Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk tidak meneruskan tindakan lanjut (NFA) berhubung siasatan kes fitnah yang mengaitkan bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob dengan insiden serangan terhadap anak bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas pihak berkuasa gagal mengenal pasti pemilik akaun Facebook yang menyebarkan fitnah berkenaan.

“Kertas siasatan tersebut telah dirujuk kepada AGC pada 23 Disember tahun lalu dan pihak AGC telah memutuskan untuk mengklasifikasikan kes ini sebagai No Further Action (NFA).
“Keputusan ini dibuat berdasarkan dapatan laporan analisis profil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang tidak dapat mengenal pasti pemilik akaun berkenaan serta tidak dapat mengaitkan mana-mana individu secara konklusif dengan akaun Facebook yang disiasat,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata demikian bagi menjawab soalan dikemukakan Rafizi yang meminta menteri dalam negeri menyatakan status siasatan pihak berkuasa terhadap satu laporan dibuat setiausaha akhbar Ismail Sabri pada 18 Ogos 2025.
Laporan tersebut (Dang Wangi Repot 23401/2025) dibuat susulan penyebaran satu hantaran di laman Facebook yang mendakwa bekas perdana menteri itu mempunyai kaitan dengan serangan yang menyasarkan anak kepada ahli Parlimen Pandan.

Kes sebelum ini disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 atas penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Walaupun kertas siasatan telah dibuka secara rasmi oleh polis sejurus laporan diterima, namun kekangan teknikal dalam mengenal pasti identiti sebenar di sebalik akaun media sosial terbabit menyebabkan kes ini tidak dapat dibawa ke mahkamah.
Pada Ogos tahun lalu, anak Rafizi yang ketika itu berusia 12 tahun disuntik dengan picagari dalam insiden yang berlaku di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.
Selepas serangan itu, Rafizi berkata isterinya menerima mesej susulan berbunyi: “Diam, jika teruskan Aids!”
Rakaman kamera litar tertutup memaparkan dua lelaki sedang mengekori kereta isterinya menggunakan sebuah motosikal sebelum kejadian.
Beberapa hari kemudian, Ismail Sabri membuat laporan polis dan SKMM terhadap sebuah laman Facebook yang memuat naik dua artikel palsu serta fitnah mengaitkannya dengan serangan itu.
Rafizi turut menafikan dakwaan mengaitkan bekas perdana menteri itu dengan serangan terhadap anaknya.
Pada 30 Januari lalu, Rafizi berkata dia bersedia menulis surat kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan Saifuddin Nasution untuk meminta siasatan kes serangan ke atas anaknya dihentikan sekiranya tiada perkembangan positif.
Rafizi dilaporkan berkata beliau masih mempercayai proses siasatan sedang berjalan namun ia sudah melalui tempoh panjang sejak Ogos tahun lalu.
