Sambil mengingatkan Anwar Ibrahim bahawa dia berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia dan bukannya sekadar kepada umat Islam sahaja, Lawyers for Liberty (LFL) menggesa perdana menteri supaya menarik balik arahan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk "membersihkan" mana-mana rumah ibadat yang dibina secara tidak sah.
Pengarah Eksekutif LFL, Zaid Malek berkata penarikan balik arahan itu perlu bagi mengelakkan kebencian kaum dan agama daripada terus merebak, sama ada melalui sokongan kerajaan secara nyata mahupun tersirat.
"Pendekatan yang lebih holistik dan berhemah mesti digunakan apabila membincangkan perkara yang menjejaskan rumah ibadat mana-mana komuniti agama di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

Zaid menyifatkan arahan Anwar sebagai "berbahaya" dan "tidak bertanggungjawab," serta memberi amaran bahawa ia boleh membuka ruang kepada perobohan kuil Hindu secara sewenang-wenangnya.
"Ini adalah kenyataan yang membimbangkan dan mengejutkan daripada perdana menteri. Adakah dia telah menilai kesannya?
"Apa sebenarnya maksud beliau apabila meminta PBT untuk 'membersihkan kawasan yang bukan milik kuil'? Kesimpulanna ialah beliau maksudkan laksanakan perobohan kerana beliau tidak menawarkan sebarang penyelesaian alternatif.
"Ia adalah arahan yang berbahaya dan provokatif daripada PM, yang pada dasarnya merupakan arahan kepada PBT untuk bergerak secara proaktif ke arah merobohkan semua kuil haram. Ia lampu hijau untuk perobohan, dan ini tidak pernah berlaku dalam sejarah kita," katanya.
Zaid seterusnya memberi amaran bahawa seruan perdana menteri itu boleh membawa kesan yang tidak boleh berpatah balik terhadap hubungan kaum dan agama.

Pengarah LFL itu turut mengkritik Anwar kerana mengetepikan kebimbangan terhadap istilah "kuil haram" sebagai sekadar semantik, sambil menyatakan bahawa penggunaannya oleh pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyumbang secara signifikan sehingga menjejaskan keharmonian sosial.
"Sentimen di sebalik istilah itu bermotifkan perkauman, yang ditujukan khusus untuk menghina dan merendahkan komuniti Hindu di Malaysia. Anwar, yang berbangga dengan kemahirannya dalam bahasa Melayu, mustahil tidak menyedari nada rasis yang jelas di sebalik istilah itu.
"Ia adalah laungan golongan xenofobia yang kini mensasarkan kuil-kuil Hindu dan penganutnya di seluruh negara. Mereka kini akan lebih berani untuk mengambil tindakan lebih drastik kerana telah menerima sokongan tersirat daripada PM sendiri," tambahnya.
Zaid menegaskan bahawa memberi tumpuan semata-mata kepada aspek legaliti akan menyebabkan terlepas pandang gambaran yang lebih besar, memandangkan rumah ibadat tidak muncul tanpa tujuan.
"Ia mempunyai nilai sejarah, agama dan sentimental kepada komuniti yang menggunakannya. Mengurangkannya semata-mata kepada soal pemilikan tanah mengabaikan sepenuhnya kerumitan dan kehalusan negara pelbagai budaya dan agama seperti Malaysia.

"Sebab itulah kelulusan nyata oleh seorang PM yang sedang berkhidmat untuk merobohkan semua kuil 'haram' tanpa ragu-ragu akan menghancurkan keharmonian kaum dan agama negara yang sememangnya sudah rapuh," tambahnya.
Pagi tadi, Anwar mengambil pendirian tegas dalam pertikaian berterusan mengenai rumah ibadat haram, dengan menekankan bahawa semua tindakan mesti mematuhi kedaulatan undang-undang.
Dia mengkritik keras kedua-dua pihak — mereka yang mengambil tindakan sendiri dan mereka yang mewajarkan pembinaan rumah ibadat yang melanggar syarat undang-undang.
Sambil menyatakan bahawa Perlembagaan Persekutuan mengiktiraf hak untuk mengamalkan agama, Anwar menekankan bahawa ini tidak memberi kuasa kepada kerajaan untuk membenarkan pembinaan rumah ibadat di luar batasan undang-undang.

"Kita tidak boleh membiarkan (rumah ibadat) muncul bak cendawan tumbuh di mana-mana sahaja, di bawah pokok... di merata tempat. Amalan ini mesti dihentikan. Saya sudah tanya, di India, dan bagi orang Cina, di China, amalan seumpama itu tidak dibenarkan," katanya.
