Dalam banyak penulisan saya terkait pendidikan, saya sering berhujah bahawa pendidikan tidak boleh difahami semata-mata sebagai instrumen mobiliti sosial atau keperluan ekonomi. Pendidikan, pada hakikatnya, ialah proses pembentukan insan dan “satu amanah moral yang menentukan bukan sahaja apa yang diketahui oleh seseorang, tetapi siapa dia akhirnya menjadi.” Dari sudut ini, setiap pelan pendidikan nasional bukan sekadar dokumen perancangan, tetapi pernyataan nilai tentang cara sesebuah negara melihat manusia dan masa depannya.
Pelan Pendidikan Baharu Malaysia (2026–2035) hadir dengan bahasa yang mencerminkan kesedaran terhadap cabaran zaman: ketidaksamaan, kualiti dan ketahanan sistem. Namun, seperti yang sering saya tekankan dalam wacana pendidikan awam, persoalan paling penting bukanlah sejauh mana cita-cita itu dirumuskan, tetapi sejauh mana kita berani menyusun semula keutamaan berdasarkan hakikat pendidikan yang sebenar.
Dalam konteks ini, sektor prasekolah swasta, masih berada di pinggir (peripheral) perbincangan dasar. Ia sering dianggap sebagai sokongan awal, bukan tapak pembentukan. Pendekatan ini mencerminkan kecenderungan lama dalam sistem kita: memberi tumpuan kepada struktur formal dan birokrasi, sambil mengabaikan realiti bahawa sebahagian besar pengalaman pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia sebenarnya berlaku di luar sistem prasekolah awam.
Hakikat yang perlu diakui ialah majoriti kanak-kanak Malaysia memasuki dunia pendidikan melalui prasekolah swasta. Dengan lebih 3,000 cawangan prasekolah swasta beroperasi di seluruh negara, menggaji lebih 100,000 pendidik awal kanak-kanak dan mendidik antara 650,000 hingga 700,000 kanak-kanak setiap tahun, sektor ini bukan entiti pinggiran. Ia merupakan arus perdana pendidikan awal di Malaysia. Di ruang inilah kanak-kanak mula mengenal bahasa ilmu, disiplin sosial, rasa ingin tahu dan makna pembelajaran, iaitu unsur asas yang akan membentuk perjalanan pendidikan mereka seterusnya.
Pendidikan awal bukan sekadar persediaan akademik. Ia adalah medan pembentukan makna. Di sinilah kanak-kanak belajar sama ada ilmu itu sesuatu yang menghidupkan atau menakutkan, sama ada soalan diraikan atau ditekan, sama ada kesilapan dilihat sebagai peluang pembelajaran atau kegagalan yang perlu dihukum. Dalam kerangka pemikiran yang sering saya bawa, di sinilah pendidikan sama ada membebaskan atau menjinakkan manusia sejak awal.
Apabila sektor sebesar dan sepenting ini tidak diangkat sebagai teras dalam reka bentuk dasar nasional, kita sebenarnya sedang membina reformasi dari hujung, bukan dari akar. Pembaharuan seperti kemasukan pilihan kanak-kanak enam tahun ke Tahun Satu, walaupun berniat baik, tidak boleh dinilai secara terpisah daripada keseluruhan ekosistem pendidikan awal. Bagi banyak prasekolah swasta, kumpulan umur ini merupakan tunjang kelangsungan institusi, kestabilan tenaga pengajar dan kesinambungan pedagogi. Dasar yang gagal mengambil kira realiti lapangan ini berisiko menghasilkan kesan yang bertentangan dengan matlamat asalnya.
Cara libatkan sektor prasekolah swasta
Di sinilah pentingnya mengubah cara kita melibatkan sektor prasekolah swasta dalam perancangan pendidikan negara. Selama ini, pemain industri ini sering dilihat sekadar sebagai pihak berkepentingan yang hanya dirujuk apabila diperlukan sahaja oleh pihak KPM melalui sesi libat urus terpencil, rundingan atau maklum balas terhad. Pendekatan ini tidak lagi memadai. Bagi sektor yang mendidik ratusan ribu kanak-kanak dan menggaji puluhan ribu pendidik, mereka wajar diiktiraf sebagai narasumber utama dan rakan strategik dalam merangka serta melaksanakan Pelan Pendidikan Baharu.
Pemain industri prasekolah swasta bukan sekadar pelaksana dasar; mereka ialah penjaga pengalaman pendidikan awal yang sebenar. Mereka memahami cabaran perkembangan kanak-kanak, realiti pedagogi harian, tekanan kos operasi, isu pengekalan pendidik, serta hubungan kompleks dengan ibu bapa dan komuniti setempat. Pengetahuan ini bukan bersifat konseptual semata-mata, tetapi lahir daripada pengalaman bertahun-tahun di bilik darjah prasekolah sebagai ruang pembentukan insan yang paling awal dan paling rapuh.
Jika Pelan Pendidikan Baharu Malaysia ingin berakar pada realiti, maka penglibatan sektor prasekolah swasta mesti bergerak daripada pelanggan dan konsultasi terpencil berkala kepada “ko-reka bentuk dasar”. Ini menuntut mekanisme yang lebih tersusun dan berinstitusi. Antaranya ialah penubuhan “Majlis Pendidikan Awal Kanak-Kanak Negara” yang menggabungkan kerajaan rentas kementerian, pengusaha prasekolah swasta, pendidik, pakar perkembangan kanak-kanak dan wakil ibu bapa sebagai rakan setara dalam perumusan dasar. Majlis ini tidak seharusnya bersifat simbolik dan ad-hoc, tetapi diberi mandat jelas untuk menilai implikasi dasar, merangka piawaian kualiti yang realistik, serta memantau pelaksanaan dasar di lapangan sehingga akhir tahun pelan.
Selain itu, pendekatan “tadbir urus bersama (co-governance)” wajar diteroka dalam aspek-aspek kritikal seperti pembangunan kurikulum pendidikan awal, latihan dan profesionalisme pendidik, serta pengurusan peralihan dasar seperti kemasukan awal ke Tahun Satu. Dalam kerangka ini, sektor prasekolah swasta tidak hanya menerima dasar yang telah dimuktamadkan, tetapi terlibat sejak peringkat awal perancangan, sekali gus membina rasa pemilikan bersama terhadap kejayaan pelan tersebut.
Pengiktirafan sektor prasekolah swasta sebagai rakan strategik juga merupakan soal keadilan epistemik, iaitu keadilan dalam mengiktiraf sumber pengetahuan. Dalam sistem pendidikan yang matang, pengetahuan tidak dimonopoli oleh birokrasi atau pakar dasar semata-mata. Ia turut lahir daripada amalan, pengalaman dan kebijaksanaan lapangan. Menafikan suara pemain industri prasekolah swasta bermakna menafikan satu sumber pengetahuan yang penting dalam memahami bagaimana pendidikan awal benar-benar berlaku.
Dari sudut pelaksanaan, dasar yang dirangka tanpa rasa pemilikan bersama jarang bertahan. Pelan pendidikan yang berjaya memerlukan rakan pelaksana yang melihat diri mereka sebagai sebahagian daripada misi nasional, bukan sekadar penerima arahan. Dengan melibatkan sektor prasekolah swasta sebagai rakan strategik sejak awal, negara bukan sahaja meningkatkan kualiti dasar, tetapi juga membina kepercayaan, komitmen dan keberlanjutan dalam pelaksanaannya.
Horizon masa, keberanian moral
Akhirnya, persoalan sebenar yang dihadapi oleh Pelan Pendidikan Baharu Malaysia ialah persoalan horizon masa dan keberanian moral. Pendidikan awal kanak-kanak tidak boleh ditadbir melalui dasar jangka pendek atau libat urus episodik. Ia memerlukan perancangan jangka panjang terhadap latihan guru, pengiktirafan profesional, struktur imbuhan dan laluan kerjaya, di mana semuanya bergantung kepada kerjasama tulen dan erat antara kerajaan dan pemain lapangan.
Pembaharuan pendidikan tidak bermula di Tahun Satu. Ia bermula apabila negara memilih untuk menghormati fasa awal kehidupan sebagai amanah yang paling rapuh dan paling menentukan. Di dalam bilik darjah prasekolah (di mana kebanyakannya dikendalikan oleh pihak swasta) terletak asas kepada daya fikir, empati dan keberanian moral generasi masa depan.
Jika Malaysia benar-benar ingin membina sistem pendidikan yang berjiwa, adil dan bermaruah, sektor prasekolah swasta tidak boleh terus dilihat sebagai pelengkap pinggiran. Ia mesti diangkat sebagai sebahagian daripada teras pemikiran dan pelaksanaan pendidikan negara. Kejayaan Pelan Pendidikan Baharu Malaysia (2026–2035) akhirnya akan ditentukan oleh kesediaan kita untuk merangka dan melaksanakannya bersama mereka yang memahami pendidikan awal bukan dari jauh, tetapi dari dekat, iaitu di bilik darjah prasekolah, setiap hari.
MASZLEE MALIK mantan menteri pendidikan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
