Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ULASAN | Pemilihan datuk bandar: Manipulasi agenda politik?

Kurang tiga bulan dilantik menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh tidak berlengah untuk mengetengahkan cadangan pelaksanakan pemilihan datuk bandar.

Pada zahirnya, cadangan ini dilihat selari dengan semangat memperkukuh demokrasi tempatan, meningkatkan integriti serta kecekapan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).

Namun, seperti banyak cadangan reformasi institusi, persoalan yang lebih penting bukan sekadar apa yang dicadangkan, tetapi bagaimana dan mengapa ia dibawa pada waktu tertentu.

Dalam konteks ini, wajar diperhatikan bahawa cadangan pemilihan Datuk Bandar muncul tidak lama selepas kegagalan usaha kerajaan memperkenalkan Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang menerima bantahan meluas daripada masyarakat dan pembangkang.

Walaupun kedua-dua isu ini berbeza dari segi kandungan, ia berkongsi satu persamaan penting — keinginan untuk merombak struktur sedia ada pentadbiran bandar dan PBT.

Namun, apabila diteliti lebih mendalam, pendekatan yang dicadangkan menunjukkan unsur manipulasi demokrasi yang jelas.

Perhati baik-baik usaha ini. Ketika cadangan ini diketengahkan, ia diangkat dengan gerakan kempen politik di pelbagai platform media.

Dalam laporan media, Hannah Yeoh menyentuh isu kelemahan pengurusan kontrak dan sistem perolehan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dengan mengarahkan datuk bandar supaya melakukan penambahbaikan. Menurut laporan tersebut, sistem tender, pelesenan dan urusan kontrak DBKL digambarkan sebagai tidak cekap serta menyusahkan pelanggan.

Kelemahan ini kemudiannya dijadikan problem statement (penyataan masalah) yang memerlukan “penyelesaian besar”, iaitu cadangan pemilihan datuk bandar. Dengan pembingkaian sedemikian, cadangan tersebut kelihatan tepat dan wajar di permukaan.

Pada masa yang sama, cadangan ini diperkukuhkan dengan naratif bahawa satu kajian “bebas” dan “tidak berpihak” sedang dijalankan oleh pihak profesional. Kajian sedemikian sememangnya penting, namun ketelusan tentang skop, metodologi dan konteks kajian tersebut juga perlu diperjelaskan agar keyakinan awam benar-benar dapat dibina, bukan sekadar dijadikan sandaran legitimasi politik.

Ini pembinaan naratif politik. Satu naratif yang digambarkan bahawa cadangan ini bersandarkan kajian imperikal yang tulen - bukan “agenda DAP”.

Dalam masa yang sama, anggota parlimen yang sehaluan turut menggunakan media untuk mengolah pendapat awam.

Mungkin kedengaran menarik, tapi…

Sebagai contoh, Lim Lip Eng memetik nama Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan Siti Nurhaliza sebagai simbol keterbukaan idea ini, dengan hujah bahawa tokoh politik dan selebriti berprofil tinggi juga berpeluang menjadi calon datuk bandar sekiranya cadangan ini dilaksanakan.

Hujah ini mungkin kedengaran menarik, namun persoalannya: mengapa nama ahli politik dan selebriti diketengahkan, dan bukan tokoh profesional atau pakar pentadbiran bandar yang lebih relevan untuk menangani kelemahan PBT?

Persoalan yang patut kita tanya, adakah dengan menyebut nama selebriti, problem statement yang dibangkitkan sebelum ini benar-benar dapat diselesaikan?

Bagi saya, pendekatan ini lebih menyerupai satu strategi politik halus — membina sokongan awam dengan memanfaatkan pengaruh dan pengikut setia tokoh terkenal, seterusnya menjustifikasikan pelaksanaan cadangan tersebut.

Dalam konteks ini, sistem demokrasi berisiko dimanipulasi bagi memenuhi agenda tertentu.

Sebelum ini juga, contoh pemilihan datuk bandar di bandar-bandar besar seperti New York, London dan beberapa bandar di Indonesia sering diketengahkan sebagai hujah sokongan.

Namun, realiti di sebalik sistem tersebut jarang dibincangkan secara seimbang. Isu rasuah masih berterusan walaupun Datuk Bandar silih berganti. Tekanan pelobi, keletihan pengundi akibat kekerapan pilihan raya, serta dakwaan manipulasi kempen oleh kepentingan tertentu seperti kelompok LGBT malah kartel, turut menjadi cabaran yang tidak kecil, tetapi jarang diangkat dalam perbahasan awam.

Perlu diingat bahawa sebelum isu PSB lagi, hasrat DAP untuk mengadakan pilihan raya PBT merupakan antara matlamat utama parti tersebut, malah dinyatakan secara jelas dalam perlembagaan parti.

Cadangan PSB dan pemilihan datuk bandar boleh dilihat sebagai alternatif kepada cita-cita tersebut yang tertangguh. Oleh itu, tidak mustahil akan muncul lagi cadangan-cadangan lain selepas ini, yang dibingkaikan atas nama “mengukuhkan demokrasi”, tetapi hanya memberi keuntungan sepihak.

Seperkara lagi, mungkin ramai tak sedar dan jarang diberi perhatian ialah penggunaan istilah “mengembalikan pilihan raya PBT” dalam Perlembagaan DAP, berbanding “mengadakan pilihan raya PBT”.

Istilah “mengembalikan” membawa konotosi bahawa ia merupakan sesuatu yang pernah wujud dan wajar dihidupkan semula, sekali gus memudahkan penerimaan awam. Ini merupakan satu bentuk pembingkaian bahasa yang halus tetapi berkesan dalam propaganda politik.

Padang yang lebih seimbang

Sekiranya benar tujuan utama DAP adalah untuk memajukan dan memperkukuh sistem demokrasi, terdapat banyak lagi pembaharuan yang boleh dipertimbangkan. Antaranya ialah pengharaman penggunaan bendera parti dan poster fizikal dalam kempen pilihan raya di semua peringkat.

Langkah ini bukan sahaja dapat mengurangkan kos kempen yang semakin meningkat, malah membolehkan parti politik bertanding di atas padang yang lebih seimbang.

Bahan kempen boleh disalurkan melalui platform atas talian, kos pembersihan dapat dikurangkan, dan kes sabotaj bahan kempen dapat dielakkan. Ini hanyalah satu contoh reformasi demokrasi yang boleh memberi manfaat nyata kepada sistem pilihan raya negara.

Memperkasa demokrasi tidak semestinya bermakna menambah lebih banyak pilihan raya.

Akhir kalam, saya menyokong usaha untuk memajukan DBKL dan PBT, tetapi menekankan bahawa ia tidak sepatutnya dengan manipulasi sistem demokrasi seperti ini.


MAHDZIR IBRAHIM adalah bekas pemimpin DAP yang kini bergiat bersama parti baru Bersatu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS