Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takiyuddin balas PM: Nak tahu siapa bodoh, buka perbahasan

Beberapa ahli parlimen pembangkang hari ini menggesa Dewan Rakyat untuk membahaskan isu-isu berkaitan rundingan sempadan Malaysia-Indonesia di selatan Sabah dan utara Kalimantan.

Dalam sidang media bersama, Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan, menyasarkan kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim semalam, melabelkan pembangkang sebagai "bodoh" kerana didakwa terlepas pandang fakta tentang pertikaian sempadan Malaysia-Indonesia di kawasan berkenaan.

"Kita tak dibenarkan berbahas tapi kita dikatakan bodoh. Nak tau siapa bodoh siapa tak bodoh buka perbahasan," kata setiausaha agung PAS itu.

Anwar, yang berucap semasa program bersama pelajar di sebuah universiti swasta semalam, berkata pembangkang menuduhnya melakukan pengkhianatan selepas laporan berita mendakwa Malaysia telah menyerahkan beribu-ribu hektar tanah sebagai pertukaran untuk tiga kampung di sepanjang sempadan Sabah-Kalimantan.

Kenyataannya susulan taklimat menterinya mengenai perkara itu di Dewan Rakyat semalam, ketika dia menyifatkan dakwaan pembangkang mengenai isu itu sebagai "pembohongan".

Pengerusi PN Sabah, Ronald Kiandee hari ini berkata penolakan untuk membenarkan perbahasan atau mencelah di parlimen semalam menafikan peluang ahli parlimen pembangkang untuk menjelaskan perkara-perkara yang belum selesai, termasuk kelulusan berkaitan di peringkat Dewan Undangan Negeri.

“Kerajaan nampaknya sangat defensif dalam isu ini. Saya fikir perkara-perkara ini memerlukan forum untuk perdebatan,” kata Ahli Parlimen Beluran itu.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal hari ini berkata dia telah memfailkan usul di bawah Aturan Mesyuarat 18(1) dan 18(2) untuk mendapatkan perbahasan segera.

“Seperti mana yang Tambun sendiri jelaskan semalam sebab masih banyak lagi outstanding issues yang belum diselesaikan. Saya minta kerajaan and Dewan Rakyat beri ruang kepada rakyat menilai perbahasan ahli-ahli Dewan Rakyat berhubung hal ini,” tegasnya.

Bekas menteri luar, Saifuddin Abdullah, yang turut hadir pada sidang media hari ini, sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa antara soalan yang tidak terjawab ialah mengapa tiada butiran diberikan mengenai penduduk di kedua-dua belah pihak yang akan terjejas oleh rundingan tersebut.

Semalam, Anwar menjelaskan bahawa tanah seluas 5,207 hektar yang baru-baru ini dituntut oleh Indonesia sebelum ini bukan sebahagian daripada mana-mana negara.

Anwar menjelaskan bahawa kawasan itu tidak boleh dianggap sebagai milik mana-mana negara kerana pemilikan tanah itu tertakluk kepada rundingan dan sempadan yang masih belum dimuktamadkan.

Dia juga menyatakan bahawa walaupun terdapat persefahaman bersama antara kedua-dua negara dan kelulusan perjanjian yang telah dimuktamadkan pada peringkat rundingan, semua proses yang diperlukan berkaitan perkara itu masih belum selesai.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS