Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Saya bukan macam Anwar obses nak jadi PM
Diterbitkan:  Feb 2, 2026 6:40 PM
Dikemaskini: 10:58 AM

Bekas timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, menegaskan dia tidak mempunyai obsesi untuk menjadi perdana menteri — satu ketaksuban yang disifatkannya telah membentuk perjalanan politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Rafizi membuat perbandingan antara dirinya dan Anwar apabila ditanya mengenai pandangannya terhadap kemungkinan tindakan disiplin yang bakal diambil oleh PKR terhadapnya serta beberapa ahli parti lain yang sehaluan dengannya.

“Bukan macam (Anwar) yang satu-satunya keghairahan hidupnya ialah untuk menjadi perdana menteri, saya bersyukur kerana saya sangat gembira jika dapat bersara dengan tenang seperti orang lain, cukup sekadar untuk hidup dengan aman.

“Jadi, saya tidak memikul beban seperti beliau dan ahli politik lain yang seumpamanya,” kata Rafizi pada satu hantaran di platform X.

Ahli parlimen Pandan itu berpandangan sesiapa yang merasakan negara atau masyarakat memerlukan mereka mempunyai 'masalah jiwa' sambil menegaskan kerja ahli politik sepatutnya dilaksanakan sebagai sumbangan kepada rakyat dan sebagai “pelaburan” untuk akhirat.

“(Kerja seperti itu) bukan kerana masyarakat berhutang apa-apa kepada kita, atau kerana kita terlalu penting sehingga masyarakat memerlukan kita.

“Saya sangat berpuas hati dengan kehidupan saya sekarang dan saya boleh berjoging setiap hari untuk menjaga kesihatan,” selorohnya yang juga bekas menteri ekonomi.

Tak kejar kuasa

Menggambarkan dirinya sebagai seorang yang “mudah berasa cukup” dan “tidak sentimental”, Rafizi menegaskan dia sudah memiliki segala yang diperlukan, kerana kuasa kemasyhuran atau jawatan bukanlah perkara yang dikejarnya dalam hidup.

“Saya masih seorang ahli parlimen dan saya berniat untuk melaksanakan tugas saya dengan baik kerana ia satu amanah.

"Apa sahaja yang saya lakukan, saya mahu ia membawa perubahan dan memberi kesan — jadi pandangan dan pendapat saya mengenai politik dan sebagainya adalah sebahagian daripada tugas saya,” katanya.

Sejak tewas dalam pemilihan jawatan timbalan presiden PKR kepada anak Anwar, Nurul Izzah, serta peletakan jawatannya dalam kabinet tahun lalu, Rafizi dilihat semakin lantang menyuarakan kritikan terhadap tokoh parti dan hal ehwal kerajaan.

Selain aktif melalui hantaran di media sosial yang sering memuatkan pandangannya mengenai pelbagai isu, bekas menteri ekonomi itu turut mengendalikan podcast sendiri bertajuk “Yang Berhenti Menteri”.

Dalam satu episod podcastnya pada Disember lalu, Rafizi berkata dia telah membangkitkan beberapa kebimbangan secara dalaman semasa berada dalam kabinet namun memilih untuk memberi Anwar peluang dengan harapan perdana menteri itu akan melakukan perubahan.

Selepas semua saluran yang ada telah digunakannya, Rafizi berkata masih terdapat isu yang perlu dibangkitkan dan kini dia menyuarakannya secara terbuka, terutamanya kerana dia tidak lagi terikat dengan peraturan kabinet.

Terus bersuara

Dalam satu hantaran lain di X semalam, Rafizi menekankan bahawa proses “penambahbaikan berterusan” melalui pelaksanaan pembaikan secara konsisten merupakan satu-satunya cara untuk memastikan sesebuah kerajaan berfungsi dengan lebih baik.

“Saya tidak bersetuju dengan sikap bahawa hanya kerana (Anwar) ialah perdana menteri, atau kerana beliau dianggap lebih baik berbanding calon PM lain, maka semuanya sudah baik dan kita hanya perlu bertepuk tangan.

“Kemajuan melahirkan rasa selesa. Kuasa yang tidak dicabar membawa kepada rasuah,” katanya memberi amaran.

Tegasnya, ketika keadaan kelihatan “baik”, itulah saat paling penting untuk suara-suara yang menegur kelemahan dan garis-garis retak didengari.

Bagaimanapun, katanya, pandangan sedemikian mungkin tidak disenangi oleh pihak yang lebih gemar meraikan kejayaan mereka.

Awal bulan ini, Rafizi memberi amaran bahawa petunjuk ekonomi yang kukuh serta pengumuman dasar tidak akan membawa makna kepada rakyat sekiranya ia tidak disertai dengan reformasi sebenar di lapangan, khususnya dalam aspek penguatkuasaan undang-undang dan tadbir urus.

Dia berkata walaupun angka makroekonomi menunjukkan trend positif — termasuk peningkatan pelaburan, pertumbuhan kukuh dan pengukuhan nilai mata wang — ramai rakyat Malaysia masih belum merasai manfaat tersebut dalam kehidupan seharian mereka.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS