan agama, sebaliknya penekanan diberikan kepada pembentukan sahsiah, disiplin dan nilai murni sejagat,” ujarnya.
Nazirul turut menjelaskan Pasti Johor sebelum ini pernah menerima dan mengiktiraf beberapa pelajar bukan Islam.
Misalnya, kata Nazirul, pada 2024 pihaknya memberikan anugerah Pasti Pilihanku kepada dua orang pelajar berbangsa India di Iskandar Puteri dan pelajar Cina di Pontian.

Pengiktirafan itu diberi Pasti Johor kerana kedua-dua pelajar terbabit menamatkan pendidikan masing-masing pada 2023.
"Tahun 2025 juga kami ada menerima pelajar berbangsa India di Pasti Simpang Renggam,” katanya.
Mengulas apa yang berlaku di Pasti Cha'ah, Nazirul menyifatkan isu ia sebagai gambaran positif tentang keharmonian masyarakat majmuk yang ada di Malaysia.
Katanya keputusan seorang ibu bukan Islam memilih Pasti menunjukkan bahawa nilai kepercayaan, kualiti pendidikan dan suasana pembelajaran yang baik mampu melangkaui batas kaum dan agama.
Pada masa sama Nazirul menegaskan Pasti tidak seharusnya dilihat sebagai tempat paksaan ke atas seseorang untuk menerima Islam.
“Pasti bukan medan pemaksaan, sebaliknya medan mendidik anak-anak dengan nilai kemanusiaan, akhlak dan disiplin,” katanya.
