Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Siti Zailah: Kalau betul-betul ikhlas, masuk Islam sajalah Nga
5

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusoff hari ini mencadangkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memeluk Islam jika pemimpin DAP itu benar-benar berminat dengan agama itu.

Bekas ketua Wanita PAS itu juga mempertahankan pertanyaannya kepada Nga di Dewan Rakyat semalam, berdasarkan penggunaan istilah Islamik seperti “sujud syukur” dan “Alhamdulillah”.

"Pada saya kalau dia minat dengan Islam, masuk Islam sajalah. Cuma saya tak nak (frasa Islam) disalahgunakan.

"Sebagai orang Islam, sebab saya tahu aduan daripada kawan-kawan kita kaum Cina, apabila mereka berucap pada kaum Cina, kadang-kadang keluar perkataan memperli Islam.

"Ini mereka ucap dalam bahasa Cina. Ini kawan-kawan Cina juga yang bagitau," kata Siti Zailah kepada Malaysiakini.

Siti Zailah Yusoff

Mengulas lanjut, Siti Zailah mendakwa ucapan Nga bercanggah dengan kenyataannya di Dewan Rakyat.

"Jadi saya kata ‘kenapa macam ni'? Berbeza watak. Itu yang saya tanya. Kalau dia betul-betul ikhlas, ‘jom masuk Islam’.

Bukan sekadar istilah Arab

Semalam, Siti Zailah, yang mencelah ucapan penggulungan Nga, secara langsung bertanya kepada Ahli Parlimen Teluk Intan itu sama ada dia “beriman”.

Nga sebelum ini menggunakan istilah tersebut untuk menyatakan rasa syukurnya atas kejayaan kementeriannya dalam menghidupkan semula 40,000 unit “projek sakit” di bawah skim perumahan PR1MA di Bukit Katil, Melaka - yang terakhir daripada 34 projek terbengkalai di seluruh negara.

Siti Zailah hari ini menegaskan bahawa frasa “Alhamdulillah” bukan sekadar istilah Arab, tetapi satu istilah yang berkaitan secara langsung dengan kepercayaan umat Islam.

"Surah Al-Fatihah bermula dengan Alhamdulillah. Jadi maknanya apabila seseorang itu mengucapkan Alhamdulillah, dia bersyukur pada Allah, pencipta.

"Maknanya orang yang mengucapkan Alhamdulillah (adalah) orang yang percaya pada Allah yang satu. Sedangkan Kristian anggap Tuhan itu tiga.

"Sebab itu saya tanya, ‘adakah kamu beriman?’. Sebab kata-kata dia itu adakah sesuai dengan akidah yang dia pegang? Itu maksud saya," katanya, memetik kepercayaan Kristian Nga.

Konteks DHPP berbeza

N Balasubramaniam

Pengkritik Siti Zailah mendakwa PAS tidak mengambil pandangan yang sama terhadap Ketua Sayap Penyokong Bukan Islam (DHPP) N Balasubramaniam selepas dia memetik ayat-ayat al-Quran semasa muktamar tahunan parti itu tahun lepas.

Namun, Siti Zailah berkata, “konteks dengan DHPP adalah berbeza”.

Dia menegaskan bahawa Nga, tidak seperti Balasubramaniam, didakwa telah membuat ucapan dalam bahasa Cina dengan unsur-unsur menentang Islam, tetapi memberikan watak yang berbeza di parlimen.

"Dia (Nga) berbeza dengan DHPP. DHPP tidak bersifat begitu. Jadi sebab itu saya pertikai," katanya.

Nga, sebagai respons kepada Zailah semalam, mengingatkan bahawa dia juga dilahirkan di Kelantan dan oleh itu biasa dengan istilah Islam sedemikian, yang digunakan dengan penuh hormat.

Mesra Muslim tapi ada agenda lain

Namun, Siti Zailah hari ini mengulangi kebimbangannya terhadap Nga, menyamakannya dengan bekas presiden Singapura Lee Kuan Yew, yang menurutnya mengamalkan persona "mesra Muslim" tetapi dengan "agenda lain".

Terdahulu hari ini, timbalan Nga di kementerian, Aiman ​​Athirah Sabu telah mengkritik Siti Zailah dan berkata bahawa ungkapan seperti "Alhamdulillah" (segala pujian bagi Allah) dan "InsyaAllah" (jika Allah menghendaki) adalah frasa pujian dan pengakuan kekuasaan Tuhan dan penggunaan perkataan sedemikian tidak secara automatik menjadikan seseorang itu seorang Muslim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
5
ADS