Setiap kali semester baru semakin hampir, ribuan mahasiswa universiti terpaksa membuat bayaran tanpa kepastian demi jaminan tempat tinggal.
Keputusan penempatan kolej kediaman universiti yang diumumkan lewat hingga mendekati permulaan tempoh pengajian memaksa mahasiswa membayar deposit sewaan rumah atau bilik di luar kampus. Ini menyebabkan penuntut berisiko kehilangan wang deposit jika kemudian mendapat tawaran kediaman di dalam kampus.
Pada sesetengah kes, keputusan dikeluarkan secara berperingkat sepanjang minggu pertama semester, sekali gus mewujudkan tempoh ketidaktentuan yang melampau.
Kelewatan birokrasi ini secara tidak langsung memaksa penuntut ijazah sarjana muda "mempertaruhkan RM500”: membayar deposit dan yuran tempahan, lazimnya antara RM100 hingga RM500, untuk unit sewaan tempat tinggal di luar kampus yang mungkin tidak lagi diperlukan sekiranya mereka kemudiannya mendapat tawaran penginapan dalam kampus, yang secara umumnya lebih murah dan mudah.
Dua siswa tolong siswa
Bagi mahasiswa yang sudah pun bergelut dengan kos sara hidup, ketidakcekapan struktur ini menambahkan beban meneruskan kelangsungan hidup sebagai mahasiswa di ibu negara.
Menginsafi permasalahan ini, dua mahasiswa Universiti Malaya (UM) berganding bahu cuba mengatasi kegagalan pihak pengajian dengan mencari tempat tinggal untuk ribuan rakan mereka yang terpinggir.
Addisesan Nair, 23, dan Abishek Prasad, 25 (gambar bawah) bukan asing dengan mimpi ngeri penantian keputusan perumahan kampus itu malah mereka pernah mengalami sendiri proses permohonan kolej kediaman.

“Kami sedar tiada sokongan untuk mahasiswa yang tercicir apabila tidak mendapat tempat di kolej kediaman.
"Jika pergi ke kesatuan mahasiswa, terdapat banyak proses birokrasi… jadi kami fikir, kenapa tidak? Kami pintaskannya. Kami bina platform sendiri,” kata Addisesan kepada Malaysiakini pada satu temu bual baru-baru ini.
Didorong oleh pengalaman peribadi dan kesedaran bahawa masalah yang didepani bukan terpencil, mereka melancarkan Rent Connect, sebuah platform yang menghubungkan mahasiswa dengan senarai hartanah dan ejen yang disahkan bagi mengelakkan mahasiswa menghadapi minggu pertama kuliah tanpa jaminan perumahan.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi dalam pertemuan dengan Jabatan Hal Ehwal mahasiswa UM, skala kekurangan penginapan adalah ketara. UM kini mempunyai kira-kira 12,300 katil di 13 kolej kediaman. Namun, permintaan jauh mengatasi penawaran.

Menurut pecahan yang diperoleh Malaysiakini, katil sedia ada perlu menampung 6,376 mahasiswa tahun pertama, 3,075 mahasiswa program asasi dan kira-kira 1,000 pemimpin mahasiswa, menjadikan jumlah keseluruhan 10,451 mahasiswa.
Ini meninggalkan kurang daripada 1,000 katil untuk lebih 14,000 mahasiswa senior, sekali gus menutup peluang ramai untuk mendapatkan penginapan dalam kampus.
Situasi inilah yang mendorong Addisesan dan Abishek mengambil inisiatif sendiri.
Platform selamat penyewa mahasiswa
Rent Connect direka untuk menapis senarai sewaan secara manual, menyingkirkan penipuan dan memadankan mahasiswa dengan perumahan mampu sewa di sekitar UM.
Platform ini mengumpul data sewaan daripada portal hartanah utama seperti PropertyGuru dan iProperty, menyusunnya dalam hamparan data bagi mengenal pasti unit yang sesuai dengan bajet dan keperluan mahasiswa.
Bagi melindungi mahasiswa daripada risiko penipuan hartanah, dua pereka ini mengesahkan setiap senarai secara manual dan berhubung terus dengan ejen hartanah bagi memastikan unit tersebut tulen sebelum dikongsi dengan mahasiswa.
Mahasiswa kemudiannya boleh menghubungi Rent Connect melalui WhatsApp, dengan menyatakan kriteria sewaan seperti bajet, jumlah bilik dan jarak pilihan dari kampus.

Berdasarkan data yang dikumpulkan, Addisesan dan Abishek akan mencadangkan secara peribadi senarai yang paling sesuai dengan keperluan tersebut.
“Ia kerja yang memenatkan. Setiap hari, Abishek dan saya bangun dengan lebih 30 mesej daripada mahasiswa yang memerlukan bantuan,” kata Addisesan.
Selain senarai sewaan, Rent Connect turut memberikan panduan kepada penyewa kali pertama tentang cara menyewa dengan selamat dan mengelakkan penipuan.
“Kami cuba mendidik mereka tentang perkara asas ketika menyewa.
“Contohnya, pergi ke laman web hartanah, semak nombor ejen dan sentiasa buat semakan berganda.
“Inilah perkara yang kami sentiasa ingatkan kepada pengguna dalam kumpulan WhatsApp (Rent Connect), kerana secara jujur, itulah yang termampu kami lakukan,” kata Abishek.
Jurang sokongan institusi
Walaupun UM telah mengambil beberapa langkah untuk membimbing mahasiswa mencari perumahan luar kampus, Abishek berkata maklumat yang diberikan sudah lapuk dan komunikasi masih jauh daripada memuaskan.
“Di laman web hal ehwal mahasiswa UM, memang ada sumber untuk membantu mahasiswa mencari penginapan luar kampus.
“Tetapi ia sekadar laman lama yang usang dengan maklumat umum yang boleh diakses sesiapa sahaja,” katanya.

Menurut Abishek, jabatan hal ehwal mahasiswa sendiri mengakui bahawa sebahagian senarai tersebut mungkin merupakan penipuan.
Bagaimanapun, Addisesan menegaskan menghubungkan mahasiswa dengan ejen hartanah hanya menyelesaikan sebahagian kecil daripada masalah struktur yang jauh lebih besar.
Katanya kebanyakan mahasiswa hanya mula mencari penginapan sekitar Ogos atau September, kira-kira satu hingga dua bulan sebelum semester bermula.
Ketika itu, banyak kontrak sewaan di kawasan sekitar, yang biasanya memasuki pasaran sekitar Jun atau Julai, sudah lama ditempah, meninggalkan pilihan yang terhad dan mahal kepada pencari lewat.
Bantu siswa bentuk kongsi
Menurut Addisesan, unit sewaan di kawasan “hotspot” berhampiran universiti boleh mencecah sehingga RM2,000 dalam tempoh ini, jauh di luar kemampuan kebanyakan mahasiswa.
“Kebanyakan permintaan adalah untuk bilik bawah RM500. Tetapi jumlah bilik dalam julat harga itu yang selamat untuk mahasiswa adalah sangat, sangat sedikit.
“Apabila mengambil kira pengangkutan awam seperti akses kepada bas ulang-alik UM atau jarak ke stesen MRT atau LRT, harga akan melonjak lebih tinggi,” jelasnya.

