Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Wan Saiful ‘pura-pura jadi mangsa’ untuk ganggu PN - Afif

WAWANCARA | Seorang pemimpin Bersatu mempertahankan presidennya, Muhyiddin Yassin, berhubung cadangan penstrukturan semula Perikatan Nasional (PN), sambil menegaskan langkah tersebut bertujuan memelihara kesepakatan dan bukannya mengetepikan mana-mana parti komponen.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Afif Bahardin, berkata kritikan daripada bekas pemimpin yang dipecat, Wan Saiful Wan Jan—yang didakwanya “playing victim” (berlagak mangsa) untuk mengganggu kemajuan PN— mencampuradukkan isu berbeza serta memberi gambaran dan konteks yang salah mengenai tindakan dalaman parti.

“Konteksnya berbeza. Cadangan asal mengenai majlis eksekutif itu bukannya datang daripada Wan Saiful. Malah sebelum itu, sejak awal tahun lalu, PAS sudah pun bincangkannya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taman Medan itu kepada Malaysiakini.

Dia berkata demikian sebagai respon kepada Wan Saiful mempersoalkan sama ada Muhyiddin telah melanggar disiplin parti dengan mendesak cadangan penubuhan majlis eksekutif PN.

Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu berkata dia “tersedar” mengenai perkara tersebut selepas berakhirnya pendengaran lembaga rayuan Bersatu, semalam, berdasarkan dakwaan yang menyebabkan pemecatannya. 

Bagaimanapun, Afif menegaskan bahawa tindakan tatatertib terhadap Wan Saiful tidak berkaitan dengan cadangan majlis eksekutif, sebaliknya berpunca daripada dakwaan usaha melobi presiden-presiden parti lain supaya tidak menyokong Muhyiddin atau memberi tekanan agar meletakkan jawatan sebagai pengerusi PN.

“Dia bertemu dengan beberapa presiden parti lain, meminta mereka mengundi untuk tidak menyokong Muhyiddin atau meminta Tan Sri berundur sebagai pengerusi PN.

“Dan ini berlaku sebelum perhimpunan agung tahunan (AGM) tahun lalu. Ketika itu, dia sedang menggerakkan usaha mengumpul akuan bersumpah yang mendesak Tan Sri berundur, yang dia sendiri akui.

“Jadi konteksnya berbeza, ia tiada kaitan dengan apa yang dicadangkan oleh Tan Sri,” katanya, sambil menambah bahawa Wan Saiful sudah tidak mempunyai locus standi untuk bercakap mengenai hal ehwal PN selepas dipecat.

Pertemuan 16 Jan di rumah Muhyiddin

Afif seterusnya berkata cadangan Muhyiddin dibuat susulan mesyuarat pada 16 Januari di kediamannya bersama presiden PAS, Abdul Hadi Awang, dan pemimpin PAS lain, termasuk Tuan Ibrahim Tuan Man serta Takiyuddin Hassan, yang diadakan atas permintaan parti itu.

Menurutnya, antara topik awal yang dibincangkan ialah kedudukan Muhyiddin sebagai pengerusi PN.

“Muhyiddin, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan pada setiap masa selepas beliau berundur sebagai pengerusi PN, kekal tegas dengan keputusan itu (untuk meletakkan jawatan). Malah beliau meminta majlis pimpinan tertinggi menerima peletakan jawatannya sebagai pengerusi PN,” kata Afif.

Namun, katanya, perbincangan seterusnya mengenai calon pengganti yang berpotensi, gagal mencapai kata sepakat, sekali gus mendorong perbincangan lanjut mengenai kerangka penstrukturan semula kepimpinan PN.

Antara prinsip yang dibincangkan, menurut Afif, PN seharusnya dipimpin oleh seorang presiden parti. 

Dia turut mengakui bahawa beberapa parti komponen berasa tidak selesa jika PAS mengambil alih kepimpinan PN.

“Dalam keadaan semasa, dalam PN terdapat parti komponen yang tidak bersetuju jika PAS menjadi parti peneraju. Gerakan dan MIPP tidak bersetuju,” katanya.

Tambah Afif, Muhyiddin bimbang bahawa pencalonan secara rasmi calon yang disokong PAS dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN tanpa persetujuan awal boleh memalukan parti itu.

“Jadi Muhyiddin berfikir lebih jauh dan berkata, ‘jika nama yang dicadangkan PAS tidak diterima, ia akan memalukan PAS,’” katanya.

‘Pramajlis’ untuk bina konsensus

Afif turut menjawab kritikan Takiyuddin bahawa cadangan mesyuarat “pramajlis” tidak mempunyai asas dalam perlembagaan PN dan bahawa pemansuhan jawatan pengerusi boleh mencetuskan tindakan daripada Pendaftar Pertubuhan.

“Pramajlis memang tidak termaktub dalam perlembagaan, tetapi untuk mencapai kesepakatan, sebab itu kita panggilnya pramajlis — mesyuarat sebelum mesyuarat,” katanya.

Dia menggambarkannya sebagai satu platform untuk meleraikan perbezaan sebelum mesyuarat rasmi, sambil berhujah bahawa semangat konsensus PN memerlukan persetujuan semua presiden parti.

“Ini bukan soal PAS lebih besar atau Bersatu lebih besar. Konsensus PN bermaksud semua presiden parti mewakili blok masing-masing,” katanya.

Pemimpin PAS tidak hadir dalam mesyuarat pramajlis yang dihadiri oleh Gerakan dan MIPP. 

Afif mendakwa bahawa selepas mesyuarat 16 Januari, para presiden parti telah mengarahkan setiausaha agung masing-masing untuk meneliti kemungkinan pindaan perlembagaan, namun mendakwa perbincangan susulan tidak berlaku.

“Jadi apa yang dicadangkan oleh Muhyiddin adalah untuk melindungi konsensus semua pihak, bukan hanya untuk PN, tetapi juga untuk jaga air muka PAS,” katanya.

Dia turut menegaskan bahawa sekiranya cadangan 16 Januari itu dilaksanakan, pertikaian mengenai siapa daripada PAS yang akan mengetuai majlis eksekutif yang dicadangkan tidak akan timbul.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS