Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isteri pastor Koh rayu keputusan benar k'jaan tangguh bayar RM38 juta
Diterbitkan:  Jan 28, 2026 3:21 PM
Dikemaskini: 7:21 AM

Isteri Pastor Raymond Koh, Susanna Liew, mengarahkan peguamnya merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang membenarkan kerajaan menangguhkan bayaran ganti rugi berjumlah RM38 juta kepadanya.

Hakim Mahazan Taib pada 26 Jan lalu membenarkan permohonan kerajaan menangguhkan pembayaran kepada Koh dan Liew, serta menangguhkan siasatan semula kehilangan Koh.

Penangguhan itu diberikan sementara menunggu rayuan kerajaan terhadap perintah mahkamah terdahulu yang dibuat oleh Hakim Su Tiang Joo tahun lalu.

Susulan itu, Liew hari ini menyuarakan kebimbangannya dan berkata keputusan Mahazan amat membimbangkan serta penangguhan tersebut amat merugikan.

“Selama lapan tahun, saya hidup tanpa suami saya yang menyara hidup saya — dan tanpa sokongan kewangan yang mencukupi. Kini, dinafikan jumlah yang sah diberikan oleh Hakim Su menambah lagi ketidakadilan terhadap saya.”

“Yang paling menyakitkan saya, perintah penangguhan Hakim Mahazan tidak mengecualikan bahagian penting penghakiman Su, iaitu perintah untuk menyambung semula siasatan mengikut cadangan pasukan khas dan melaporkan perkembangan kepada Pejabat Peguam Negara setiap dua bulan bagi mendedahkan lokasi suami saya.”

“(Perintah penangguhan itu) telah menghentikan siasatan yang diperintahkan oleh seorang hakim yang mendengar perbicaraan selama bertahun-tahun, mendengar semua saksi, meneliti semua bukti, dan membuat keputusan yang teliti dan beralasan.

“Dengan segala hormatnya, bagaimana seorang hakim yang tidak mendengar daripada saksi atau menilai bukti boleh menghentikan perintah siasatan yang dibuat oleh hakim perbicaraan yang telah melakukannya?” katanya.

Siasatan segera

Liew menegaskan kes kehilangan orang memerlukan tindakan segera dan siasatan untuk mengetahui lokasi suaminya mesti diteruskan sekarang, bukan ditangguh.

Dia berkata, seiring masa berlalu, ingatan semakin pudar, saksi berpindah atau meninggal dunia, dan peluang untuk mendedahkan kebenaran semakin berkurang.

“(Defendan) tidak pernah memohon penangguhan sebelum hakim perbicaraan, malah tidak menimbulkan isu penangguhan semasa permohonan pelantikan Amanah Raya Berhad.

"Terdapat petunjuk bahawa pembayaran akan dibuat mengikut penghakiman, terutama memandangkan jaminan pemegang amanah untuk membayar balik jika rayuan berjaya. Hanya selepas Su bersara, defendan membuat permohonan untuk penangguhan.

“Pihak-pihak tidak boleh memilih forum mereka sendiri. Jika penangguhan benar-benar diperlukan, ia sepatutnya dipohon terus kepada hakim perbicaraan,” katanya, sambil berharap mendapat tarikh pendengaran awal di Mahkamah Rayuan dan agar perintah Su dikembalikan.

Penghakiman Su Tiang Joo

Liew memfailkan saman berhubung kehilangan Koh pada 13 Feb 2020, dengan menamakan 13 pihak termasuk kerajaan, Ketua Polis Negara (IGP), bekas IGP Khalid Abu Bakar dan Fuzi Harun, serta beberapa pegawai polis lain sebagai defendan.

Pada 5 Nov tahun lalu, Su memerintahkan defendan membayar RM10,000 setiap hari kepada Koh, bermula dari tarikh penculikannya pada 13 Feb 2017, sehingga dia ditemui.

Dia juga memerintahkan RM4 juta ganti rugi dan RM1 juta ganti rugi teruk atas kelewatan penemuan Koh, serta RM1 juta ganti rugi teladan kerana tindakan tidak berperlembagaan yang diambil oleh defendan terhadapnya.

Hakim ketika itu menyatakan bahawa dia tidak “mengeluarkan angka itu begitu sahaja” dan mengaitkan jumlah itu dengan keputusan Mahkamah Rayuan dalam kes penahanan salah.

Dia turut memerintahkan polis membuka semula siasatan terhadap kes itu dan melaporkan perkembangannya kepada Peguam Negara setiap dua bulan.

Jumlah keseluruhan ganti rugi yang perlu dibayar kepada Koh, termasuk ganti rugi harian terkumpul, melebihi RM38 juta pada 26 Jan 2026.

Mahkamah turut memerintahkan sebanyak RM3 juta pampasan berasingan untuk isteri Koh, iaitu RM2 juta ganti rugi am dan teruk atas tekanan mental dihadapinya, serta RM1 juta ganti rugi teladan.

Su juga melantik Amanah Raya Berhad pada 8 Dis untuk menguruskan pampasan wang yang diperintahkan oleh mahkamah bagi Koh, susulan persetujuan antara plaintif dan defendan untuk melantik pemegang amanah awam.

Keputusan Mahazan

Mahazan, pada Isnin, berkata kerajaan berjaya membuktikan wujudnya keadaan khas mengikut Maksud Perintah 45 Kaedah Mahkamah 2012 untuk membenarkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Hakim mendapati bahawa tiada kerugian, dari segi keseimbangan keadilan, terhadap Koh dan isterinya — yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu — sekiranya penangguhan diberikan.

“Ganti rugi itu tidak dibayar kepada responden pertama (Koh) dalam apa jua keadaan. Tiada dakwaan kebankrapan atau pembaziran oleh pihak kerajaan.

“Selain itu, tiada keperluan kewangan mendesak yang ditunjukkan.

“Sebaliknya, penolakan penangguhan akan mendedahkan pemohon kepada akibat pentadbiran dan kewangan yang tidak dapat dipulihkan, walaupun penghakiman kini sedang dalam rayuan.

“Dengan menimbang semua keadaan, saya berpuas hati bahawa keseimbangan keadilan jelas memihak kepada mengekalkan status quo sementara menunggu keputusan rayuan,” kata hakim.

Koh diculik oleh sekumpulan lelaki di sepanjang Jalan SS4B/10, Petaling Jaya ketika dalam perjalanan ke rumah seorang kawan. Dia berumur 62 tahun pada waktu itu.

Rakaman CCTV yang dipercayai berkaitan insiden itu menunjukkan sekurang-kurangnya 15 lelaki dan tiga SUV hitam terlibat dalam penculikan Koh.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS