Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menegaskan isu berkaitan pengurusan tanah rumah ibadat dan hal ehwal agama selain Islam di negeri-negeri tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata kerajaan negeri mempunyai kuasa berkaitan pentadbiran agama, urusan tanah hak milik, pendaftaran serta pengambilan tanah sebagaimana diputuskan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, iaitu Senarai Negeri.
“Oleh itu, sebarang perkara yang melibatkan penggunaan tanah dan pengurusan rumah ibadat perlu ditangani selaras dengan peruntukan undang-undang negeri serta melalui pendekatan rundingan dan gabungan sosial,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ganabatirau Veraman (PH-Klang) berhubung cadangan mewujudkan mekanisme atau badan penyelarasan di peringkat nasional bagi mengurus isu hal ehwal agama selain Islam serta pengurusan tanah rumah ibadat, susulan isu pembinaan kuil tanpa izin di tanah milik persendirian yang sering tular.
Aaron menegaskan kerajaan sentiasa menjamin hak kebebasan beragama namun pada masa sama bertanggungjawab menegakkan kedaulatan undang-undang termasuk aspek pengurusan tanah dan perancangan pembangunan yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkaitan.
Beliau berkata walaupun isu tanah adalah bidang kuasa kerajaan negeri, KPN bertindak sebagai pemudah cara bagi memastikan isu agama ditangani secara adil dan berhemah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.
Menurut Aaron, KPN telah menubuhkan beberapa jawatankuasa seperti Majlis Penasihat Perpaduan Negara (MPPN), Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama (HARMONI) dan Jawatankuasa Pengurusan Isu Perpaduan (JPIC).
“Semua kerajaan negeri ketika ini juga telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras hal ehwal agama selain Islam, antaranya Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) di Sarawak, Jawatankuasa Menyelaras Rumah Ibadat Bukan Islam di Pulau Pinang, Jawatankuasa Khas Agama (Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh) di Selangor serta Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam di Wilayah Persekutuan dan negeri-negeri lain,” katanya.
Aaron berkata di peringkat komuniti pula, sebanyak 531 mediator komuniti yang bekerja secara pro bono di sembilan Pusat Mediasi Komuniti untuk menyelesaikan konflik tanpa melibatkan proses litigasi di mahkamah.
Beliau ketika menyentuh isu ekstremisme agama menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang menyalahgunakan agama untuk menyemai kebencian, menghasut perpecahan atau mencetuskan ketegangan antara kaum dan agama.
Menurut Aaron, KPN menyokong usaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama Jabatan Peguam Negara untuk mengenal pasti serta mendakwa pihak yang terlibat mengikut peruntukan undang-undang sedia ada termasuk Akta Hasutan, Akta Kanun Keseksaan serta Akta Komunikasi dan Multimedia.
“Justeru, rakyat dinasihatkan untuk tidak menjadikan agama sebagai alat perbalahan dan tidak menyebarkan maklumat yang belum disahkan,” katanya.
- Bernama
