PULASAN | Sudah hampir genap sebulan Abdul Hadi Awang menulis surat menggesa agar Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat tergempar.
Mesej Abdul Hadi sangat jelas, terang lagi bersuluh. Al-Fadil Tuan Guru itu mahu PN segera memuktamadkan nasib mereka berdasarkan surat ditulis sebelumnya oleh Muhyiddin Yassin.
Nampak benar jurus langkah Abdul Hadi dalam menangani isu tersebut. Dia menunggu kira-kira 10 hari sebelum menulis surat terbuka menggesa PN mengadakan mesyuarat tergempar. Kalau dia seorang yang tamak dan cemerkap, tidak perlulah menunggu begitu lama, kan?
Muhyiddin menulis kenyataan meletak jawatan Pengerusi PN pada 30 Dis 2025 dan tarikh ia berkuat kuasa pula 1 Jan 2026. Abdul Hadi boleh memilih mendesak untuk PN bermesyuarat pada 2 Jan atau 3 Jan, malah 7 Jan.
Tetapi ternyata Presiden PAS itu berjurus orangnya. Dia – dan sepatutnya PAS juga – menunggu, menunggu dan menunggu sehingga 10 Jan sebelum menulis surat tersebut. Dan pada halaman itu jelas juga bahawa Abdul Hadi sudah menganggap Muhyiddin tidak lagi berkuasa sebagai Pengerusi PN.
Kerana itu dia menujukan surat tersebut hanya kepada para timbalan pengerusi dan ahli Majlis Tertinggi PN. Maklumlah, selain Muhyiddin, Setiausaha Agung PN juga sekarang sepatutnya kosong. Ia menambah senarai kekosongan PN sebelum ini.
Jangan lupa, kerusi Bendahari Agung PN juga sudah lama kosong. Walaupun ia jawatan yang penting, entah mengapa ia kurang difikirkan ramai orang.

Adakah surat Abdul Hadi itu dipandang sepi kerana tidak ada mesyuarat Majlis Tertinggi diadakan sehingga sekarang? Anda mungkin menganggapnya begitu tetapi dari sisi lain, ia menunjukkan betapa suara Abdul Hadi sebenarnya diberi perhatian yang amat besar.
Ada kemungkinan surat tersebut sebenarnya sedang diteliti dengan amat mendalam oleh para pemimpin PN. Mereka meneliti dan menelaah patah demi patah perkataan yang diungkapkan oleh Presiden PAS itu. Maklumlah, dia bukan sembarangan orang.
Setiap kata-katanya berisi, pandangannya jernih kerana dibantu oleh teropong yang putih bersih, firasatnya amat jauh ke depan, dan bidalannya kadang-kadang penuh dengan ilmu kehaiwanan.
Siapa paling sesuai jadi kepala
Masalahnya ialah, hal yang sama seakan-akan tidak dibuat ke atas surat peletakan jawatan Muhyiddin bertarikh 30 Dis itu. Yang banyak dilihat dan didengar ialah suara seakan-akan gembira dan puas kerana Muhyiddin diturunkan.
Ia kira-kira seperti perumpamaan dulu-dulu: hutang darah dibayar darah, hutang turun jawatan menteri besar dibayar turun jawatan pengerusi.
Kegagalan membaca jauh tanpa teropong suci bersih itu menyebabkan kedudukan jawatan Pengerusi PN seperti hantu raya – tidak diterima bumi, tidak juga boleh di bawa ke langit. Merayau-rayau bikin gelisah dan bimbang orang ramai saja.
Ketika peletakan jawatan Muhyiddin itu entah sah entah tidak, PAS sudah berkira-kira untuk mengangkat pemimpin mereka sebagai pengganti. Tetapi yang mungkin tidak difikirkan sangat oleh PAS ialah, PN bukan sekadar mereka dan keluarga mereka.
Dalam PN ada Bersatu, ada Gerakan dan ada MIPP (Parti Rakyat India Malaysia). Jika ada rezeki, mungkin ada parti baru yang menyertai PN sebagai komponen terkini. Ia menjadi nilai tambah yang besar juga nanti.
Nilai tambah kepada siapa, itu soal lain.
