PAS menegaskan kemelut kepimpinan Perikatan Nasional (PN) hanya boleh diselesaikan melalui proses perlembagaan yang sah, termasuk keperluan melantik seorang pengerusi gabungan itu terlebih dahulu sebelum sebarang cadangan pindaan struktur atau perlembagaan dibincangkan.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Pusat, Nurul Islam Mohamed Yusoff (gambar bawah) menyangkal dakwaan bekas pegawai kanan Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad bahawa kebuntuan kepimpinan PN berpunca parti komponennya menolak PAS menjadi pengerusi gabungan itu.
"Marzuki bercakap tentang ‘deadlock’ yang datang sebab kononnya MIPP dan Gerakan tolak PAS sebagai pengerusi PN.
"Tapi yang hairannya, belum pernah dengar presiden MIPP atau Gerakan sebut secara terbuka atau tertutup," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Marzuki juga, kata Nurul Islam turut silap apabila menyimpulkan jawatan pengerusi PN sebagai “redundant” atau tidak lagi relevan, sedangkan sebarang pindaan perlembagaan hanya boleh dilakukan melalui mesyuarat sah yang dipengerusikan oleh pengerusi yang dilantik mengikut peruntukan perlembagaan PN.
“Dalam mana-mana organisasi, khususnya parti politik, perlembagaan hanya boleh dipinda melalui mesyuarat yang sah, dan mesyuarat itu mesti dipengerusikan oleh seorang pengerusi yang sah. Ini asas, bukan tafsiran ya,” katanya.
Marzuki hari ini mempertahankan bekas perdana menteri itu dengan menegaskan ahli politik terbabit tidak berbohong dalam isu memansuhkan jawatan pengerusi PN.
Menurut Marzuki, keputusan untuk memansuhkan jawatan tersebut dicapai hasil perbincangan di antara Muhyiddin dengan pemimpin kanan PAS pada pertemuan di rumah Muhyiddin pada 16 Jan lalu, dan dihadiri Presiden PAS, Abdul Hadi Awang; timbalannya Tuan Ibrahim Tuan Man, Takiyuddin Hassan (setiausaha agung), Syahir Sulaiman ( penolong setiausaha agung dan setiausaha politik Abdul Hadi) serta Azmin Ali (bekas Setiausaha Agung PN).

Marzuki turut mendakwa kebuntuan PN berpunca daripada penolakan dua parti komponen, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), terhadap cadangan PAS menjadi pengerusi gabungan.
Bagaimanapun, Nurul Islam berkata selepas Muhyiddin meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN, langkah pertama yang wajib dilakukan ialah memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk melantik pengerusi baru, sebelum sebarang perbincangan lanjut mengenai cadangan struktur baharu atau penubuhan majlis eksekutif.
“Selepas itu barulah urusan lain boleh diteruskan, termasuk apa sahaja cadangan struktur baharu seperti yang dihujahkan oleh Dr Marzuki, sekiranya dipersetujui oleh MT PN.
"Faham tak, nak pinda perlembagaan macam mana kalau pengerusi pun takda lagi,” katanya.

Nurul Islam turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang memanggil mesyuarat “pra-majlis” melibatkan presiden parti-parti komponen PN di kediamannya walaupun telah mengumumkan peletakan jawatan sebagai pengerusi gabungan itu.
“Susah sangatkah untuk bersetuju adakan mesyuarat MT PN secara rasmi dan menyelesaikan pelantikan Pengerusi PN?
"Kalau ikut logik, tak susah langsung. Tapi nampaknya macam sengaja tak nak dipanggil mesyuarat MT PN,” soalnya.
Dia berkata notis mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang dikeluarkan oleh Timbalan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan itu selaras dengan perlembagaan gabungan itu dan sepatutnya diberi keutamaan bagi menyelesaikan kekosongan jawatan pengerusi.

Menurut Nurul Islam, keengganan untuk memanggil mesyuarat rasmi Majlis Tertinggi PN hanya akan memanjangkan kemelut dan membuka ruang kepada kekeliruan serta pertikaian tafsiran perlembagaan.
Jelasnya lagi, PAS tidak berminat merebut atau “merampas” jawatan pengerusi PN, sebaliknya berkata gesaan supaya PAS menerajui gabungan itu datang daripada penyokong PN dan juga pihak dalam Bersatu sendiri yang bimbang perpecahan dalaman parti berkenaan.
“Perlu ingat PAS bukan gila kuasa nak ambil alih pengerusi PN, tetapi kerana ada permintaan dari dalam Bersatu sendiri dan juga penyokong PN yang minta PAS untuk lead PN kerana melihat perpecahan kronik dalam Bersatu.
"Semua ini menurut mereka berpunca dari kepimpinan Muhyiddin Yassin dan pegawai keliling Muhyiddin Yassin yang tak terlibat pun dalam organisasi Bersatu,” katanya.

Nurul Islam juga menegaskan PAS tidak mahu diseret ke dalam konflik dalaman Bersatu, termasuk pertikaian antara kem kepimpinan Muhyiddin dan timbalan presiden parti itu, Hamzah Zainudin.
"Tak mengapalah. Itu hak mereka. Parti mereka.
“Tapi jangan pula seret PAS masuk dalam kekusutan dalaman mereka.
"Fokus PAS adalah rejuvenasi PN dan bersedia ke arah PRU16," katanya lagi.
