Nama Perdana Menteri Anwar Ibrahim muncul dalam kelompok terbaru fail yang dikeluarkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat berkaitan mendiang Jeffrey Epstein.
Nama Anwar tidak dikaitkan dengan sebarang dakwaan salah laku seksual atau lawatan ke pulau terkenal milik mendiang ahli kewangan itu. Sebaliknya, Anwar hanya dibincangkan dalam konteks politik.
Melalui satu emel bertarikh 21 Februari 2012, seorang rakan kongsi Epstein yang identitinya tidak didedahkan menghantar emel bertanya sama ada wajar diatur satu pertemuan antara Anwar dan individu dikenali sebagai “Jes” bagi meneroka potensi manfaat masa depan untuk “JPM”.
JPM merujuk kepada bank Amerika Syarikat, JP Morgan manakala Jes dipercayai merujuk kepada Jes Staley, yang ketika itu merupakan ketua pegawai eksekutif bahagian perbankan pelaburan syarikat berkenaan.

“Patutkah kita aturkan satu pertemuan peribadi antara Jes dan Anwar? Jika beliau menjadi perdana menteri Malaysia, beliau akan membersihkan keadaan dan ini boleh menjadi lombong emas untuk JPM.
“Saya mengenali Anwar dengan baik, sentiasa rapat dengannya selama bertahun-tahun walaupun semua orang mengatakan dia sudah tamat dan tidak mungkin kembali. Keadaannya kini kelihatan berbeza,” kata sekutu Epstein itu pada emel berkenaan.
DOJ telah menyunting identiti pengirim emel tersebut.
Epstein kemudian membalas emel itu dengan mencadangkan satu pertemuan pada bulan Mei, sambil bertanya sama ada Anwar akan ke Amerika Syarikat atau Eropah.

Kemudian, Epstein memberitahu sekutunya itu supaya menawarkan prospek pembikinan filem Hollywood di Malaysia.
“Anda boleh beritahunya bahawa Woody Allen bersama saya di Paris dan banyak negara menawarkan wang kepadanya untuk menghasilkan filem di negara mereka — ‘Midnight in Paris’, ‘(Vicky) Cristina Barcelona’, ‘Bop’, ‘Rome’ dan sebagainya,” katanya.
Dokumen itu berakhir setakat itu sahaja. Tidak diketahui sama ada pertemuan antara Anwar dan Staley akhirnya diadakan, atau jika perdana menteri pernah bertemu Epstein.
Emel menjelang PRU 2013
Pertukaran emel itu berlaku setahun sebelum Pilihan Raya Umum 2013, ketika Anwar mengetuai pakatan pembangkang ketika itu, Pakatan Rakyat, mencatat prestasi pilihan raya yang kuat.
Pada pilihan raya tersebut, walaupun hanya memenangi 89 daripada 222 kerusi Parlimen, Pakatan Rakyat memperoleh 50.9 peratus undi popular. Ia merupakan kali terakhir setakat ini sebuah gabungan tunggal meraih lebih 50 peratus undi dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Ia juga menjadi detik paling hampir Anwar untuk menjadi perdana menteri sebelum dia akhirnya menduduki jawatan itu pada 2022.

Pada ketika itu, Anwar dikatakan popular dalam kalangan tokoh Barat yang melihatnya sebagai pemimpin berfikiran reformis dan sejajar dengan ideal Barat.
Keadaan itu seterusnya mencetuskan teori konspirasi yang mendakwa Amerika Syarikat dan kuasa Barat lain menyokong Anwar untuk melakukan pertukaran rejim.
Anwar perlu beri penjelasan
Sebagai respons terhadap emel Epstein itu, Pemuda Bersatu menggesa perdana menteri memberi penjelasan sama ada dia pernah bertemu ahli kewangan Amerika yang tercemar itu atau individu lain yang disebut dalam perbincangan berkenaan.
“Penjelasan ini wajar diberikan khususnya berkaitan dakwaan bahawa jawatan perdana menterinya dianggap sebagai peluang ‘lombong emas’ untuk sebuah institusi kewangan asing,” kata Pengarah Komunikasi Pemuda Bersatu, Na’im Brundage (gambar bawah) pada satu kenyataan hari ini.

Epstein — yang dilaporkan membunuh diri pada 2019 ketika dalam tahanan — dan raka-rakannya menjadi tumpuan penelitian intensif susulan pelbagai dakwaan bahawa dia melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan bawah umur.
Dokumen dan surat-menyurat berkaitan kini dikeluarkan oleh DOJ sebagai sebahagian daripada usaha ketelusan dalam siasatan terhadap Epstein, memandangkan hubungan rapatnya dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.
Staley juga merupakan sekutu rapat Epstein dan dikatakan mendapat manfaat daripada rangkaian individu berprofil tinggi yang dimiliki oleh ahli kewangan itu.
