Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zamri Vinoth, Tamim Dahri disiasat bawah Akta Hasutan

Polis mengesahkan dua penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) yang ditahan di hadapan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur malam tadi, disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus, berkata penahanan itu dibuat selepas pihak polis menerima sebanyak 131 laporan berkaitan perhimpunan itu.

Fadil memaklumkan kedua-dua mereka turut disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.

“Permohonan reman ke atas dua tangkapan ini akan dibuat hari ini di IPD Dang Wangi," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Selain itu katanya, 17 yang lain disiasat di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah [Akta 593] kerana terlibat dengan perhimpunan tersebut.

Kesemua mereka terdiri daripada 15 lelaki dan 4 wanita warganegara tempatan berumur antara 30 tahun hingga 64 tahun.

“PDRM komited untuk memastikan keselamatan di sekitar Kuala Lumpur sentiasa terkawal. Sebarang cubaan mengeksploitasi isu 3R akan disiasat dan diambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu atau kumpulan yang mencetuskan kekacauan atau provokasi melampau,” tegasnya.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan penyelaras perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth dan seorang lagi individu, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan bagi proses reman hari ini, manakala individu lain yang ditahan dalam perhimpunan malam tadi dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketika dihubung peguam Haniff Khatri Abdulla, yang turut merupakan antara individu ditahan, mengesahkan perkara itu selepas keterangannya diambil oleh pihak polis.

Dalam perkembangan sama Fadil juga mengesahkan pihak polis menahan tiga individu di Daerah Klang Utara berhubung isu sama di bawah Akta Hasutan 1948.

Katanya, tiga individu tersebut adalah pihak yang membantah tuntutan Garah.

“Tangkapan ini bersabit dengan Akta Hasutan melalui paparan di media sosial yang kita percaya akan menggangu gugat ketenteraman awam.

“Tangkapan ini telah mendapat permohonan reman selama sehari,” kataya.

Sementara itu Fadil berkata tindakan yang diambil terhadap penganjur dan peserta himpunan malam tadi mengambil kira kehadiran tetamu negara iaitu Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam lawatan rasmi ke Malaysia.

“Kita tidak mahu dalam keadaan kerajaan Malaysia menerima tetamu negara, pada waktu yang sama keadaan begini berlaku di negara kita. Ini di antara perkara yang kita pertimbangkan dalam kita mengambil tindakan.

“Apa yang saya nak tekankan di sini, menjaga ketenteraman dan keselamatan awam negara kita, kesejahteraannya adalah tanggungjawab semua pihak,” ujarnya.

Mengenai isu pembinaan rumah-rumah ibadat di tanah-tanah yang tidak dibenarkan, Fadil berkata pihak polis sedia memberikan kerjasama dan bertindak mengikut lunas undang-undang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS