Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Sabah rancang had jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal
Diterbitkan:  Jan 30, 2026 6:43 PM
Dikemaskini: 10:43 AM

Sabah merancang untuk meminda perlembagaan negeri bagi mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada tidak lebih dua penggal, kata Hajiji Noor.

Memetik laporan Bernama hari ini, Ketua Menteri Sabah itu berkata perkembangan politik semasa negeri itu memungkinkan ia dilaksanakan, dengan kerajaan negeri kini mempunyai majoriti dua pertiga di DUN.

Dia mengumumkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Amanat Penjawat Awam Negeri dan Pelancaran Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di Kota Kinabalu hari ini.

Dia berkata kestabilan itu membolehkan perlembagaan negeri dipinda selaras dengan keperluan semasa, antaranya tempoh tidak lebih dua penggal atau 10 tahun untuk jawatan Ketua Menteri.

Katanya lagi, pembaharuan lain yang dicadangkan termasuk menambah bilangan anggota kabinet negeri bagi memenuhi keperluan pentadbiran yang semakin kompleks, serta menukar jawatan pembantu menteri kepada timbalan menteri.

Beberapa kementerian, jabatan, agensi, dan syarikat berkaitan kerajaan negeri turut disusun semula untuk meningkatkan perkhidmatan dan prestasi, katanya lagi.

Menurut Hajiji, langkah tersebut akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan, di samping menjaga kepentingan awam dan negeri.

Selain itu, dia memaklumkan pentadbirannya sedang berusaha mendapatkan pensijilan bagi sistem pengurusan kualiti dan pengurusan antirasuah.

“Perkhidmatan awam mesti terus diperkasa untuk menjamin sistem penyampaian yang efektif dan efisien secara konsisten. 

“Ia bukan hanya kepada agensi perkhidmatan awam tetapi juga kepada semua petugas badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” katanya seperti dipetik.

Kenyataan Hajiji itu hadir ketika isu skandal rasuah berkaitan perlombongan di negeri itu terus diperkatakan.

Hajiji sendiri didakwa terlibat dalam skandal tersebut - yang didedahkan ahli perniagaan Albert Tei sejak tahun lalu - yang turut mengaitkan sejumlah wakil rakyat dan bekas wakil rakyat Sabah. 

Ketua pesuruhjaya SPRM Azam Baki sebelum ini membersihkan Hajiji daripada sebarang perkaitan.

Tei dan dua bekas Adun telah dihadapkan ke mahkamah berkaitan skandal itu.

Skandal itu turut melibatkan pemimpin PKR, Shamsul Iskandar Akin, yang telah didakwa di mahkamah. Dia meletakkan jawatannya sebagai setiausaha politik kanan Perdana Menteri sebaik selepas didakwa terlibat.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS