mk-logo
Berita
MP ingatkan kes di New York, London, orang Islam jadi datuk bandar
Diterbitkan:  Feb 5, 2026 1:40 PM
Dikemaskini: 6:09 AM

Anggota Parlimen Gopeng Tan Kar Hing menegaskan bahawa pelaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur tidak seharusnya dimomokkan dengan sentimen perkauman atau agama, sebaliknya perlu dilihat sebagai ruang untuk menilai kualiti kepimpinan calon.

Katanya, trend di bandar raya besar dunia seperti New York dan London membuktikan bahawa pengundi memilih pemimpin berdasarkan kemampuan melindungi kepentingan penduduk, tanpa mengira latar belakang kaum minoriti atau agama.

"Pengundi tidak membuat keputusan berdasarkan warna kulit atau anutan agama semata-mata, tetapi mengambil kira kualiti kepimpinan calon. 

“Pengundi menilai dan membandingkan antara calon-calon yang bertanding – sejauh manakah mereka mampu melindungi hak dan kepentingan penduduk kota," kata wakil rakyat PKR itu.

Tan memberikan contoh pelantikan Zohran Mamdani sebagai datuk bandar New York pada Januari 2026 dan Sadiq Khan di London sejak 2016.

Zohran Mamdani

Kedua-duanya yang beragama Islam yang dipilih oleh majoriti pengundi walaupun penduduk Muslim sekitar 10 ke 15 peratus saja.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh awal bulan ini mengumumkan bahawa dia mengarahkan kementeriannya menjalankan kajian mengenai kebolehlaksanaan pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur.

Katanya, kementerian sedang mempertimbangkan pilihan raya sedemikian kerana ia dilihat lebih praktikal berbanding memilih ramai ahli majlis bandar raya melalui pilihan raya kerajaan tempatan.

Yeoh turut berkata satu kajian berasingan mengenai pilihan raya kerajaan tempatan akan dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa (UIA), dengan dapatan dijangka diumumkan pada Mac dan akan didedahkan kepada umum.

Mekanisme akauntabiliti akar umbi

Dalam kenyataan hari ini, Tan menjelaskan bahawa melalui pilihan raya tempatan, seseorang datuk bandar akan bertanggungjawab terus kepada pengundi di peringkat akar umbi dan bukannya sekadar akur kepada arahan pimpinan tertinggi parti politik.

Katanya, bawah mekanisme tersebut, rakyat mempunyai hak untuk menukar penyandang sekiranya prestasi yang ditunjukkan tidak memuaskan.

"Demokrasi tidak menjanjikan calon datuk bandar terbaik dipilih, tetapi pengundi akan mendapat datuk bandar yang dimahukan majoriti. 

“Lantas datuk bandar akan melakukan segala yang terbaik untuk meraih sokongan majoriti pengundinya," jelas Tan lagi.

Mengenai situasi di Kuala Lumpur, Tan menyelar naratif pihak tertentu yang mendakwa ibu kota akan dikuasai DAP sekiranya pilihan raya diadakan.

Menurutnya, isu perancangan bandar yang gagal seperti masalah banjir kilat akan memberi kesan kepada semua penduduk tanpa mengira warna kulit, justeru kecekapan tadbir urus harus menjadi keutamaan berbanding sentimen sempit.

Ketika ini, Kuala Lumpur dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berada bawah kawalan persekutuan, dengan bandar raya itu ditadbir oleh seorang datuk bandar yang dilantik kerajaan.

Pengkritik berpendapat struktur ini menumpukan kuasa yang besar kepada datuk bandar, dengan semak dan imbang yang terhad berbanding majlis tempatan lain.

Bagaimanapun, parti-parti politik berteras Melayu berideologi kanan menentang pilihan raya kerajaan tempatan, dengan alasan ia akan menghakis kuasa Melayu di kawasan bandar yang majoritinya bukan Melayu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS