Timbalan presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan agar kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa bebas untuk memantau tindakan penguatkuasaan SPRM.
Dalam komentar yang disiarkan The Star hari ini, Nurul Izzah berkata jawatankuasa itu harus menjawab terus kepada Parlimen.
Menurutnya, isu yang dihadapi SPRM bersifat sistemik, dengan kuasa penyiasatan, pendakwaan dan kewangan berpusat kepada satu institusi di bawah Akta SPRM.
Isu tersebut, katanya lagi, diburukkan lagi dengan pemantauan luar yang terhad terhadap SPRM dan boleh dikatakan tidak berkesan.
“PKR konsisten membangkitkan kebimbangan ini sejak awal 2000-an. Apabila kuasa sebegini tidak dipantau, risiko salah guna bukanlah sesuatu yang bersifat hipotesis – ia tidak dapat dielakkan.
“Apabila tiada siapa memantau pihak yang membuat pemantauan, kebertanggungjawaban akan terhakis,” kata bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu.
Pada Mei tahun lalu, Nurul Izzah menyuarakan bangkangannya terhadap keputusan Perdana Menteri Anwar Ibrahim melanjutkan kontrak Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk kali ketiga.

Dia bahkan menyuarakan komitmen untuk membangkitkan perkara itu kepada bapanya.
Azam merupakan Ketua Pesuruhjaya SPRM yang mencetuskan kontroversi. Antara kritikan terhadapnya adalah apa yang dilihat sebagai kelambatan dalam siasatan skandal rasuah Sabah yang melibatkan beberapa Adun dan pemimpin kerajaan negeri.
Pada November tahun lalu, isteri ahli perniagaan Albert Tei, Lee Pei Rie membuat laporan polis mendakwa pegawai SPRM mengacukan senjata ke arah mereka semasa serbuan ke rumah mereka.
Walaupun Azam menafikan dakwaan tersebut, SPRM masih belum mendedahkan rakaman CCTV yang dirampas dari rumah Tei.
Tei merupakan individu yang mendedahkan dakwaan rasuah berkaitan kelulusan lesen penerokaan mineral melibatkan ahli politik Sabah itu.
Mengulas lanjut cadangannya, Nurul Izzah berkata jawatankuasa pemantau mesti diberi kuasa untuk menyemak tindakan penguatkuasaan SPRM.
Ia termasuklah meneliti keputusan pembekuan aset, mengaudit aliran kewangan dan memastikan usaha membanteras rasuah dipandu oleh bukti serta proses sewajarnya, bukannya budi bicara tanpa batas, katanya.
Katanya lagi, walaupun badan antirasuah yang berani dan bebas adalah penting, ia tidak boleh sewenang-wenangnya mengenepikan persoalan mengenai cara ia menjalankan siasatan.
Nurul Izzah berkata institusi yang memiliki kuasa yang besar mesti dipertanggungjawabkan pada tahap tertinggi bagi memastikan tindakannya mendapat kepercayaan umum.
“Tindakan mempersoalkan bagaimana kuasa digunakan bukan serangan terhadap institusi penguatkuasaan. Sebaliknya, ia untuk mempertahankan keabsahannya.”
Mengenai pembekuan aset, Nurul Izzah menegaskan betapa pada masa lalu, aset milik individu ternama dirampas tanpa penjelasan yang memadai, sebelum keputusan itu akhirnya dibatalkan.
“Jika tidak ada asas kukuh untuk menyokong kes itu, mengapa tindakan drastik sebegitu diambil sejak dari awal? Proses sewajarnya (due process) bukan keistimewaan bagi mereka yang berpengaruh atau kaya – ia adalah asas keadilan.
“Tanpanya, kuasa tanpa kawalan yang digunakan hari ini terhadap golongan berkuasa boleh digunakan terhadap rakyat biasa di masa akan datang, yang tidak mampu membela diri mereka,” katanya.
Sebagai peringatan kepada kerajaan Persekutuan, Nurul Izzah berkata rakyat kini menuntut siasatan dibuat berdasarkan bukti dan disertai pendakwaan yang berkesan, dengan kekayaan yang dicuri dipulangkan sepenuhnya kepada negara.
“Hanya dengan itu kita dapat meyakinkan rakyat bahawa keadilan ditegakkan tanpa takut atau pilih kasih, bahawa rasuah dihukum sepenuhnya, dan bahawa tiada siapa, termasuk mereka yang diberi kuasa penguatkuasaan, berada di luar jangkauan penyiasatan,” katanya lagi.
