Mulai 2027, Malaysia akan melaksanakan perubahan dasar yang kelihatan kecil tetapi mempunyai dampak yang besar: kanak-kanak enam tahun dibenarkan memasuki Tahun Satu.
Di atas kertas, ia kelihatan selari dengan perkembangan global dan saranan pakar pembangunan awal kanak-kanak. Namun, dalam realiti pelaksanaan, dasar ini akan menguji keupayaan dan kemampuan sistem pendidikan negara khususnya dari segi kapasiti, keadilan dan tadbir urus.
Perubahan umur kemasukan ini tidak berlaku dalam ruang hampa. Ia bersilang secara langsung dengan realiti demografi negara. Statistik Jabatan Perangkaan menunjukkan terdapat 439,744 kelahiran hidup pada tahun 2021, menurun daripada 471,504 pada tahun 2020. Kanak-kanak inilah yang akan menjadi kumpulan pertama memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun menjelang 2027.
Soalan pokoknya bukan sama ada dasar ini wajar, ia sudah pasti akan dilaksanakan!
Persoalannya ialah sama ada sistem pendidikan awam dan juga swasta benar-benar bersedia?
Pada masa ini, sistem sekolah rendah awam menyerap sekitar 400,000 murid Tahun Satu setiap tahun, disokong oleh lebih 230,000 guru sekolah rendah di ribuan sekolah di seluruh negara. Ini mencerminkan kekuatan institusi pendidikan awam Malaysia. Namun, ia juga mendedahkan batas keupayaan sistem untuk berkembang secara mendadak, terutama di kawasan berpenduduk padat dan berpermintaan tinggi.
Jika permintaan tempat sekolah meningkat melebihi keupayaan sedia ada, sama ada disebabkan taburan kelahiran yang tidak seimbang, migrasi dalaman, atau pilihan ibu bapa, tekanan itu tidak dapat dielakkan.
Dalam keadaan ini, sektor sekolah swasta tidak boleh lagi berada di pinggir sistem. Ia wajib menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Ia wajib mengisi ruang dan peluang yang ada demi menyahut seruan reformasi pendidikan negara!
Namun, peranan sekolah swasta tidak boleh dilihat semata-mata sebagai penampung lebihan murid. Ia mesti dilihat sebagai pelengkap strategik kepada sistem sekolah kerajaan dengan tanggungjawab sosial yang jelas.
Data sebagai asas, bukan retorik
Malaysia sebenarnya memiliki kelebihan penting: data.
Melalui OpenDOSM, negara mempunyai rekod terperinci kelahiran hidup mengikut negeri. Data ini membolehkan perancangan kapasiti dibuat secara tepat dan bersasar. Kita boleh mengenal pasti negeri, daerah dan kawasan perumahan yang akan mengalami tekanan kemasukan paling tinggi, dan merancang intervensi lebih awal.
Negeri-negeri berpenduduk besar seperti Selangor dan Johor, misalnya, hampir pasti menanggung beban tambahan yang ketara. Tanpa perancangan rapi, tekanan ini boleh diterjemahkan kepada kelas yang sesak, beban guru yang meningkat, dan kualiti pembelajaran yang terjejas dan akhirnya membawa kepada suatu situasi yang tidak adil kepada murid dan guru.
Di sinilah sektor swasta mempunyai ruang untuk memainkan peranan yang konstruktif dan peluang meluaskan pasaran mereka. Walau bagaimanapun ia memerlukan pendekatan yang berbeza daripada sekadar membuka lebih banyak sekolah.
Antara peluang dan perangkap sekolah swasta
Sekolah swasta menawarkan nilai tambah yang sering dicari oleh keluarga kelas menengah (M40): saiz kelas lebih kecil, kurikulum dwibahasa, pendekatan pedagogi alternatif, dan persekitaran pembelajaran yang lebih anjal. Dalam konteks perubahan umur kemasukan ini, permintaan daripada kumpulan M40 dan T20 hampir pasti meningkat.
Namun, pengembangan tanpa hala tuju membawa risiko. Pertama, risiko kualiti. Pertumbuhan pantas tanpa pelaburan serius dalam latihan guru dan kawalan akademik hanya akan mencairkan mutu pendidikan. Kedua, risiko ketaksamaan. Jika sekolah swasta berkembang hanya untuk mereka yang mampu membayar, Malaysia berdepan bahaya pembentukan sistem pendidikan dua lapis, satu untuk yang mampu, satu lagi untuk yang terpinggir.
Pendidikan tidak boleh menjadi komoditi tanpa nilai awam. Di sinilah kebertanggungjawaban sektor swasta menjadi ujian sebenar.
Lima keutamaan untuk sekolah swasta
Saya ingin menggariskan lima keutamaan yang perlu dilakukan oleh pengendali sekolah-sekolah swasta di waktu ini:
Pertama, pengembangan berasaskan data, bukan spekulasi. Keputusan membuka sekolah atau cawangan baharu mesti dipandu oleh data demografi sebenar, bukan sentimen pasaran semata-mata.
Kedua, model penyampaian yang fleksibel. Saiz sekolah yang besar bukan satu-satunya jawapan. Model satelit, pembelajaran hibrid, dan penggunaan ruang komuniti boleh menambah kapasiti tanpa kos modal yang melampau.
Ketiga, pelaburan serius dalam guru. Guru ialah teras kualiti. Sekolah swasta perlu membangunkan laluan latihan, pensijilan pantas dan pembangunan profesional berterusan, bukan sekadar merekrut secara ad hoc. Dalam ranah ini, OUM boleh memainkan peranan mereka dengan segala pakej latihan dan akreditasi yang mereka tawarkan kepada para guru di sekolah swasta dan kerajaan.
Keempat, kerjasama dengan kerajaan, bukan persaingan membuta tuli. Perkongsian penggunaan fasiliti, penyelarasan rekod murid, dan standard kualiti bersama wajib diusahakan antara pihak sekolah kerajaan dengan pihak sekolah swasta. Kerjasama ini boleh mengelakkan pembaziran sumber dan kekeliruan sistemik.
Kelima, struktur yuran yang berlapis dan beretika. Walaupun sekolah swasta mensasarkan M40, di dalam kekalutan sistemik yang bakal berlaku pada tahun 2027, mereka perlu menyediakan pilihan ansuran, biasiswa terhad, dan komitmen tanggungjawab sosial yang nyata. Pertumbuhan tanpa empati akhirnya akan menghakis kepercayaan awam.
Kawal selia dengan bijaksana
Bagi pihak Kerajaan pula, mereka perlu memastikan rangka kawal selia yang memudah cara, bukan menghalang. Proses akreditasi KPM perlu cekap, perkongsian data dengan semua pihak perlu lebih telus, dan piawaian kualiti guru mesti konsisten merentas semua jenis sekolah demi menjamin output pendidikan di dalam bilik darjah. Pada masa yang sama, sokongan kepada keluarga B40 melalui sistem awam tidak boleh dikompromi.
Dasar yang baik boleh gagal jika pelaksanaan tidak adil. Dan dasar yang progresif boleh menjadi regresif jika ia membesarkan jurang sosial.
Menurunkan umur kemasukan ke Tahun Satu ialah satu ambang baharu dalam dasar pendidikan Malaysia. Ia patut dilaksanakan sejak sekian lama. Kini, ia menjadi kenyataan. Ia bukan sekadar soal umur, tetapi soal kesiapsiagaan sistem dan kejelasan tujuan.
Realitinya, sekolah swasta mempunyai peluang untuk membantu negara, bukan sekadar mengisi kekosongan, tetapi meningkatkan kualiti keseluruhan ekosistem pendidikan. Namun, peluang ini datang bersama tanggungjawab moral seperti yang telah disebutkan sebelum ini.
Jika sektor swasta berkembang dengan visi, integriti dan kesedaran sosial yang jelas, dasar ini boleh menjadi pemangkin pembaharuan. Jika sebaliknya, ia berisiko mengukuhkan ketaksamaan yang sedia ada.
Akhirnya, pendidikan bukan sekadar urusan pasaran. Ia adalah amanah nasional.
“Dasar awam membuka ruang kepada inovasi swasta. Namun inovasi itu hanya bermakna apabila ia berpaksikan kepentingan awam.”
MASZLEE MALIK mantan menteri pendidikan.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