Sebagai alternatif, Rent Connect aktif membantu mahasiswa membentuk kumpulan.
Dengan menggabungkan empat atau lima mahasiswa yang mempunyai bajet serupa, inisiatif ini membolehkan mereka menyewa satu unit secara berkongsi, menjadikan kos lebih mampu ditanggung setiap individu.
Namun, pendekatan ini sering memaksa mahasiswa berkompromi dengan keadaan kediaman, dengan sehingga lapan orang berkongsi unit tiga bilik.
Penyelesaian sementara
Selepas enam bulan beroperasi, inisiatif ini telah membantu mahasiswa yang tercicir mendapatkan lebih 500 unit perumahan.
Addisesan dan Abishek berkata UM juga menyambut baik inisiatif ini dan menyatakan minat untuk bekerjasama secara rasmi dengan Rent Connect. Namun, mereka menegaskan bahawa usaha sementara ini tidak boleh disalah anggap sebagai penyelesaian muktamad.
Mereka menekankan bahawa penyelesaian dipacu mahasiswa tidak boleh menggantikan tanggungjawab institusi, dan universiti perlu tampil dengan pelan jangka panjang yang menyeluruh.
“Platform ini hanyalah penyelesaian jangka pendek. Matlamat jangka panjang ialah membina lebih banyak asrama,” kata Abishek, sambil merujuk kepada peningkatan kemasukan mahasiswa UM yang jauh mengatasi pembangunan penginapan dalam kampus.
Dia berkata masalah berpanjangan itu berpunca akibat peningkatan berterusan pengambilan mahasiswa universiti, yang dijangka mencecah kira-kira 40,000 orang menjelang 2030.
Walaupun kerja naik taraf bilik kuliah dan kemudahan pembelajaran sedang dijalankan, Abishek berkata aspek perumahan sebahagian besarnya terabai, sedangkan ia merupakan keperluan asas untuk mahasiswa menghadiri kelas.
Kekurangan penginapan mahasiswa ini telah diakui di peringkat nasional, dengan perancangan untuk UM diumumkan ketika pembentangan Belanjawan 2026 di Parlimen.
Di bawah belanjawan tersebut, pembangunan perumahan mahasiswa digariskan melalui dua inisiatif utama: perkongsian awam-swasta yang menyaksikan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan universiti mempelopori pembinaan 1,000 unit kediaman sebagai langkah awal, serta pembangunan Kompleks Kediaman mahasiswa baharu dengan anggaran kos RM920 juta.
Walaupun pengumuman itu menandakan komitmen untuk menambah kapasiti perumahan, garis masa pembinaannya masih tidak jelas, menimbulkan persoalan tentang bagaimana isu penginapan semasa akan ditangani.
Malaysiakini juga telah menghubungi UM untuk mendapatkan maklum balas berhubung krisis perumahan dalam kampus, dan sedang menunggu jawapan.
Bagi Addisesan dan Abishek, harapan mereka ringkas – supaya krisis perumahan mahasiswa dipandang serius.
“Apabila universiti menerima seorang mahasiswa, bukankah ia bertanggungjawab memikirkan keperluan mahasiswa itu sepanjang empat tahun pengajian?
“Universiti perlu merancang untuk keperluan ini, tetapi sebaliknya, UM mengutamakan angka pengambilan yang lebih tinggi dan menarik diri daripada tanggungjawab tersebut.
“Apabila itu berlaku, mahasiswalah yang akhirnya menanggung beban,” kata Abishek.
Isu berulang
Di UM, kekurangan penginapan mahasiswa bukanlah isu baru.
Pada 2022, Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya Baharu (Umany) mengkritik universiti itu kerana gagal menyediakan penginapan kepada lebih 9,000 mahasiswa, menyifatkannya sebagai krisis perumahan terburuk dalam sejarah universiti tersebut.
Kumpulan mahasiswa itu mendakwa ramai mahasiswa B40 berprestasi tinggi dinafikan penempatan di kolej kediaman berikutan kekurangan ketelusan dalam proses permohonan.

Pada tahun sama, Universiti Utara Malaysia (UUM) turut berdepan krisis serupa apabila kelewatan dalam proses permohonan asrama menyebabkan lebih 1,000 mahasiswa tidak mendapat penginapan yang disahkan.
Ketika itu, bekas Adun Bakar Arang, Simon Ooi membangkitkan kebimbangan bahawa sebahagian mahasiswa yang tercicir terpaksa menumpang sementara di bilik rakan, masjid, surau, malah koridor kampus.
Pada 2023, Menteri Pengajian Tinggi, Zambry Abdul Kadir, mengakui beberapa universiti awam di seluruh Malaysia bergelut menyediakan penginapan mahasiswa.
Dia dilaporkan berkata kementeriannya akan terus berhubung dengan institusi berkaitan bagi mengenal pasti dan menangani kekurangan perumahan yang mendesak.
Pada November 2025, Ahli Parlimen Klang, V Ganabatirau pula menggesa kerajaan persekutuan membina lebih banyak asrama universiti, dengan alasan terlalu ramai mahasiswa dipaksa menyewa di luar kampus akibat kekurangan berterusan dan kos yang semakin meningkat
[Baca berita asal]
