Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes anak diserang: Isytihar NFA saja jika tiada perkembangan - Rafizi
Diterbitkan:  Jan 30, 2026 1:08 PM
Dikemaskini: 5:08 AM

Bekas menteri ekonomi Rafizi Ramli berkata dia akan menguts surat kepada kerajaan dan pihak berkuasa untuk meminta siasatan kes serangan ke atas anaknya dihentikan, jika siasatan tidak menunjukkan sebarang perkembangan.

Dalam hantaran di Facebook hari ini, Rafizi berkata dia tidak pernah menerima sebarang maklum balas, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi, berhubung perkembangan siasatan kes itu.

Saya akan tunggu lagi dan kalau dirasakan siasatan tak ke mana, saya sendiri akan tulis surat kepada Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan PDRM mengusulkan supaya siasatan dihentikan dan NFA (tiada tindakan lanjut) saja kes ini. 

“Jangan buang masa anggota polis di bawah yang hanya menurut perintah,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, anak Rafizi yang ketika itu berusia 12 tahun disuntik dengan picagari dalam insiden yang berlaku di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Selepas serangan itu, Rafizi berkata isterinya menerima mesej susulan berbunyi: “Diam, jika teruskan Aids!”

Dia kemudian memberi bayangan bahawa serangan tersebut mungkin berkaitan dengan satu pertemuan antaranya dengan pemberi maklumat berhubung bekas pegawai Anwar, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak.

Pada 28 Januari, Rafizi berkata kali terakhir dia dimaklumkan tentang perkembangan siasatan adalah pada 1 Disember daripada Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail.

Namun, Saifuddin menolak permintaan Rafizi untuk mengesahkan secara terbuka butiran perkembangan tersebut, atas dasar ia bagi mengelakkan gangguan terhadap siasatan.

Sementara itu, Rafizi berkata keluarganya telah reda dengan apa yang berlaku dan tidak terkejut dengan “jawapan pentadbiran” oleh Saifuddin.

Saya pun tak ambil hati. Sebab anak kita yang kena, takkan orang lain faham perasaan kita. 

saya pun faham dalam sistem kita, kalau tidak ada kuasa, proses nak cari dalang kes macam ini memang jadi lama. Silap-silap hari senyap begitu saja bila dirasakan orang sudah lupa,” katanya yang juga bekas timbalan presiden PKR.

Kata Rafizi lagi, Anwar telah mengeluarkan kenyataan segera selepas serangan itu, menggesa pihak berkuasa menyiasat perkara tersebut secara telus.

Namun, katanya lagi, apabila siasatan masih tidak selesai walaupun setelah enam bulan berlaku, lebih baik dia meminta siasatan dihentikan bagi “menjaga air muka” Anwar.

Namun dia juga juga mengingatkan yang mereka yang memegang kuasa pada akhirnya akan dipertanggungjawabkan oleh para pengundi.

“Orang yang nak kena pertahan reputasi di mata rakyat ni bukan anak saya yang kena serang.

“Orang yang nak kena jawab dengan rakyat nanti adalah orang-orang besar belaka, mereka tahulah apa jawapan nak diberi satu hari nanti,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS