Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis buka 142 kertas siasatan kes hasutan tahun lalu — Saifuddin
Diterbitkan:  Feb 5, 2026 11:13 AM
Dikemaskini: 3:13 AM

Polis membuka 142 kertas siasatan di bawah Akta Hasutan 1948 tahun lalu, dengan 12 kes daripadanya dibawa ke mahkamah, kata Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Menurut Saifuddin jumlah itu merupakan bilangan siasatan tertinggi sejak 2010.

Saifuddin berkata sebanyak 1,222 kertas siasatan dibuka dari 2010 hingga 2025 menggunakan akta tersebut, manakala seramai 130 individu didakwa di mahkamah dalam tempoh sama.

Selain 2025, jumlah siasatan tertinggi direkodkan pada 2023 (125), 2014 (121), 2020 (117), dan 2015 (109).

Pendakwaan memuncak pada 2020 dengan 29 kes, diikuti 2021 (14), 2025 (12), 2014 (12), 2023 (12), dan 2022 (10).

"Kementerian melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara profesional dan tegas tanpa kompromi ke atas mana-mana pihak yang sengaja menimbulkan isu yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam dan keselamatan negara," kata Saifuddin pada jawapan bertulis parlimen semalam.

Dia menjawab soalan ahli Parlimen DAP Kluang Wong Shu Qi yang meminta pecahan jumlah siasatan dan pendakwaan di bawah Akta Hasutan.

Semalam, Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang memaklumkan kepada Dewan Rakyat pihaknya menyokong penuh tindakan polis terhadap ekstremis agama, termasuk pendakwaan di bawah undang-undang Akta Hasutan, Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA) 1998.

Akta Hasutan 1948 yang kontroversi merupakan undang-undang era penjajah Inggeris yang menjadikan ucapan dengan “kecenderungan menghasut” sebagai kesalahan jenayah.

Antara takrif kecenderungan menghasut dalam akta itu termasuk kecenderungan menimbulkan kebencian atau penghinaan terhadap mana-mana raja, kerajaan atau pentadbiran keadilan; menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum atau kelas berbeza; serta mempersoalkan sebarang keistimewaan yang diperuntukkan kepada orang Melayu, bumiputera dan institusi diraja.

Undang-undang itu diperkenalkan Inggeris pada 1948 dan kemudian dipinda selepas rusuhan 13 Mei 1969 bagi memperluas skop sekatan terhadap kebebasan bersuara.

Ketika PH dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjadi pembangkang, mereka berjanji untuk memansuhkan Akta Hasutan 1948 apabila berkuasa.

Gambar fail.

Bagi akta komunikasi dan multimedia pula, Mahkamah Rayuan pada Ogos tahun lalu membatalkan satu peruntukan dalam akta tersebut yang menjadikan kandungan yang “menghina” dan "menjengkelkan” sebagai kesalahan jenayah.

Keputusan itu dibuat selepas mahkamah membenarkan rayuan aktivis Heidy Quah yang mencabar kesahan frasa tersebut dalam Seksyen 233 akta berkenaan, yang dikritik secara meluas kerana terlalu umum dari segi tafsiran undang-undang, sekali gus memberi kuasa luas kepada pihak berkuasa untuk menapis dan menyekat perbezaan pandangan.

Sebagai reaksi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata Putrajaya akan merayu keputusan itu — langkah yang dipertahankan Anwar.

Mahkamah Persekutuan dijadual menyampaikan keputusan berhubung rayuan kerajaan itu esok (6 Feb).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS