Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Guna hujah 1960, Takiyuddin dakwa majoriti Melayu tolak pilihan raya PBT

PARLIMEN l Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan hari ini memetik perbahasan parlimen dari tahun 1960 bagi menyanggah dapatan semasa mengenai sokongan orang Melayu terhadap pemulihan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bercakap pada sidang media bersama di Parlimen, Takiyuddin merujuk kepada petikan Hansard bertarikh 12 dan 13 September 1960, berhubung perbahasan mengenai pembentangan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

"Saya berpandukan kepada Hansard tahun 1960. Sebahagian besar daripada orang Melayu tidak menyokong lagi pemilihan datuk bandar berdasarkan kepada pilihan raya.

“Yang mempertahankan pada masa itu ialah parti pembangkang khususnya Socialist Front dan juga beberapa pihak yang lain.

“Ahli Parlimen Bangsar pada masa itu V David dan Ahli Parlimen Damansara Karam Singh. Itulah mereka yang memperjuangkan menentang untuk diadakan Akta Ibu Kota Persekutuan ini tahun 1960. Jadi bagi saya kajian itu boleh dipertikaikan lagilah," kata Takiyuddin yang juga adalah setiausaha agung PAS.

'Kajian berbeza mungkin hasilkan dapatan berbeza'

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dapatan tinjauan pada Oktober 2025 oleh Invoke, yang dibentangkan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam sebuah forum dua minggu lalu.

Tinjauan itu mendapati bahawa "51 peratus orang Melayu di Kuala Lumpur menyokong pilihan raya datuk bandar".

"Ya kita apa ini dapat maklum mengenai kajian dalam forum itu. 51 peratus dikatakan penduduk Bandaraya Kuala Lumpur orang Melayu atau bumiputera.

“Ialah... ya satu kajian. Mungkin ada kajian-kajian lain yang menunjukkan atau menimbulkan satu dapatan yang berbeza.

“Tetapi secara keseluruhan, kita tidak perlu jadi hipokrit lah. Kalau tanya majoriti orang Melayu memang tidak mahu kepada pilihan raya datuk bandar Kuala Lumpur ini,” katanya.

Sambil menyasarkan DAP, Takiyuddin berkata Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan pada 13 Oktober 2023 telah meluluskan resolusi untuk meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.

"Dan sekarang ini, menteri yang menjadi menteri wilayah persekutuan adalah daripada parti ini (DAP).

“Jadi persoalan kita, apakah kajian yang telah dibuat oleh kerajaan persekutuan sekarang ini adalah atas desakan ataupun perjuangan satu-satu parti terutamanya yang ada di dalam kerajaan,” soalnya.

Takiyuddin juga mempersoalkan spakah sistem pilihan raya yang hendak dibuat.

“Adakah berasaskan daftar pemilih yang sekarang ini digunakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)... yang pasti 11 daripada 13 Parlimen di Wilayah Persekutuan didominasi satu parti politik," katanya sinis.

Pada 3 Februari, lalu Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang menggesa agar tindakan mempolitikkan kajian kemungkinan mengenai pilihan raya datuk bandar di Kuala Lumpur dihentikan. Katanya, bahawa bekas pemimpin Umno, Khairy Jamaluddin turut menyokong idea tersebut semasa forum pada 19 Januari bersama Nik Nazmi itu.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh menjelaskan bahawa kajian tersebut sedang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan hasil dapatannya akan dibentangkan kepada kabinet.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS