Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN | Tulisan ini mengajak pembaca melihat krisis Iran melalui kaca mata tokoh pencetus revolusi, Ali Shariati, yang meninggal dunia tanpa sempat melihat idea yang digagaskannya menjadi kenyataan.

Umumnya, apa yang berlaku di Iran hari ini sedang ditafsir dengan dua kaca mata yang saling bertentangan.

Satu pihak melihatnya sebagai kebangkitan rakyat menentang pemerintahan Islam yang ketat dan menekan, manakala satu lagi bertegas bahawa ia hanyalah perang persepsi, demonstrasi yang dibesar-besarkan, korban yang dimanipulasi, dan naratif tembakan ke atas orang awam yang dicipta oleh AS serta media Barat untuk melemahkan Iran dari dalam.

Kedua-dua bacaan itu memiliki kepentingan sendiri.

Pun begitu, kedua-duanya tetap gagal menjawab persoalan paling asas: mengapa Iran - sebuah negara yang lahir daripada revolusi rakyat - kini kelihatan takut kepada suara rakyatnya sendiri?

Di sinilah bayangan Shariati menjadi relevan, bukan sebagai nostalgia intelektual, tetapi sebagai cermin yang memalukan.

Berdasarkan tulisannya, Shariati - sang pencetus kebangkitan rakyat di bawah Shah Iran yang zalim - tidak pernah membayangkan Islam sebagai sistem yang memerintah melalui ketakutan.

Dia tidak berjuang untuk menggantikan Shah dengan sebuah negara yang lebih cekap mengawal rakyat.

Mengapa mudah dipercaya

Islam bagi Shariati ialah alat pembebasan manusia daripada segala bentuk penindasan, termasuk yang bersembunyi di sebalik nama agama dan negara.

Iran hari ini kuat secara geopolitik. Ia menyaingi Israel, mencabar AS, dan menjadi simbol penentangan dunia Islam terhadap hegemoni Barat.

Namun kekuatan luaran itu dibayar dengan harga yang amat mahal di dalam negeri: retaknya kepercayaan rakyat - khususnya generasi muda - terhadap negara dan institusi agama yang memerintah.

Pemerintah Iran sering menegaskan bahawa demonstrasi yang berlaku adalah hasil hasutan asing, dan bahawa laporan tembakan terhadap orang awam hanyalah propaganda Barat.

Teheran juga bertegas memberitahu bahawa angka korban dimanipulasi untuk mencetuskan kemarahan global.

Mungkin sebahagian daripada dakwaan tersebut adalah benar.

AS memang tidak pernah berhenti menggunakan perang maklumat sebagai senjata. Media Barat pula memang selektif dalam simpati dan keadilan.

Tetapi persoalan sebenar bukan sama ada AS berbohong atau tidak kerana negara itu memang berbohong sejak di Vietnam, Iraq malah sehingga ke Palestin.

Persoalannya ialah: mengapa naratif itu mudah dipercayai oleh sebahagian rakyat Iran sendiri?

Jika Shariati menjadi pemimpin Iran hari ini, dia tidak akan menjadikan “AS” sebagai alasan universal untuk menutup semua persoalan dalaman. Hal itu kerana dia memahami imperialisme dan pada masa sama memahami psikologi rakyat.

Dia tahu bahawa propaganda luar hanya berkesan apabila kepercayaan dalaman sudah runtuh.

Islam yang dikhianati

Negara yang yakin dengan kebenaran tidak akan takut kepada kamera telefon, tidak panik dengan protes, dan tidak memerlukan senyap paksa untuk mempertahankan legitimasi.

Negara yang adil pula tidak perlu menutup internet untuk mengekalkan kesetiaan.

Shariati akan bertanya soalan yang tidak mahu ditanya oleh negara hari ini: Apakah yang telah kita lakukan sehingga rakyat lebih percaya naratif musuh berbanding penjelasan pemerintah sendiri?

Bagi Shariati, revolusi bukan hak milik negara. Revolusi adalah milik rakyat. Apabila negara merampas revolusi dan membekukannya menjadi slogan rasmi, maka revolusi itu mati, dan yang tinggal hanyalah institusi yang takut kehilangan kuasa.

Dia juga akan mengkritik keras penggunaan agama sebagai alat penguatkuasaan simbolik. Islam yang sibuk mengawal pakaian, tingkah laku dan ekspresi peribadi, tetapi gagal menutup jurang ekonomi, keadilan dan maruah hidup, adalah Islam yang telah dikhianati.

Gambar fail

Dalam bahasa Shariati, itulah agama yang telah berubah menjadi ideologi kuasa, bukan lagi kekuatan pembebasan.

Konflik di Iran hari ini bukan bukti kegagalan Islam. Ia bukti kegagalan Islam yang dipenjara oleh negara.

Jika Shariati memimpin, wanita tidak akan dianggap masalah ideologi, belia tidak akan dicurigai sebagai ejen asing, dan perbezaan pandangan tidak terus dilabel sebagai pengkhianatan.

Dia memahami bahawa masyarakat yang hidup tidak pernah seragam. Percanggahan adalah tanda kehidupan, bukan ancaman keselamatan.

Namun penting ditegaskan: Shariati bukan pemuja Barat. Dia tidak akan membuka pintu kepada liberalisme kosong yang memisahkan kebebasan daripada tanggungjawab sosial.

Tak anggap negara sebagai musuh

Penentangan terhadap AS dan Israel tetap menjadi prinsip asas. Tetapi perbezaannya jelas - dia tidak mempertahankan negara dengan mengorbankan rakyat.

Iran hari ini seolah-olah berada dalam dilema palsu: sama ada memilih keselamatan negara atau kebebasan rakyat.

Shariati menolak dikotomi itu. Bagi Shariati, negara yang menindas rakyat akhirnya akan menjadi lemah, dan negara yang kehilangan legitimasi moral akan mudah dijatuhkan, sama ada oleh musuh luar atau letupan dalaman.

Jika Iran jatuh, kesannya bukan kecil. Israel akan beroperasi tanpa kuasa penyeimbang. Negara-negara Teluk akan semakin tenggelam dalam orbit AS.

Palestin pula akan semakin terasing. Dunia Islam akan kehilangan simbol penentangan terakhir yang berani.

Tetapi perlu ditegaskan bahawa mempertahankan Iran tidak bermakna mempertahankan semua tindakannya tanpa soal.

Shariati mengingatkan bahawa musuh paling bahaya bukanlah musuh yang menyerang dari luar, tetapi keangkuhan kuasa yang enggan mengkritik dirinya sendiri.

Negara yang menganggap semua bantahan sebagai konspirasi akhirnya akan terperangkap dalam kepompong ketakutan yang diciptanya sendiri.

Jika Shariati menjadi pemimpin Iran hari ini, mungkin protes masih berlaku. Mungkin tekanan antarabangsa tidak berkurang. Tetapi satu perkara akan berubah secara mendasar - rakyat tidak akan merasa bahawa negara adalah musuh mereka.

Dan dalam politik, itulah sempadan membezakan antara negara yang bertahan dengan negara yang sedang menunggu masa untuk runtuh.

Sejarah tidak mengajar kita bahawa revolusi mati kerana musuh. Revolusi mati apabila ia berhenti percaya kepada rakyat yang melahirkannya.


MOHD NAJIB HASHIM ialah bekas ketua pengarang Suara Keadilan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS