Ahli politik Umno telah menyuarakan bantahan terhadap Jabatan Wilayah Persekutuan untuk menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan mengadakan pilihan raya datuk bandar bagi Kuala Lumpur.
Setakat ini, bantahan yang disuarakan lebih bertumpu kepada sentimen Melayu, berbanding merit pelaksanaan pilihan raya tersebut.
Menurut laporan China Press semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh berkata pihaknya sedang mengkaji kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar, dengan menyatakan ia lebih praktikal berbanding memilih ahli majlis DBKL melalui pilihan raya kerajaan tempatan.
Parti politik Melayu berhaluan kanan sejak sekian lama menolak pilihan raya kerajaan tempatan, atas dasar ia akan menghakis kuasa Melayu di kawasan bandar yang majoriti pendudukanya adalah bukan Melayu.
Dalam hantaran Facebook pagi ini, Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh berkata konsep pilihan raya datuk bandar mesti ditolak sebagaimana cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) sebelum ini.
“Sebagaimana kita tolak dan gagalkan perancangan PSB dan pilihanraya PBT sebelum ini, begitulah juga kita harus menolak dan menggagalkan rancangan mereka kali ini.
“Kita sibuk bergaduh sesama kita kerana kuasa, mereka bersatu kerana kuasa. Sedarlah wahai saudaraku,” katanya, yang jelas merujuk politik Melayu dan bukan Melayu.
Prerogatif Agong?
Sementara itu, Ketua Umno Seputeh, Razlan Rafii — yang juga pegawai kepada Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi — berkata pelantikan datuk bandar Kuala Lumpur adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
Kenyataan itu tidak sepenuhnya tepat. Datuk bandar dilantik oleh kerajaan, khususnya menteri yang bertanggungjawab ke atas Wilayah Persekutuan, dengan perkenan Agong.
Razlan turut mendakwa Yeoh bersikap flip flop dalam isu pilihan raya kerajaan tempatan.
“Mula-mula kata tak buat, Hari ini kata lain pulak. Flip flop Menteri Wilayah ini,” katanya di Facebook.
Dalam hantaran itu, Razlan melampirkan artikel yang memetik kenyataan Yeoh bahawa pilihan raya PBT bukan keputusan satu parti sahaja. Yeoh tidak pernah menolak idea berkenaan secara total.
Amaran pengaruh kongsi gelap
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Puad Zarkashi pula membawa perdebatan ke aspek berbeza, dengan berkata pilihan raya datuk bandar bukan sahaja akan dipengaruhi kaum, tetapi juga dunia jenayah.
“Kuala Lumpur banyak pusat hiburan, pub, kelab malam, pusat urut dan kegiatan tidak bermoral. Banyak aktiviti underworld, kartel dan gangster.
“Bayangkan gangster Kuala Lumpur guna duit dan rangkaian mereka untuk sokong calon tertentu. Pejabat datuk bandar tidak lagi bebas,” katanya lagi.
Dia berkata datuk bandar yang dipilih melalui lantikan boleh dikenakan tindakan disiplin, manakala datuk bandar yang dipilih menerusi pilihan raya akan kekal sehingga tamat tempoh penggalnya.
Walaupun sokongan terhadap Umno merosot — seperti diakui sendiri parti itu dalam perhimpunan agung tahunannyabulan lalu — ia masih mempunyai pengaruh besar dalam kabinet.
Dua minggu lalu, kabinet memutuskan untuk menangguhkan PSB bagi membolehkan cadangan Umno disertakan dala versi barunya.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim juga bergantung kepada Umno untuk membawa sokongan Melayu konservatif kepada PH.
‘Betulkan struktur kuasa dulu’
Bertentangan dengan pemimpin Umno ini, Ketua Pemuda PAS Selangor Sukri Omar berkata pilihan raya datuk bandar tidak wajar ditolak secara membuta tuli.
Dia berkata perkara itu perlu diteliti secara berhati-hati dan rasional, dan pelaksanaannya tidak boleh dibuat tergesa-gesa atas nama reformasi.
Mengulas kenyataan Hannah Yeoh, Sukri berkata antara masalah yang dibangkitkan menteri itu dalam temu bualnya dengan China Press perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Dia merujuk kenyataan Yeoh berkenaan struktur pentadbiran Kuala Lumpur yang melibatkan “terlalu banyak unit”, menjadikan tidak jelas sama ada datuk bandar harus menurut arahan ahli Parlimen, penasihat DBKL, atau ahli majlis bandar raya yang dicadangkan.
“Kekeliruan yang disebut sendiri oleh menteri tentang siapa perlu didengar oleh datuk bandar sebenarnya berpunca daripada kegagalan menyusun struktur kuasa dan semak imbang yang jelas antara kerajaan persekutuan, ahli Parlimen dan DBKL,” katanya dalam kenyataan.
Dia mengingatkan pelaksanaan pilihan raya datuk bandar tanpa menangani isu itu hanya tindakan mengalihkan masalah, bukannya menyelesaikannya.
Sukri turut menyuarakan kebimbangan bahawa datuk bandar yang diundi rakyat tanpa ahli majlis yang turut dipilih melalui undian boleh menyebabkan kuasa tertumpu kepada seorang individu, sekali gus sukar dikawal.
Katanya, keadaan itu bercanggah dengan prinsip tadbir urus yang baik.
Sukri juga membangkitkan isu kaum, dengan menyatakan perubahan besar tidak boleh sekadar meniru model luar negara, sebaliknya perlu mengambil kira realiti demografi, kedudukan bumiputera Melayu dan peranan institusi raja berperlembagaan.
Bantahan ini bukan penolakan membuta tuli terhadap demokrasi tempatan. Ia adalah penegasan bahawa pembaharuan mesti berasaskan keadilan, kestabilan, perlembagaan dan realiti masyarakat Malaysia,” katanya.
