Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempertahankan proses penapisan yang dijalankan berkaitan kenaikan pangkat pegawai awam, susulan keraguan dibangkitkan Ahli Parlimen PKR, Rafizi Ramli.
Terdahulu, bekas menteri ekonomi itu merujuk kes penyalahgunaan kuasa melibatkan bekas panglima tentera darat Hafizuddeain Jantan dan bekas panglima angkatan tentera Nizam Jaffar sebagai bukti tapisan SPRM tidak mencukupi untuk menghalang pegawai awam yang didakwa terlibat rasuah daripada dinaikkan pangkat.

Sebagai maklum balas terhadap dakwaan Rafizi, suruhanjaya itu menjelaskan proses tapisan yang dijalankan bukan siasatan jenayah.
"SPRM hanya terlibat sekiranya wujud aduan atau keperluan siasatan khusus, dan bukan sebagai penapis automatik dalam setiap urusan kenaikan pangkat.
"Secara realitinya, salah laku rasuah — khususnya yang melibatkan pegawai kanan — lazimnya dilakukan secara terselindung, terancang dan mengambil masa untuk dikesan," kata SPRM pada kenyataan semalam.
Proses tapisan integriti
Menurut SPRM, “proses tapisan integriti” itu berasaskan maklumat, aduan dan risikan yang tersedia pada masa permohonan tapisan dikemukakan secara rasmi oleh jabatan berkaitan bagi tujuan kenaikan pangkat seseorang pegawai.

Sehubungan itu, SPRM berkata jika pada masa tapisan dijalankan tiada laporan, aduan atau bukti kukuh menunjukkan amalan rasuah atau pelanggaran integriti, maka “tiada asas undang-undang” untuk menghalang kenaikan pangkat mana-mana pegawai awam.
Proses tapisan itu juga kata SPRM bergantung kepada permohonan rasmi daripada jabatan berkaitan dan tidak dilakukan secara automatik oleh suruhanjaya berkenaan.
"Banyak kes hanya terbongkar selepas tempoh tertentu apabila muncul bukti baharu, maklumat daripada pemberi maklumat, atau hasil risikan kewangan yang sebelum ini belum wujud.
Kenaikan pangkat tidak berikan imuniti
SPRM turut menegaskan bahawa kenaikan pangkat tidak memberikan imuniti atau perlindungan daripada siasatan pada masa depan.
"Sekiranya timbul aduan rasmi dan bukti mencukupi, siasatan akan dijalankan tanpa mengira kedudukan atau jawatan.
"Hakikat bahawa individu terlibat kini disiasat dan didakwa membuktikan bahawa SPRM bertindak berasaskan bukti dan undang-undang, serta berpegang kepada prinsip yang jelas: tiada sesiapa yang kebal daripada undang-undang.

Mengulas pengisytiharan harta, agensi antirasuah itu berkata prasyarat utama dalam proses kenaikan pangkat pegawai awam diurus dan disemak oleh jabatan serta suruhanjaya perkhidmatan masing-masing sebagai sebahagian daripada mekanisme tadbir urus dalaman dan tapisan integriti.
Rakyat sinis
Dalam mengkritik SPRM, Rafizi mempersoalkan bagaimana suruhanjaya itu boleh terlepas pandang dakwaan rasuah melibatkan angkatan tentera negara jika SPRM menapis semua pelantikan dan kenaikan pangkat dalam perkhidmatan awam.
"Bila jadi macam ni, jangan salahkan rakyat kalau rakyat sinis. Masa nak dinaikkan pangkat semua cantik, SPRM lulus semua.
"Bila ada yang tak berkenan atau tak kena, korek balik semua yang dulu-dulu," katanya dalam perkongsian di media sosial.
Melabelkan perkara itu sebagai "plot twist", Rafizi mengajukan kenyataannya itu terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki.

"Azam Baki dengan gah keliling podcast tunjukkan dia berani lawan rasuah - tetapi prevention is better than cure (mencegah lebih baik daripada merawat)," tambah Rafizi.
