Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kalau tak keluar penjara pun, ilmu ini saya nak bawa ke akhirat'

Di sebalik tembok konkrit tebal dan tinggi serta jeriji besi yang mengehadkan setiap pergerakan, ada seorang remaja yang sedang melalui hidup gelap. Dia tidak pernah mengimpikan hidup yang sedemikian.

Lebih daripada itu, dia langsung tidak tahu sampai bila dia harus mendekam di dalam kepungan penjara. Justeru, boleh dikatakan istilah menghitung hari tidak wujud dalam kamus hidupnya.

Jeriji-jeriji besi Penjara Kajang yang mengurungnya tidak sekadar memisahkan dia dengan dunia luar. Ia bahkan meragut impian dan masa depan yang tidak sempat dicorakkan.

Namun, di ruangan itu jugalah terlahir suatu tekad yang juga tidak pernah terduga. Dia berazam mahu mengubah nasibnya, dan satu-satunya jalan yang menjanjikan ialah melalui pendidikan.

Malik Yatam baru berusia 14 tahun ketika itu. Dalam usia yang masih awal itulah dia memilih untuk berhijrah dari negeri kelahirannya – Sabah – untuk mencuba nasib di tanah yang begitu asing.

Niatnya semata-mata mahu membawa keluarganya keluar dari kemiskinan, kerana kemiskinan itulah juga yang memaksa dia untuk berhenti sekolah.

Namun dia bertemu dengan takdir yang tragis apabila menjadi mangsa eksploitasi dan penderaan oleh majikannya sendiri. Ia begitu menekan sehingga Malik terpaksa mengambil tindakan nekad.

Ia adalah suatu ‘perjudian’ yang mempertaruhkan nasibnya sendiri.

Kerja tanpa dapat gaji

Dalam pertaruhan itu dia kalah. Terjadilah apa yang terjadi dan dia dianggap melakukan jenayah besar lalu dihukum penjara tanpa ada sebarang tarikh pembebasan.

Malik menjadi seorang banduan berstatus Tahanan Limpah Sultan (TLS).

Pembebasan – kalau pun ada – hanyalah bergantung kepada pengampunan Sultan.

Menceritakan pengalamannya kepada Malaysiakini, Malik berkata, dia bersama beberapa orang lain diperdaya untuk meninggalkan Sabah dan memulakan hidup baru di Semenanjung Malaysia sebagai tukang masak di restoran.

Bagi seorang remaja yang bersekolah sehingga tingkatan satu saja, ia adalah janji yang indah. Namun keindahan yang dibayangkan itu bertukar ngeri setelah dia tiba di tanah yang serba asing di semenanjung.

Di restoran itu, Malik – yang masih sangat mentah – dilayan dengan buruk. Cacian dan makian adalah ‘makanan’ hariannya. Lauknya pula ialah benturan ke atas tubuhnya.

Gaji bulanan pula tidak diberi sama sekali.

Gambar hiasan

“Saya dipukul dan dimarahi oleh majikan ketika saya mahu melarikan diri buat kali kedua.

“Saya hanya cuba mempertahankan diri namun tindakan itu menyebabkan majikan saya terbunuh,” katanya.

Malik yang juga dikenali sebagai Murad kemudian menjalani kehidupan yang serba terkekang selama 24 tahun. Di Penjara Kajang itulah masanya dihabiskan dengan perasaan yang gelap dan hancur.

Dengan latar pendidikan yang setakat tingkatan satu, Malik tidak nampak ada sebarang harapan di depannya.

“Menjalani hukuman penjara pada usia muda menjadikan saya kosong dan ‘mati’, dunia terasa gelap. Tidak ada istilah untuk sambung belajar,” katanya.

Tiada pembimbing, buku rujukan

Namun jalan yang seperti mati itu tiba-tiba membawa sedikit sinar selepas dia melihat seorang juvana menyambung pelajaran walaupun tetap terkurung di dalam penjara.

Kata Malik, dari detik itulah keinginan untuk mengubah nasib kembali hidup.

Dia pun memulakan perjalanan akademiknya tanpa sebarang kelas formal di sebuah institusi yang dibina untuk menghukum atas sesuatu kesalahan undang-undang. Untuk meneruskan impian itu, ia menuntut ketabahan yang luar biasa.

Menurut Malik, ketika itu sistem persekolahan di penjara masih belum wujud. Maksudnya, dia perlu belajar tanpa kelas, tiada guru, dan tiada suasana kondusif seperti yang dilalui di luar penjara.

“Sekolah dalam penjara ketika itu hanya ada di Sekolah Henry Gurney,” katanya.

Selepas memohon untuk belajar, Malik terpaksa menunggu selama kira-kira dua tahun sebelum diberi izin oleh Jabatan Penjara Malaysia. Dengan tekad yang penuh itulah akhirnya Malik menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambah Malik, peluang itu tidaklah datang begitu saja, sebaliknya hadir bersama cabaran. Antaranya ketiadaan penjaga untuk menandatangani dokumen peperiksaan.

Namun dia bernasib baik apabila ada bapa rakannya tampil sebagai keluarga angkat bagi membolehkan dia menduduki peperiksaan.

