Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) telah menulis surat kepada Ketua Polis Negara Khalid Ismail dengan permintaan agar pihak berkuasa campur tangan untuk menyekat Himpunan Anti Rumah Anutan Haram di Kuala Lumpur Sabtu ini.
Ketua Pemuda MIPP Justin Prabakaran berkata surat daripada Presiden MIPP P Punithan (gambar atas) telah dihantar semalam, susulan pemberitahuan rasmi daripada penganjur perhimpunan kepada polis Dang Wangi untuk perhimpunan itu diadakan berhampiran kompleks beli-belah Sogo di Kuala Lumpur.
Selain itu, Justin berkata Punithan telah menghantar surat rasmi kepada sekutu PN, PAS dan Bersatu, melalui Presiden parti Abdul Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin.
“Kami (MIPP) menggesa ahli dan pemimpin mereka (PAS dan Bersatu) untuk tidak menyertai perhimpunan tersebut.
“Ini adalah untuk menjaga kerjasama dalam PN dan untuk menegakkan keharmonian, keamanan dan keselamatan negara,” katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa pendakwah bebas Zamri Vinoth, sebagai penyelaras Gerakan Anti-Rumah Anutan Haram, mengesahkan bahawa polis Dang Wangi telah dimaklumkan tentang perhimpunan tersebut seperti yang dikehendaki di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Zamri berkata kira-kira 141 NGO dijangka menyertai perhimpunan tersebut, yang dijadualkan bermula pada jam 8 malam, bagi memastikan undang-undang terhadap pencerobohan dan pembinaan rumah ibadat secara haram dikuatkuasakan.
Awal hari ini, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang memberitahu Dewan Rakyat bahawa sebarang keputusan untuk membatalkan perhimpunan itu terletak pada Kementerian Dalam Negeri.
