Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fiesta Rentak Pahang berlangsung 'sepi' dari sokongan

Sejak 23 Jan lalu, Gelanggang Budi yang terletak hanya kira-kira 4 kilometer dari pusat bandar raya Kuantan menjadi tuan rumah kepada Fiesta Rentak Pahang.

Lokasi yang dikendalikan Persatuan Gelanggang Seni Warisan Negeri Pahang itu menampilkan pelbagai aktiviti kesenian. Bukan hanya bengkel lukisan, malah muzik dan juga produk hasil kraf.

Sasaran utama mereka ialah untuk memberi kesedaran kepada rakyat di Pahang mengenai himpunan artis atau pelukis hebat dari negeri kelahiran pahlawan Mat Kilau dan Datuk Bahaman itu.

"Agak terkilan juga kerana usaha kami ini seolah-olah tidak dihargai banyak pihak," demikian luahan Wan Adnan Wan Abdullah, pengasas persatuan itu ketika ditemui Malaysiakini baru-baru ini.

Dia yang sudah lebih 30 tahun memperjuangkan seni budaya Pahang mengakui, pihaknya langsung tidak menerima bantuan atau dana daripada kerajaan negeri.

"Kami jemput exco untuk datang rasmi fiesta pun tiada jawapan, nampak sangat kami ini tidak penting bagi mereka," katanya lagi.

Sementara itu exco negeri, Leong Yu Man, berkata berlaku salah faham berhubung isu berkenaan apabila jemputan - yang didakwa dihantar melalui e-mel - tidak diterima pihaknya.

Katanya, dia akan berhubung dengan penganjur untuk menjelaskan keadaan.

Wan Adnan memaklumkan, pihaknya bertuah kerana usaha itu mendapat perhatian Yayasan Hasanah - milik Khazanah Nasional Bhd - yang memberikan geran melalui program Art For All Season (ArtFAS) bagi memastikan fiesta itu berjaya dianjurkan.

Katanya, penganjuran tahun ini adalah yang keempat dan semuanya menerusi geran disalurkan oleh Yayasan Hasanah.

Md Noh Abdul Majid

"Untuk fiesta tahun ini, kami bawa enam pelukis veteran bertaraf legenda di Pahang, selain sesi perkongsian dengan agensi seperti Akademi Kenegaraan, Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dan beberapa NGO lain.

"Kami cuba pelbagaikan acara sepanjang fiesta ini untuk menarik kehadiran lebih ramai peminat seni di Pahang, namun sambutan masih kurang menggalakkan.

"Sesi minum petang bagi membincangkan hal berkaitan loghat Pahang minggu lalu hanya disertai 30 orang pengunjung termasuk ahli panel.

"Kami sangka ramai yang berminat untuk tahu lebih lanjut berkaitan loghat yang ada di Pahang, rupanya hanya seramai itu sajalah, " jelasnya.

Tak ramai hargai seni halus

Wan Adnan turut memaklumkan, fokus utama fiesta tahun ini ialah Projek 6 Pelukis Veteran Pahang bagi mengangkat industri seni lukis negeri tersebut.

Katanya, kumpulan pelukis veteran itu akan menghasilkan dua karya korporat setiap seorang sebelum kemudiannya dijadikan katalog dan dokumentasi sijil keasliaannya.

"Hasil karya mereka itu akan dipamerkan serta dipromosikan untuk jualan di beberapa lokasi strategik sehingga hujung tahun ini," katanya.

Antara pelukis veteran yang menyertai fiesta itu ialah Osman Limat, Alihudin Bakar, Md Noh Abdul Majid dan Ismail Hussin.

Osman - atau lebih dikenali sebagai Pak Man - memberitahu, sehingga hari ini tidak ada penghargaan diterima daripada kerajaan negeri atas usahanya yang aktif dalam seni lukis sejak 1970-an.

Osman Limat

"Dulu adalah seorang pemimpin berjanji akan bantu dan tidak akan mengabaikan pelukis veteran ini, tapi hanya janji sajalah...

"Sampai sekarang tak ada apa-apa pun," katanya, namun enggan mendedahkan siapa pemimpin itu.

Osman bukanlah pelukis biasa. Selain di dalam negara, karya lukisan Osman turut pernah dipamerkan di Milan, Itali, selain siri pameran di Indonesia dan Singapura.

Ismail - atau lebih dikenali sebagai Ismail Hyatt - pula mempunyai sejarah tersendiri apabila hasil karyanya - Mother Teresa - masih kekal tergantung di sebuah muzium Brussels, Belgium.

Ismail Hussin

Dia mendapat gelaran Ismail Hyatt kerana pernah membuka galeri seni halus di Hotel Hyatt Kuantan antara 1987 hingga 2010.

"Sebelum itu, tak ramai yang menghargai karya seni halus, ketika galeri seni itu dibuka, orang ramai mula faham konsep yang cuba disampaikan menerusi karya lukisan bercirikan realisme.

"Saya berpegang kepada prinsip tekun, sabar dan berani mencuba... dari situ baru kita boleh menghasilkan lukisan yang memenuhi kepuasan diri," jelasnya.

Orang ramai yang ingin melihat dan belajar menghargai hasil karya pelukis veteran Pahang, mereka boleh mengunjungi Gelanggang Budi kerana Fiesta Rentak Pahang masih berlangsung sehingga 7 Feb ini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS