Ketua Pemuda DAP Woo Kah Leong menyindir Perikatan Nasional (PN) yang disifatkan gagal mengurus isu kepimpinan dalaman sendiri apabila masih gagal melantik pengerusi baharu walaupun jawatan itu kosong sejak sebulan lalu.
Dalam kenyataannya, Woo mempersoalkan keupayaan gabungan pembangkang itu membuat keputusan asas, sedangkan PAS berulang kali kononnya mampu mengketengahkan ramai tokoh sebagai calon perdana menteri.

“Pengerusi PN meletakkan jawatan sebulan yang lalu. Sekarang dah nak sampai Tahun Baru Cina, pun masih tidak mampu melantik Pengerusi PN yang baharu, padahal calon Perdana Menteri daripada PAS adalah sebanyak empat lori,” katanya.
Dia turut mempersoalkan mengapa proses melantik pengerusi PN dilihat begitu rumit dan berlarutan, seolah-olah wujud kebimbangan atau perebutan kuasa dalam kalangan parti komponen gabungan itu.
“Lantik Pengerusi PN, apa nak takutkan?” sindir Adun Pasir Bedamar yang juga exco kerajaan negeri Perak itu.
Setakat ini, PN masih belum mengumumkan secara rasmi siapa yang akan mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin sebagai pengerusi gabungan itu, di tengah-tengah spekulasi persaingan pengaruh antara parti-parti komponennya, khususnya PAS dan Bersatu.

Kenyataan Woo dilihat sebagai respons sinikal terhadap retorik yang sering digunakan pemimpin PAS, khususnya Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, yang sebelum ini mempertahankan cadangan supaya kajian-kajian dasar sensitif diserahkan kepada ahli akademik dan bukannya parti politik.
Fadhli, dalam kenyataannya, berkata cadangan supaya pemilihan datuk bandar dikaji oleh ahli akademik sepatutnya tidak menimbulkan ketakutan, sebelum mengusulkan kajian menyeluruh terhadap sistem Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dilakukan oleh universiti dan pakar yang diiktiraf.
“Menteri Wilayah (Hannah Yeoh) kata kajian untuk buat plihan raya datuk bandar akan dilaksanakan oleh ahli akademik dan bukannya DAP, apa nak takut katanya.

“Jika begitu, saya nak cadangkan kajian menyeluruh terhadap sistem UEC, kedudukannya dalam perlembagaan dan kesannya kepada dasar pendidikan kebangsaan dilaksanakan oleh ahli-ahli akademik berpengalaman.
“Pilih mana-mana universiti untuk laksanakan kajian ini dengan ahli-ahli akademik yang diiktiraf dalam bidang berkaitan.
Bukan parti politik buat kajian ini, apa nak takut kan?” kata ahli Parlimen Pasir Mas itu.
Mengulas kritikan itu, Woo turut membayangkan bahawa isu sebenar bukan soal kajian atau prosedur, sebaliknya kecenderungan politik dan kegagalan PN menyelesaikan masalah dalaman sendiri, termasuk soal kepimpinan tertinggi gabungan itu.
Semalam, Yeoh dilaporkan berkata, kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya datuk bandar di Kuala Lumpur sedang dijalankan oleh sebuah universiti dan penemuan daripada kajian tersebut akan dibawa ke kabinet selepas ia selesai kelak.
“Jangan takut, kajian ini dilakukan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Ia adalah universiti yang bereputasi tinggi.
“Jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP,” katanya.
Pada 1 Februari lalu, Yeoh dilaporkan berkata jabatannya sedang mengkaji pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Kenyataan itu segera dibantah beberapa pemimpin Umno dan PAS, yang rata-ratanya mendakwa ia akan menjejaskan kedudukan Melayu di bandar raya itu.
Bagaimanapun Yeoh mempertahankan kajian itu, yang menurutnya telah dibuat Disember lalu, iaitu sebelum dia memegang jawatan tersebut.
