Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images

Penyelaras perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth dan seorang lagi individu, Tamim Dahri Abdul Razak ditahan bagi proses reman hari ini, manakala 18 individu lain yang ditahan dalam perhimpunan malam tadi dibebaskan dengan jaminan polis.

Ketika dihubung peguam Haniff Khatri Abdulla, yang turut merupakan antara individu ditahan, mengesahkan perkara itu selepas keterangannya diambil oleh pihak polis.

"Sebanyak 20 individu ditahan sebelum perhimpunan semalam termasuk saya sendiri. Selepas polis mengambil keterangan, 18 individu dibebaskan dengan jaminan polis sekitar pukul 3 pagi.

"Namun, polis menahan Zamri dan Tamim untuk proses reman hari ini," katanya kepada Malaysiakini.

Haniff turut merakamkan penghargaan kepada pegawai polis bawahan atas layanan yang diberikan sepanjang tempoh penahanan, namun menyelar tindakan pihak atasan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pegawai polis bawahan yang memberi layanan yang baik, cuma isunya adalah pegawai atasan yang memberi arahan (penahanan)," katanya.

Terdahulu, pihak polis mula melakukan tangkapan seawal jam 8 malam terhadap individu yang dipercayai ingin menyertai perhimpunan membantah pembinaan rumah ibadat haram di pekarangan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur, malam tadi.

Kehadiran anggota polis termasuk pasukan antirusuhan dilihat mengawal ketat kawasan sekitar Sogo dan Masjid Jamek Kampung Baru bagi menghalang peserta berkumpul.

Arahan bersurai dikeluarkan oleh Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sazalee Adam, sekitar jam 9.00 malam selepas kehadiran orang ramai mencecah lebih 100 orang.

Selain Zamri, Haniff dan Tamim antara yang ditahan ialah Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Shafiq Abdul Halim, Hisyamuddin Abu Bakar (Pengerusi UMMAH Negeri Melaka) dan aktivis PPIM, Gulab Jan Fazal Elad.

Turut ditahan ahli Prowaris, Iskandar Khoo Kuan Yiaw serta aktivis-aktivis anti rumah ibadat haram, Jamalee Bashah, Fatimah Mat Raji, Elza Nadiah Shaik Sulaiman, Jurasmadi Pauzi, Esma Hisham Zainol Nor dan Monashofian Putra Zulkarnain Indra Putra.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim sebelum itu mengeluarkan amaran keras bahawa tindakan maksimum, termasuk tangkapan, akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba mengganggu gugat keselamatan negara.

Dia menegaskan bahawa meskipun rakyat bebas memberikan pandangan dan kritikan, kebebasan tersebut tidak merangkumi tindakan yang boleh dianggap sebagai pengkhianatan atau cubaan mempersulitkan keadaan negara.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, turut menggesa perhimpunan tersebut dibatalkan atas faktor ketenteraman.

Dia menjelaskan bahawa walaupun Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak lagi mewajibkan permit polis secara mutlak, pihak berkuasa masih mempunyai kuasa penuh untuk mengambil tindakan tegas sekiranya sesuatu perhimpunan dilihat mampu mengancam kestabilan dan keselamatan negara.

Pemimpin Urimai turut ditahan polis

Sementara itu, pihak polis turut menahan dua pemimpin parti Urimai yang juga penganjur kepada satu lagi perhimpunan yang pada asalnya dijadualkan hari ini di India Gate, Brickfields.

Penasihat Gabungan Hindu Temple Task Force Satees Muniandy mengesahkan perkara itu kepada Malaysiakini.

"Kami baru sahaja dimaklumkan bahawa sekumpulan pegawai polis dari Dang Wangi telah membawa K Gunasekaran (Cikgu Sekar) dan Sai Saravana, dari rumah mereka di Klang sekitar 12.30 malam.

"Parti Urimai dengan tegas mengecam gangguan yang tidak perlu terhadap para aktivis kami. Tujuan pihak polis Dang Wangi membawa mereka masih tidak jelas, kerana pegawai yang terlibat enggan mendedahkan sebarang maklumat atau sebab berkaitan tindakan tersebut.

"Walaupun sebab sebenar masih tidak diketahui, kami percaya tindakan ini mungkin ada kaitan dengan penahanan yang dilakukan pihak polis di kawasan Sogo malam tadi. Namun begitu, adalah tidak jelas mengapa Cikgu Sekar dan Sai Saravana dibawa, sedangkan mereka tidak mempunyai sebarang kaitan dengan mana-mana kejadian yang berlaku hari ini," katanya.

Untuk rekod, Cikgu Sekar merupakan penganjur 'Perhimpunan Membantah Keengganan Polis-Kerajaan untuk Mengambil Tindakan Terhadap Penghinaan Agama Hindu di Malaysia', yang telah ditunda dari 8 Feb kepada 15 Feb.

Penganjur bersetuju dengan permintaan pihak polis supaya perhimpunan tidak diteruskan ketika lawatan pemimpin perdana menteri India.

Mengulas lanjut, Satees yang setiausaha Urimai berkata pihaknya mematuhi sepenuhnya permintaan pihak polis dan segera mengumumkan pembatalan tersebut demi menjaga imej negara semasa lawatan pemimpin asing ke Malaysia.

"Adakah kerajaan hari ini cuba 'mengimbangi' penahanan mereka yang berhimpun di Sogo walaupun telah diberi amaran oleh polis? Dan mengapa individu yang mematuhi arahan polis pula diganggu? Apakah bentuk politik murahan seperti ini?

"Cikgu Sekar dan Sai Saravana tidak melanggar sebarang undang-undang, namun tetap diganggu oleh pihak polis, kononnya atas alasan 'imbangan tindakan'. Kami dengan tegas mengecam gangguan ini," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS