Golongan bukan Islam boleh mengucapkan kalimah yang digunakan orang Islam seperti alhamdulillah dan insya-allah dengan syarat tidak merendahkan kesucian agama Islam.
Selain itu, penggunaannya juga tidak boleh mengandungi unsur penghinaan selain mesti digunakan dalam konteks yang betul.
Perkara itu dinyatakan oleh Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan yang diketuai Mufti Ahmad Fauwaz Fadzil, yang juga anak bekas presiden PAS Fadzil Noor, dalam siri penjelasan awam yang dimuat naik di laman webnya hari ini.
“Secara kesimpulannya, penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh bukan Muslim dalam perbualan harian adalah harus dan dibolehkan dalam suasana masyarakat majmuk yang saling meniru perbuatan antara satu sama lain,” katanya.

Penjelasan itu dibuat sehari selepas meletus kontroversi pengucapan kalimah alhamdulillah oleh pemimpin DAP Nga Kor MIng di parlimen, yang menimbulkan rasa tidak puas hati pemimpin PAS.
Jabatan itu bagaimanapun mengingatkan terdapat garis panduan yang perlu diraikan apabila seseorang bukan Islam mahu menggunakan kalimah-kalimah Islam, iaitu.
Tidak digunakan dalam konteks olok-olok, penghinaan atau persendaan.
Tidak dijadikan bahan komersial atau slogan yang mencemarkan makna asal.
Merujuk kepada umat Islam untuk menjelaskan makna sebenar kalimah tersebut bagi kegunaan yang betul dan tepat pada situasinya.
Polemik penggunaan istilah Islamik seperti “Insya- Allah”, “sujud syukur” dan “alhamdulillah” tercetus apabila anggota parlimen Rantau Panjang (PAS), Siti Zailah Yusoff menegur Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kerana menggunakan istilah-istilah itu.

Nga pada Rabu lalu, semasa sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat menggunakan istilah itu untuk menyatakan rasa syukurnya atas kejayaan kementeriannya menghidupkan semula 40,000 unit “projek sakit” di Bukit Katil, Melaka.
Ini mendorong Zailah mencelah dan bertanya jika dia "sudah beriman".
