Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin mencadangkan agar parti itu bergerak solo dalam PRU akan datang jika konflik kepimpinan PN berterusan dan tidak diselesaikan dengan segera.
Hashim berkata dia yakin pendekatan itu akan disambut baik oleh ahli akar umbi PAS, khususnya di Perlis.
"Kalau masing-masing berkeras, kalau tak selesai (masalah), saya kata takkan nak biar, jadi baik bertanding secara solo. Bertanding dulu, selepas itu berdasarkan hasil (PRU), kita rundinglah tubuh kerajaan.
"Kita dah nak hadapi PRU, kalau selesaikan awal (konflik) baguslah," katanya ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.
Hashim diminta mengulas mengenai pertembungan antara PAS dan Bersatu, khususnya dalam soal pelantikan pengerusi PN.
Ia selepas Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin meletakkan jawatannya berkuat kuasa 1 Jan lalu susulan krisis kepimpinan kerajaan Perlis.
PAS sebelum ini menegaskan mahu mengambil alih jawatan itu dan menerajui PN, namun sehingga kini hasrat itu belum tercapai.
Terdahulu, sepucuk surat bertarikh 27 Jan yang bocor, memaparkan Muhyiddin menjelaskan Bersatu dan PAS sepakat untuk memansuhkan jawatan pengerusi PN sebagai langkah penstrukturan semula gabungan itu.

Antara lain, Muhyiddin dalam suratnya yang turut dihantar kepada presiden-presiden parti komponen PN, merujuk kepada satu 'kesepakatan' yang didakwa dicapai dalam pertemuan pada 16 Januari dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan pimpinan PAS lain di kediamannya.
Dia juga mendakwa persetujuan telah dicapai untuk menubuhkan Majlis Presiden yang diterajui Bersatu dan Majlis Eksekutif yang diketuai PAS, serta memansuhkan jawatan pengerusi PN.
Bagaimanapun, Hadi dalam surat yang didakwa sebagai jawapannya kepada Muhyiddin, menyatakan bahawa apa yang dicadangkan Ahli Parlimen Pagoh itu tidak pernah dibincangkan mahupun dipersetujui.
Malam tadi, pemimpin PAS dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat pramajlis yang melibatkan ketua-ketua parti PN yang diadakan di kediaman Muhyiddin.
Sementara itu, Hashim enggan mengulas lanjut ketika ditanya mengenai calon pengerusi PN dari PAS.
"Itu biarlah, kita serah kepada PAS Pusat untuk selesaikan," katanya
