Pemuda Umno menawarkan khidmat guaman percuma kepada mereka yang mungkin dihadapkan ke mahkamah berhubung himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah) di Kuala Lumpur, malam tadi.
Perkara itu diumumkan ketuanya, Dr Akmal Saleh yang turut menegaskan Perlembagaan Persekutuan menjamin hak rakyat untuk berhimpun secara aman.
“Kami difahamkan beberapa orang rakyat telah ditahan malam semalam semasa berlangsungnya himpunan aman di hadapan Sogo dan mereka ini akan didakwa di mahkamah pada bulan hadapan.
“Sehubungan dengan itu, pergerakan Pemuda Umno ingin menawarkan perkhidmatan peguam secara percuma bagi mereka yang akan didakwa atas himpunan ini,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Makaysiakini melaporkan polis mengesahkan dua penyelaras Garah yang ditahan di hadapan kompleks beli-belah Sogo, Kuala Lumpur malam tadi, disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948.
Mereka adalah Zamri Vinoth dan Tamim Dahri Abdul.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Fadil Marsus berkata mereka turut disiasat mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998.
Dia juga memaklumkan 17 individu yang lain disiasat di bawah Seksyen 105 Kanun Tatacara Jenayah (Akta 593) kerana terlibat dengan perhimpunan tersebut.
Akmal yang juga Exco Melaka berkata, pihak dalam kerajaan sekarang sentiasa mempertahankan hak untuk berhimpun ketika menjadi pembangkang.
“Sepatutnya hak itu perlu dipertahankan juga ketika mereka menerajui kerajaan pada hari ini, dan bukan dengan menakutkan rakyat dengan kuasa yang ada,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim memberi amaran tindakan maksimum akan diambil kepada mana-mana pihak yang mengganggu gugat keselamatan, ketika negara dihadiri Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Modi dalam lawatan dua hari rasmi di Malaysia bermula semalam.
