Perikatan Nasional (PN) hari ini mempertikaikan pemilihan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) selaku institusi pendidikan yang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya datuk bandar di Kuala Lumpur.
Ketua Whip PN, Takiyuddin Hassan, berkata pihaknya ingin tahu atas dasar apa UIAM dipilih dalam pelaksanaan kajian itu sedangkan terdapat universiti lain yang “lebih senior” dan mempunyai lebih kepakaran bagi tujuan berkenaan.

"Kenapa tidak universiti lain yang lebih senior? Universiti Kebangsaan (Malaysia) misalnya, ia ada kepakaran. Kenapa UIAM?
“Ini kami tidak mahu sebutlah, ada benda-benda yang kita tahu di belakang sana. Ia cukup baik tetapi kami mahu tahu kenapa pilih UIAM?” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen, di Kuala Lumpur, hari ini.
Takiyuddin bagaimanapun tidak mengulas mengenai “benda-benda di belakang sana” yang disebutkannya itu.
Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh dilaporkan berkata, kajian sedang dijalankan bagi proses pelaksanaan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu kota, termasuk pemilihan datuk bandar Kuala Lumpur.
Yeoh turut memaklumkan bahawa kajian tersebut telah dimulakan sejak Disember lalu di bawah bekas menteri yang menjaga hal ehwal Wilayah Persekutuan sebelum ini, iaitu Dr Zaliha Mustafa.

Menurutnya, penemuan daripada kajian tersebut akan dibawa ke kabinet selepas ia selesai kelak.
“Jangan takut, kajian ini dilakukan oleh UIAM. Ia adalah universiti yang bereputasi tinggi.
“Jadi kajian ini bukan dilakukan oleh orang DAP,” katanya.
Pada sidang media hari ini, Takiyuddin yang juga adalah setiausaha agung PAS terus mempersoalkan mengapa UIAM dipilih dan menuntut diadakan sesi penerangan menteri di Dewan Rakyat bagi menjawab semua persoalan berhubung cadangan pelaksanaan pilihan raya pihak PBT itu.
“Ada universiti yang lebih senior di negara kita, UM (Universiti Malaya), UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dan semua itu, atau gabungan beberapa universiti.

“Jangan ketepikan UiTM juga, ia sebuah universiti yang sangat senior,” katanya tanpa mengulas lanjut dan mengakhiri sidang media itu.