Boleh dikatakan semua itu adalah rakan tahaluf PAS yang sangat akrab. Gerakan, misalnya, pernah dibuktikan sangat bermakna dalam langkah PAS di Pulau Pinang semasa PRU ke-15 lalu. Buktinya, dengan kerjasama erat itu, PH nyaris-nyaris tersingkir dari tampuk kuasa.

Kini isu yang perlu diberi perhatian penuh ialah siapa tokoh PAS yang paling sesuai mengepalai gerak kerja PN ketika PRU ke-16 semakin mendekat. Ada yang berkata, tokoh tercocok ialah Ahmad Samsuri Mokhtar. Jika bukan dia pun, ada Tuan Ibrahim Tuan Man, atau Muhammad Sanusi Md Nor.
Yang terbaik ialah Abdul Hadi itulah. Abaikan pandangan Ketua Pemuda PAS Pusat. Afnan Hamimi Taib Azamudden yang bercakap tentang cerdas tidak cerdasnya Ahli Parlimen Marang itu. Abdul Hadi sendiri sudah menolak walaupun sesungguhnya dia layak.
Dipercayai faktor kesihatan yang menjadi faktor penolak itu sekadar alasan saja. Jika Abdul Hadi masih boleh memimpin PAS dengan penuh bergaya, tidak ada sebab mengapa dia tidak boleh menggantikan Muhyiddin.
Malah itulah yang dimahukan kebanyakan pemimpin kanan Bersatu. Maksudnya, Bersatu mahu PN dikendalikan oleh panglima yang terdiri daripada presiden parti, bukan sekadar timbalan apatah lagi sekadar berstatus naib presiden.
Tokoh garang, penuh strategi
Sukar mencari titik pertemuan di situ, nampaknya. Malah itulah yang menjadi punca mesyuarat tergempar masih tidak menjadi apa-apa. Yang menjadi setakat ini sekadar gempar, bukan mesyuarat.
Tetapi sebenarnya ada satu nama yang entah mengapa bagai diabaikan oleh banyak orang. PAS, malah Bersatu, Gerakan atau MIPP boleh mempertimbangkan nama tersebut. Jika kena sifir dan tuahnya, ‘bungkus’ terus kerajaan perpaduan nanti.
Nama itu ialah Mohd Amar Abdullah, seorang lagi Naib Presiden PAS. Dia mungkin tidak menonjol seperti Ketua Pembangkang DUN Perak, Razman Zakaria, atau Pesuruhjaya PAS Melaka merangkap Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.
Tetapi – ini serius, ya – Mohd Amar memiliki banyak kelebihan yang tidak ada pada nama-nama yang dikaitkan sebagai pengganti Muhyiddin.
Latar belakang agama, Mohd Amar ada; latar belakang profesional pun, dia ada. Berdasarkan kelayakan akademiknya tiada masalah langsung untuk dia berdepan dengan tokoh antarabangsa kerana bahasa Inggeris Mohd Amar tentulah ‘berhabuk’ fasihnya. Jika tidak bagaimana dia menamatkan pengajian di Birmingham, UK hampir 40 tahun lalu, kan?
Jika dia dibawa ke depan, tidak timbul isu PN diketuai oleh tokoh bukan agamawan. Menantu Abdul Hadi dan kem dia sudah tentu tidak ada alasan untuk membantah.
Mohd Amar pernah menjadi orang nombor dua dalam kerajaan Kelantan. Dia hanya selangkah saja lagi menjadi menteri besar tetapi takdir menyaksikan dia menjadi Speaker DUN Kelantan setakat ini.
Adakah itu petanda dia terbuang? Sudah tentu tidak. Mohd Amar ialah tokoh garang, ranggi dan penuh strategi. Dia lebih daripada sekadar harimau yang menyembunyikan kukunya. Mohd Amar adalah material pemimpin nasional yang mungkin belum disedari oleh PAS sendiri.
Inilah waktunya PAS dan PN mencatur gerakan di luar kotak biar PH dan BN terdiam. Inilah masa PAS mengorak Langkah Panchor.
AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini yang selalu terpesona dengan langkah pencak silat Mohd Amar Abdullah.
Tulisan ini tidak mencerminkan pendian Malaysiakini.
