Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menggesa lembaga disiplin parti itu menyiasat dakwaan terhadap Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin, yang didakwa menyokong tindakan memperlekehkan kepimpinan presiden parti, Muhyiddin Yassin
Ketua Bahagian Bersatu Kuala Langat, Harrison Hassan, berkata parti itu bukan medan untuk permainan politik kotor atau agenda peribadi yang berselindung di sebalik sindiran dan ejekan.
"Tindakan dan tingkah laku sebilangan pemimpin Bersatu kebelakangan ini yang memperlihatkan unsur kritikan serta penghinaan terbuka terhadap kepimpinan Bersatu merupakan satu perbuatan yang biadab, tidak bertanggungjawab dan jelas mencabar disiplin parti.
"Tindakan seperti ini nyata tidak boleh diterima sama sekali di dalam sebuah parti politik yang berteraskan disiplin dan kesetiaan.
"Lebih membimbangkan, terdapat dakwaan yang semakin kuat bahawa Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Timbalan Presiden parti bukan sekadar berdiam diri, malah didakwa menjadi dalang di sebalik siri tindakan terancang yang bertujuan memperlekehkan kepimpinan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mencemarkan imej Bersatu di mata rakyat,” dakwa Harrison dalam kenyataan.

Malaysiakini telah menghubungi ketua pembangkang itu, yang kini berada di luar negara, untuk mendapatkan komen.
Sebelum ini, Ketua Bersatu Libaran, Yunus Nurdin, yang juga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu turut menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan susulan kemelut dalaman PN.
Yunus juga menyuarakan sokongan agar Hamzah memangku jawatan presiden Bersatu.
Mengulas lanjut, Harrison berkata tindakan sedemikian bukan sekadar mencerminkan keangkuhan politik, malah merupakan satu bentuk penderhakaan terbuka terhadap kepimpinan yang sah.

"Jika benar Datuk Seri Hamzah Zainuddin terlibat secara langsung atau tidak langsung sebagai perancang kepada tindakan-tindakan ini, maka ia merupakan satu pelanggaran serius terhadap Perlembagaan Bersatu dan etika kepimpinan.
"Parti tidak boleh berkompromi dengan unsur sabotaj dalaman yang merosakkan kestabilan dan masa depan perjuangan,” tegas Harrison.
Harrison berkata sekiranya dakwaan terhadap Hamzah dapat dibuktikan, tindakan disiplin paling tegas mesti diambil selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti.
"Tiada siapa, walau setinggi mana jawatannya, boleh diletakkan mengatasi parti dan presidennya,” katanya.
Pada Perhimpunan Agung Bersatu tahun lalu, Hamzah secara terbuka menyatakan bahawa dia bukan pengkhianat kepada Muhyiddin.
Namun Ahli Parlimen Larut itu masih belum tampil memberi penjelasan secara terbuka berhubung dakwaan bahawa dia menyokong kepimpinan serta gerakan dalaman yang membawa kepada pemecatan dan penggantungan beberapa Ahli Parlimen dan ketua bahagian parti itu.