Selain itu, persediaan menghadapi peperiksaan bukan mudah. Kekurangan tenaga pengajar dan bahan rujukan turut menjadi cabaran besar pada peringkat awal. Dia bersama rakan-rakan terpaksa belajar sendiri, berkongsi nota dan memahami silibus tanpa bimbingan guru.

Malah pada awalnya alat tulis turut tidak dibenarkan oleh pihak penjara atas pertimbangan keselamatan. Namun selepas melihat kesungguhan mereka, pihak penjara akhirnya memberi kelonggaran.

Mereka boleh menggunakan sebuah sel kosong untuk dijadikan kelas sementara. Itu pun dibenarkan dengan kawalan ketat.

“Kami tak ada cikgu, jadi kami kena belajar sendiri. Buku pun terhad, maka kami guna bergilir-gilir. Misalnya saya kena tunggu kawan habis belajar barulah saya boleh guna buku tu pula.

“Pada awalnya, pensel pun kami tak boleh pegang,” katanya.

Satu lagi cabaran buat banduan yang ingin belajar ialah persekitaran sel yang bising, selain sikap sesetengah penghuni penjara yang memperlekehkan kesungguhan mereka untuk belajar.

Namun demi masa depan yang lebih baik, dia memilih untuk bertahan dengan memekakkan telinga dan menjadikan kata-kata itu sebagai pembakar semangat.

“Apabila saya minta mereka untuk diam, mereka akan perlekehkan saya. Kalau tidak pandai kawal emosi, memang boleh bergaduh,” katanya.

Malik menduduki SPM pada 2006 sebagai calon persendirian. Ketika itu dia berusia 21 tahun. Setahun kemudian dia melangkah lebih jauh apabila menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pula.

Selepas berjaya melalui tapisan dan ujian kelayakan, Malik kemudian berjaya pula melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah, sarjana dan akhirnya ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dalam bidang pentadbiran perniagaan melalui program kerjasama dengan Open University Malaysia (OUM).

Jumpa keluarga tiga kali saja

Kata Malik, menuntut ilmu di penjara menuntut disiplin yang sangat tinggi. Setiap cabaran lebih kompleks khususnya berkaitan akses kepada kemudahan maklumat.

“Internet yang disediakan terhad enam jam saja, itu pun dibahagikan kepada tiga hari dalam seminggu.

“Kelajuan internet pula sentiasa dipantau. Untuk memuat turun satu jurnal akademik kadang-kadang saya kena tunggu sehingga satu jam.

“Beberapa laman sesawang seperti media sosial juga disekat penuh,” katanya.

Untuk mendapatkan bahan rujukan, dia akan menyenaraikan tajuk jurnal kepada penyelianya, Dr Zahid Osman, untuk dibawa masuk ketika sesi pembelajaran bersemuka di dalam penjara.

Menurut Malik, cabaran paling besar pula ialah berkaitan yuran pengajian. Keluarganya memang tidak mampu menanggung kos. Berhubung saja mereka jarang-jarang.

“Selama 24 tahun saya dalam penjara, hanya tiga kali saja saya berjumpa keluarga,” katanya.

Antara sumber yang membantu menampung kos itu ialah wang zakat yang diterimanya selepas memeluk Islam pada 2002. Wang itulah yang membolehkan Malik menduduki SPM dan STPM.

Semasa mengikuti pengajian di universiti, masalah kewangan kembali menghimpitnya sehingga dia hampir diberhentikan kerana gagal membayar yuran.

Malik kemudian menulis surat rayuan untuk mendapatkan bantuan NGO dan orang ramai.

“Saya beritahu yang saya betul-betul nak belajar,” katanya.

Usaha itu membuahkan hasil apabila bantuan orang ramai dapat menampung yuran dua tahun pertama pengajiannya.

Bagi tahun ketiga dan keempat, dia bersama beberapa prospek lain memohon dermasiswa bersyarat daripada universiti yang akhirnya diluluskan dengan syarat perlu membayar semula jika mereka gagal dalam peperiksaan.

Tambah Malik, pengajian peringkat sarjana pula dibiayai sepenuhnya oleh seorang aktivis sosial dan pengasas Yayasan Chow Kit, Dr Hartini Zainuddin selepas membaca kisahnya di media sosial.

Untuk pengajian peringkat PhD pula pihak OUM menawarkan dermasiswa 90 peratus, manakala selebihnya Malik perlu ikhtiarkan sendiri.

Kini pada usia 39 tahun Malik berjaya menggenggam PhD, sekali gus mencipta sejarah sebagai prospek pertama memperoleh pencapaian tertinggi itu ketika menjalani hukuman penjara.

Katanya, motivasi dia belajar bukan semata-mata untuk bebas.

"Memang saya mahu bebas, tetapi itu bukan satu-satunya motivasi saya bertahan untuk belajar.

"Saya sendiri tak tahu sama ada saya akan dibebas atau tidak, tapi saya tanam dalam hati: kalau tak keluar penjara pun, ilmu ini saya nak bawa ke akhirat,” katanya.

Selepas menjalani hukuman sejak 2001, Malik akhirnya dibebaskan pada 11 Dis lalu apabila mendapat pengampunan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sempena hari keputeraan baginda.

Kini dia sudah pulang ke pangkuan keluarga di Sabah dan menjadi usahawan tani yang mahu membantu bekas banduan lain melalui syarikatnya, Hikmas Enterprise.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS