Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amanah tuntut PAS mohon maaf pertikai kewibawaan UIAM
Diterbitkan:  Feb 7, 2026 11:29 AM
Dikemaskini: 3:42 AM

Amanah menuntut PAS memohon maaf kepada warga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) susulan kenyataan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan yang dilihat mempertikai kewibawaan institusi pengajian tinggi itu dalam menjalankan kajian berkaitan cadangan pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur.

Pengerusi Biro Pendidikan dan Pemerkasaan Masyarakat Amanah, Azli Yusof berkata kenyataan berkenaan bukan sahaja tidak berasas, malah mencerminkan sikap politik yang antiilmu dan antiakademik.

Menurutnya, UIAM bukan sebuah universiti yang baru atau tidak berpengalaman seperti didakwa, sebaliknya telah ditubuhkan sejak 1983 dan berkhidmat lebih empat dekad kepada negara sebagai institusi pengajian tinggi awam.

"Sepanjang tempoh tersebut, UIAM telah melahirkan ribuan graduan, sarjana dan profesional dalam bidang undang-undang, pentadbiran awam, ekonomi, perancangan bandar dan dasar awam, termasuk mereka yang kini berkhidmat kepada negara sejak puluhan tahun, bukan institusi picisan yang boleh dipersendakan demi kepentingan politik sempit.

"UIAM hanya beberapa tahun lebih muda daripada universiti-universiti tempatan lain, dan tidak pernah dianggap tidak berwibawa. Malah dalam bidang perundangan, tadbir urus dan dasar awam, UIAM diiktiraf sebagai pusat rujukan utama di peringkat nasional dan antarabangsa.

"Justeru, Amanah menyeru PAS agar menarik balik kenyataan tidak berasas tersebut dan memohon maaf kepada warga UIAM, menghormati peranan institusi ilmu serta kembali berpolitik secara bertanggungjawab, beretika dan berasaskan fakta,” katanya dalam kenyataan.

Azli yang juga Ahli Parlimen Shah Alam menegaskan, tindakan mempertikai kewibawaan UIAM sebelum kajian dijalankan dilihat cubaan melemahkan peranan universiti serta dapatan kajian ilmiah dalam menyumbang kepada pembentukan dasar awam dan reformasi institusi negara.

"Amanah mengingatkan bahawa merendahkan martabat mana-mana universiti awam sebelum kajian bermula hanya menguatkan persepsi bahawa PAS takut kepada fakta, data dan perbahasan terbuka malah boleh membina persepsi negatif yang menghakis keyakinan rakyat terhadap ilmu, kepakaran tempatan dan masa depan negara.

"Isu pilihan raya Datuk Bandar Kuala Lumpur adalah isu reformasi tadbir urus bandar yang serius dan memerlukan perbincangan matang, terbuka dan berfakta, bukan polemik politik sempit," tegasnya.

‘Tak perlu takut kajian’

Sementara itu, Pengerusi Bersih, Muhammad Faisal Abdul Aziz menyatakan rasa hairan apabila Takiyuddin mempersoalkan kewibawaan UIAM dalam membuat kajian atas alasan universiti itu bukan universiti senior.

Sambil menyebut beberapa nama, Faisal berkata UIAM memiliki pensyarah dan tokoh akademik berwibawa sama ada di peringkat tempatan mahupun antarabangsa.

Katanya, dalam isu Pilihan Raya PBT ini ada banyak pandangan yang boleh membawa kepada diskusi pro dan kontra, justeru adalah bagus bagi sebuah universiti membuat kajian untuk cari jalan penyelesaian.

"Paling penting kajian itu harus telus dan terbuka disertakan Focus Gruop Discussion (FGD) melibatkan semua pihak termasuk yang membantah.

"Hasil kajian nanti boleh dibahaskan oleh semua pihak. Maka tak perlu takut dengan kajian," katanya.

Pada 5 Feb lalu, Takiyuddin mempertikaikan pemilihan UIAM selaku institusi pendidikan yang melaksanakan kajian kebolehlaksanaan bagi mengadakan pilihan raya datuk bandar di Kuala Lumpur.

Ketua Whip PN itu berkata pihaknya ingin tahu atas dasar apa UIAM dipilih dalam pelaksanaan kajian itu sedangkan terdapat universiti lain yang “lebih senior” dan mempunyai lebih kepakaran bagi tujuan berkenaan.

"Universiti Kebangsaan (Malaysia) misalnya, ia ada kepakaran. Kenapa UIAM?

“Ini kami tidak mahu sebutlah, ada benda-benda yang kita tahu di belakang sana. Ia cukup baik tetapi kami mahu tahu kenapa pilih UIAM?” katanya pada sidang media di Pusat Media Parlimen, di Kuala Lumpur.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS