Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengalaman 3 mangsa skim 'pinjam dulu, bayar masa keluar KWSP'

Sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendakwa kegagalan aspek kawal selia kerajaan membuka ruang kepada aktiviti pemberi pinjaman berlesen menyasarkan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), sekali gus mengancam keselamatan kewangan golongan hampir bersara.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat Malaysia (PGIRM), Azmi Mohd Tahir, berkata, pemberi pinjaman yang beroperasi di bawah kawal selia Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) kini secara terbuka menawarkan skim “pinjam dulu, bayar bila keluar KWSP” kepada pencarum berusia antara 53 hingga 55 tahun.

Tanpa disedari ramai skim tersebut ‘menjerat’ golongan sasaran dengan kadar faedah yang disifatkan tinggi lagi membebankan.

Menurut Azmi, tawaran tersebut menjadikan simpanan persaraan seseorang berubah menjadi cagaran hutang, sedangkan pencarum sendiri berdepan sekatan ketat untuk mengeluarkan wang simpanan mereka.

Azmi Mohd Tahir

Malaysiakini menemui beberapa pencarum KWSP untuk berkongsi pengalaman masing-masing dan bercerita bagaimana mereka terpaksa mengambil pinjaman sedemikian akibat tekanan hidup dan tiada pilihan lain.

Seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Azahar, 54, berkata dia kehilangan pekerjaan sejak pandemik Covid-19 melanda dan gagal mendapatkan kerja baru kerana faktor usia.

Azahar yang menetap di Subang Jaya, Selangor, memberitahu dia berdepan kesukaran kerana terpaksa menanggung empat orang ahli keluarga dan pada masa sama tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan.

“Pengeluaran KWSP bersasar sangat penting bagi saya kerana tiada punca pendapatan, terbeban dengan hutang sedia ada dan kos sara hidup pula makin meningkat.

“Nak pinjam daripada kawan atau saudara pun bukan mudah. Nak mula berniaga perlukan modal,” katanya kepada Malaysiakini.

Azahar berkata dia mengetahui kewujudan syarikat pinjaman berkenaan melalui media sosial dan hanya berurusan dengan syarikat yang berlesen di bawah KPKT.

Di situ, katanya, dia ditawarkan pinjaman RM30,000 dengan kadar faedah 5 peratus sebulan menjadikan jumlah bayaran balik keseluruhan sebanyak RM75,000.

Keadaan itu, katanya, bercanggan dengan peraturan ditetapkan KPKT iaitu 18 peratus setahun.

Serah kad ATM ke pihak lain

Bayaran semula pula, kata Azahar, perlu dibuat selepas dia layak mengeluarkan KWSP pada usia 55 tahun. Pun begitu dia berasa tertekan kerana terpaksa “menghanguskan” simpanan persaraan yang jauh lebih besar berbanding jumlah yang digunakan untuk kelangsungan hidup.

“Kalau pengeluaran bersasar dibenarkan, saya tak perlu rugi sampai RM75,000 hanya untuk guna RM30,000 duit saya sendiri,” katanya.

Dari segi kesan peribadi, Azahar mengakui kesihatan mentalnya terjejas, sering berasa tidak tenang, tekanan darah meningkat dan mudah marah.

Hubungan dalam keluarga juga menjadi renggang.

Justeru dia berharap kerajaan membenarkan pengeluaran bersasar KWSP dengan kadar faedah pinjaman yang mesti mematuhi had maksimum 18 peratus setahun seperti yang diperuntukkan dalam akta.

Dia juga menggesa agar dividen KWSP bagi 2025 disalurkan sepenuhnya ke Akaun Fleksibel sebagai langkah sementara.

Pengeluaran KWSP secara bersasar merujuk kepada kebenaran untuk pencarum tertentu mengeluarkan sebahagian daripada simpanan dalam akaun mreka sebelum umur persaraan.

Tujuannya antara lain ialah menampung kos sara hidup, melunaskan hutang kritikal atau keperluan mendesak.

Ia pernah dibenarkan ketika seluruh negara – dan dunia – berdepan dengan tekanan akibat Covid-19.

