Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu kuil haram: Islam guna pendekatan harmoni, bukan ‘bertempur’ - Exco

Seorang Exco kerajaan Selangor menegaskan penyelesaian isu pencerobohan tanah melibatkan rumah ibadat bukan Islam perlu ditangani melalui pendekatan harmoni dan bijak.

Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Mohammad Fahmi Ngah berkata it tidak boleh ditangani secara konfrontasi yang hanya akan mengeruhkan lagi keadaan.

Menurut Fahmi, walaupun undang-undang sedia ada membolehkan tindakan eksekutif diambil secara pantas, namun faktor sejarah sesuatu kawasan perlu diambil kira demi menjaga kestabilan masyarakat berbilang kaum.

"Pendekatan Islam itu bukan pendekatan yang bertempur, yang berkonfrontasi.

"Malah, dakwah Rasulullah pada hakikatnya lebih banyak terhasil daripada peribadi dan amalan yang baik dan bukannya melalui jalan peperangan atau kekerasan yang melampau.

"Sekiranya umat Islam mahu menonjolkan agama sebagai sebuah kebenaran, maka penganutnya perlu mempamerkan ciri-ciri yang baik agar mesej tersebut dapat diterima dengan lebih terbuka oleh masyarakat lain," katanya dalam wawancara bersama pemberita baru-baru ini.

Fahmi yang juga Adun Seri Setia diminta mengulas mengenai kes spesifik rumah ibadat bukan Islam yang dibina di atas tanah kerajaan dan swasta yang terus menjadi isu, khususnya gesaan agar kerajaan negeri bertindak lebih pantas dalam proses memindahkannya.

Antaranya melibatkan tapak gantian bagi sebuah kuil di PJS 4, Petaling Jaya yang dikatakan menceroboh tanah perkuburan Islam merupakan kawasan yang asalnya dizonkan untuk pembinaan surau. 

Bagaimanapun semakan dengan Pejabat Tanah Petaling dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengesahkan tapak gantian itu dizonkan sebagai tapak rumah ibadat bukan islam (Ribi).

Mengulas perkara itu, Fahmi berkata kerajaan negeri memilih untuk memberi masa kepada pihak kuil untuk berpindah memandangkan mungkin tiada keperluan lain yang mendesak untuk tanah tersebut.

"Dalam tempoh tersebut, pihak rumah ibadat berkenaan boleh memohon tapak yang sah daripada kerajaan negeri agar mereka dapat mengamalkan kepercayaan agama masing-masing dalam suasana yang lebih harmoni dan mengikut undang-undang.

"Kebanyakan masa pihak yang menceroboh pun mengaku salah dan mahu keluar. Tetapi mereka kadang-kadang diasak oleh nasihat ekstrem yang bertanya kenapa tidak keluar semalam atau kenapa tidak dihukum sahaja?” katanya lagi.

‘Sama sekali tak gugat Islam’

Menurut Fahmi lagi, pendekatan ini dilihat selari dengan sejarah panjang Selangor yang sering berdepan dilema penguatkuasaan tanah membabitkan kuil-kuil lama yang dibina di atas tanah rizab kerajaan atau milik swasta tanpa permit.

"Sikap terbuka dan toleransi yang ditunjukkan kerajaan negeri sama sekali tidak menggugat kedudukan Islam sebagai agama rasmi, malah memperkasakan imej Islam yang mesra dan sedia berunding.

"Ia bukan satu ancaman kepada Islam. Saya rasa sudah tiba masanya Islam menunjukkan wajah yang boleh didekati dan mesra, yang bersedia untuk berinteraksi dengan agama lain tanpa merasa terancam," katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS