Peguam Sangeet Kaur Deo mempersoalkan ketelusan siasatan kerajaan terhadap bekas peguam negara Apandi Ali, selepas didedahkan awal minggu ini bahawa siasatan polis berhubung peranannya dalam membantu skandal 1MDB diklasifikasikan sebagai "tiada tindakan lanjut" (NFA).
Pada 27 Jan, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan bertulis di parlimen menyatakan bahawa kertas siasatan terhadap Apandi, yang dimulakan pada Julai 2022, ditutup dan diklasifikasikan sebagai NFA pada 5 Oktober tahun yang sama.
Sangeet meluahkan kebimbangan serius berhubung perkara itu dengan memetik bagaimana mahkamah sivil mengesahkan bukti mengenai pengendalian tidak wajar Apandi dalam skandal 1MDB.
Perkara itu, katanya, termasuk membatalkan siasatan SPRM terhadap bekas perdana menteri Najib Razak dan menolak desakan agar Najib didakwa.
“Ini bukan perkara kecil, namun laporan polis yang timbul daripada dapatan ini disiasat dan ditutup sebagai NFA dalam tempoh beberapa bulan sahaja, tanpa sebarang penjelasan awam yang jelas,” katanya.
“Dalam saman fitnah sivil yang dibawa oleh individu persendirian, mahkamah mengakui bahawa terdapat persoalan serius dan munasabah dibangkitkan mengenai penutupan siasatan 1MDB.
“Adakah siasatan polis terhadap perkara ini dijalankan dengan tahap penelitian yang sama? Kerajaan ini mesti memberikan butiran tentang apa yang sebenarnya disiasat dan juga menjelaskan mengapa siasatan ini dijalankan dan ditutup dengan begitu tergesa-gesa,” tambahnya.

Apandi, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, dilantik sebagai peguam negara ketika era Najib pada 2015 selepas peguam negara sebelum itu, Abdul Gani Patail dipecat secara tiba-tiba daripada jawatannya.
Ini dikatakan menjadi permulaan kepada siri tindakan oleh peguam negara ketika itu dalam tempoh tiga tahun berikutnya, dari 2015 hingga 2018, yang menghalang siasatan ke atas 1MDB dan melindungi Najib.
Pada Mei 2022, Apandi kalah dalam saman fitnah terhadap ahli politik veteran DAP Lim Kit Siang, berhubung satu artikel yang menurut bekas peguam negara itu memberi gambaran dia terlibat dalam skandal kewangan 1MDB, tidak mempunyai moral dan integriti, tidak beretika, serta menyalahgunakan kuasa.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Lim mempunyai alasan kukuh dalam membangkitkan isu tersebut selepas sabitan Najib dalam kes SRC International. Keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.
Keputusan Mahkamah Tinggi itu juga membuka jalan kepada siasatan polis terhadap Apandi yang dilancarkan pada Julai 2022.
Bagaimanapun, sehingga pendedahan Saifuddin pada Selasa lalu, tiada sebarang kemas kini mengenai siasatan itu diumumkan kepada awam.
Pada Disember, Sangeet dan bekas anggota parlimen Klang Charles Santiago membangkitkan persoalan mengenai status siasatan polis terhadap Apandi, selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendapati Najib bersalah atas keempat-empat pertuduhan salah guna kuasa dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan skandal 1MDB.