Bagaimanapun di sebalik ‘kelegaan’ yang dirasa pencarum, kebenaran berkenaan sebenarnya menyediakan kesulitan pada masa depan tanpa disedari. Misalnya pencarum tidak memiliki sokongan kewangan yang memadai apabila pencen.

Di Georgetown, Pulau Pinang, Nor, 43, yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan menjual kuih-muih ketika dia mula terjerat pinjaman selepas berhenti kerja dan berdepan tekanan kewangan.

Nor mengenali pemberi pinjaman melalui seorang rakan dan mengambil pinjaman RM2,000 namun hanya menerima RM1,800. Dia dikenakan balik bulanan RM200 dan jumlah keseluruhan yang perlu dijelaskannya melebihi RM7,000.

Kata Nor, satu daripada syarat untuk mendapat pinjaman tersebut ialah dia mesti menyerahkan kad ATM kepada syarikat berkenaan.

Apabila gagal membuat bayaran, Nor mendakwa, dia menerima gangguan berterusan termasuk panggilan telefon tanpa henti, ugutan, serta tindakan menghubungi ahli keluarga dan datang ke rumah.

“Mereka hubungi semua adik-beradik saya. Akibat tekanan itu, hubungan keluarga jadi renggang dan sampai hari ini kami tidak lagi bertegur sapa,” katanya kepada Malaysiakini.

Hasil titik peluh bertahun-tahun

Nor tidak pernah membuat laporan polis, namun pernah memberi amaran kepada pihak pemberi pinjaman bahawa dia akan membuat laporan sekiranya gangguan dan ugutan diteruskan.

Nor kini hidup dalam keadaan tekanan berterusan. Kesihatannya terjejas, hubungan keluarga rosak, dan kehidupan seharian serta pekerjaan sangat terganggu kerana dia sentiasa berasa tidak selesa dan tertekan.

Menurutnya, pengeluaran KWSP sebelum ini seperti i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra membantu membayar sebahagian hutang, namun baki pinjaman masih membebankan.

Seorang lagi mangsa di Puncak Alam, Selangor, Mohd, berkata dia tidak bekerja dan keadaan kewangannya sebelum ini tidak stabil sama ada sekadar cukup makan atau berdepan kekurangan.

Berusia 55 tahun dan mempunyai lapan orang anak, Mohd mula mengambil pinjaman selepas melihat iklan di Facebook yang mempromosikan konsep “ambil dulu, bayar apabila keluar KWSP”.

Dia membuat pinjaman dan menerima RM13,000 namun perlu membayar semula sebanyak RM32,133.

Mohd mengakui dia sedar risiko di depannya, namun terpaksa mengambil pinjaman tersebut demi kelangsungan hidup sekeluarga.

Bayaran dijadualkan bermula selepas pengeluaran KWSP dibuat, dan dia dimaklumkan bahawa faedah tambahan akan dikenakan sekiranya berlaku kelewatan.

Walaupun belum menerima ugutan kerana tempoh bayaran belum bermula, Mohd berkata tekanan emosi sudah mula dirasai, menjejaskan hubungan dengan anak-anak serta kehidupan seharian.

Dia berharap kerajaan menilai semula kewujudan pinjaman berlesen yang membebankan rakyat.

Kepada pencarum lain, dia menyeru agar bersama-sama mendesak Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya meluluskan pengeluaran KWSP seperti sebelum ini.

Katanya wang KWSP adalah hak pencarum dan hasil titik peluh bekerja bertahun-tahun, usteru tidak sepatutnya dihalang oleh dasar kerajaan tanpa mengambil kira kesusahan rakyat.

Sementara itu Azmi berkata, kerajaan perlu menghentikan pendekatan menutup mata dengan menyalahkan mangsa pinjaman along, sedangkan punca sebenar ialah ketiadaan akses kewangan selamat untuk pencarum terdesak.

“Ini bukan isu disiplin kewangan, ini kegagalan dasar melindungi rakyat yang sudah terhimpit dengan bebanan hutang,” dakwanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS