Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fiesta Rentak Pahang: Berlaku salah faham, kata exco
Diterbitkan:  Feb 5, 2026 11:25 PM
Dikemaskini: 3:25 PM

Exco Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Pahang, Leong Yu Man, mengakui berlaku sedikit salah faham berkaitan luahan disuarakan penganjur Fiesta Rentak Pahang yang sedang berlangsung sekarang.

Menurut Leong, pihaknya tidak menerima jemputan daripada Persatuan Gelanggang Seni Warisan Negeri Pahang untuk hadir atau untuk merasmikan program berkenaan.

"Penganjuran Fiesta Rentak Pahang tidak ada dalam makluman pejabat saya.

“Apabila terima dakwaan ini, pejabat saya menghubungi pihak penganjur, kami dimaklum jemputan dihantar melalui e-mel tetapi selepas disemak, kami tidak menerima e-mel tersebut," katanya menerusi hantaran di Facebook malam ini.

Leong turut memaklumkan dia akan berjumpa dengan pihak persatuan berkenaan bagi memperbetulkan salah faham yang berlaku.

"Kerajaan negeri menghargai usaha penggiat industri seni budaya untuk pembangunan industri ini.

“Terima kasih kepada Persatuan Gelanggang Seni Warisan Negeri yang memperjuangkan seni budaya Pahang.

"Terima kasih juga kepada Malaysiakini yang membuat liputan untuk mempromosikan Fiesta Rentak Pahang.

“Semoga kerajaan, penggiat industri dan media terus bersatu untuk memajukan seni budaya di negeri Pahang," katanya.

Dalam perkembangan sama, Leong turut menafikan kerajaan Pahang tidak pernah membantu persatuan berkenaan.

"Pada 2023, kerajaan negeri menaja tiket masuk untuk Konsert Inderapura 3 Budaya anjuran Persatuan Gelanggang Seni Warisan Negeri Pahang.

“Saya sendiri menghadiri konsert tersebut juga," jelasnya.

Perkara itu turut diakui pengasas persatuan berkenaan, Wan Adnan Wan Abdullah kepada Malaysiakini malam ini.

"Mengenai sumbangan atau dana daripada kerajaan Pahang, saya ingin menjelaskan bahawa pada 2023, persatuan ada terima RM2,000 daripada kerajaan negeri untuk tujuan pembelian tiket konsert (Inderapura 3 Budaya) dan tahun 2024 pula kami terima RM10,000 untuk tujuan sama.

"Jadi, bab sokongan kerajaan negeri itu bukan tidak ada langsung, ada juga... cuma kami harap penganjuran Fiesta Rentak Pahang ini dapat membuka mata pihak tertentu dan lebih diberi perhatian kerana ia adalah platform untuk menonjolkan bakat anak muda negeri ini dalam industri seni kreatif," jelasnya.

Untuk masa mendatang, kata Wan Adnan, Persatuan Gelanggang Seni Warisan Negeri Pahang berharap penganjuran Fiesta Rentak Pahang dapat menjadi projek yang dapat memberi impak kepada pembangunan bakat muda dalam industri seni dan kreatif di negeri tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS