Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sumber: Gerakan, MIPP setuju majlis presiden, eksekutif ganti jawatan Pengerusi PN

Pemimpin parti kompnen PN yang bermesyuarat di kediaman Muhyiddin Yassin malam kelmarin didakwa setuju dengan cadangan pemerkasaan Majlis Presiden dan pembentukan Majlis Eksekutif dan sekaligus memansuhkan jawatan pengerusi PN.

Menurut sumber, prinsip asas itu dicapai ketika pertemuan antara Presiden Bersatu itu dengan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), P Punithan dan Presiden Gerakan, Dominic Lau.

Melalui perbincangan itu, kata sumber dalaman Bersatu itu lagi, kata sepakat dicapai untuk setiap parti komponen mengemukakan draf pindaan Perlembagaan PN.

Draf itu akan diselaraskan sebelu dibawa ke parti masing-masing dan seterusnya ke mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN, katanya.

"Keputusan itu dicapai semasa perbincangan mengenai hala tuju dan bagaimana nak kukuhkan PN yang berlangsung di kediaman Muhyiddin pada 29 Januari.

"Pengukuhan melalui pemerkasaan Majlis Presiden dan pembentukan Majlis Eksekutif yang memerlukan kepada pindaan Perlembagaan PN. Pindaan ini secara tidak langsung memansuhkan jawatan pengerusi," katanya kepada Malaysiakini.

Dominic Lau

Ketika dihubungi, Lau mengesahkan perkara itu dan menambah ketiga-tiga parti - Gerakan, MIPP dan Bersatu - juga setuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa yang diwakili Setiausaha Agung setiap parti komponen bagi membincangkan pindaan perlembagaan.

“Semua cadangan masih dalam peringkat perbincangan dan sebarang perbezaan pandangan boleh diselesaikan dengan kita semua duduk semeja.

“Kita bincang untuk memperkukuhkan PN dan perpaduan antara empat parti komponen memandangkan PRU sudah tidak lama,” katanya.

Berhubung pemansuhan jawatan Pengerusi PN pula, dia berkata ia juga masih belum muktamad dan masih perlu dibincangkan.

Malaysiakini juga telah menghubungi Punithan untuk mendapatkan respons mereka berkenaan perkara ini.

Pada 29 Januari lalu lalu, pemimpin gabungan PN berkumpul di kediaman Muhyiddin bagi mesyuarat "pra majlis", susulan pembatalan mesyuarat khas MT PN yang dipanggil Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan.

P Punithan

Selain Punithan dan Lau, turut hadir adalah Timbalan Presiden MIPP, S Subramaniam; Naib Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu dan Ketua Penerangan Gerakan, Wendy Subramaniam.

Tiada pemimpin PAS yang hadir. Menurut setiausaha politik Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Syahir Sulaiman, Abdul Hadi tidak dapat menghadiri mesyuarat kerana perubahan jadualnya pada saat-saat akhir, namun menyampaikan pandangannya melalui surat.

Sementara itu, sumber memaklumkan hasil  perbincangan itu akan disampaikan kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

"Jadi, kita tunggu dan lihat apa responnya nanti," katanya lagi.

Belum keputusan muktamad

Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz persetujuan yang dicapai antara Muhyiddin dan Hadi berhubung majlis presiden dan majlis eksekutif adalah “cadangan awal” dan bukannya keputusan muktamad.

Menurutnya, ia hanya akan mejadi keputusan rasmi selepas dibincangkan di peringkat jawatankuasa, diteliti dalam ‘pre-council’ presiden parti dan diluluskan melalui mesyuarat MT PN.

“Kenyataan bahawa penstrukturan semula PN akan menyebabkan jawatan Pengerusi PN dimansuhkan adalah analisis implikasi struktur, bukan pengumuman keputusan.

“(Bagaimanapun) Dalam konteks pembentukan Majlis Presiden dan Majlis Eksekutif, kedudukan Pengerusi PN secara logiknya menjadi tidak relevan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS