PARLIMEN | Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin menegaskan pergolakan politik yang berlaku di Perlis baru-baru ini telah diselesaikan mengikut lunas Perlembagaan.
Katanya, masalah politik di Perlis, termasuk kejatuhan menteri besar Mohd Shukri Ramli serta pertelingkahan antara Bersatu dan PAS, diselesaikan sepenuhnya melalui peranan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail selaras dengan perlembagaan.
“Jadi apa pun masalah sudah pun diselesaikan,” katanya sewaktu sesi perbahasan titah Yang Di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, RSN Rayer (PH-Jelutong) bangkit mencelah dan bertanyakan kepada Muhyiddin sama ada dia setuju bahawa kestabilan politik membolehkan Malaysia mengharungi pelbagai cabaran, termasuk berkaitan perjanjian timbal balas dengan Amerika Syarikat (AS), berbanding ketidaktentuan politik seperti di Perlis.
Muhyiddin yang juga bekas perdana menteri berkata walaupun terdapat pandangan yang mengaitkan kestabilan negara dengan perjanjian tersebut, usaha mengungkit isu Perlis disifatkannya tidak berasas dan mempunyai niat yang tidak baik.
“Tak berapa relevan dengan apa yang sedang kita bincangkan. Sengaja nak bangkitkan isu ini untuk menunjukkan niat dan hasrat yang saya fikir tidak baik,” katanya.
Menurutnya, penyelesaian kepada masalah yang melanda PN itu juga membuktikan bahawa Perlis kekal sebagai sebuah negeri yang berdaulat dan stabil.
“Perlis tak hancur. Perlis adalah sebuah negeri yang berdaulat dan telah pun kita selesaikan secara bijaksana,” katanya.
Mohd Shukri Ramli yang juga anggota Jawatankuasa PAS, sebelum ini meletakkan jawatan sebagai menteri besar.

Dia terpaksa berundur selepas gagal mendapat sokongan majoriti ahli DUN.
Mohd Shukri meletakkan jawatan selepas lapan perakuan berkanun (SD) yang dikemukakan Adun Perlis, dengan tiga daripadanya ditandatangani oleh Saad, Fakhrul Anwar dan Mohd Ridzuan.
PAS kemudian memberhentikan keanggotaan ketiga-tiga Adun terbabit. PAS menganggap kejadian tersebut – yang menyaksikan Adun Bersatu menjadi menteri besar – sebagai pengkhianatan.
Ia juga sempat menimbulkan ketegangan hubungan antara PAS dan Bersatu sehingga membawa kepada desakan agar Muhyiddin melepaskan jawatan sebagai Pengerusi PN.
PAS kemudian menegaskan bahawa mereka akan mengambil alih kepimpinan gabungan tersebut daripada Bersatu. Bagaimanapun setakat ini kedudukan Muhyiddin sebagai pengerusi Bersatu serta siapakah penggantinya – jika peletakan jawatan tersebut disahkan – masih menjadi tanda tanya.
