Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki sekali lagi menjadi perhatian berhubung portfolio pegangan sahamnya — isu yang sebelum ini pernah menyebabkan Pakatan Harapan menyertai gesaan supaya beliau disingkirkan daripada jawatan ketua pencegah rasuah negara.
Laporan Bloomberg hari ini mendedahkan Azam memiliki 17.7 juta saham dalam syarikat perkhidmatan kewangan Velocity Capital Partners Berhad — bersamaan kira-kira pegangan 1.7 peratus.
Malaysiakini mengesahkan laporan tersebut melalui rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Nilai saham tersebut hampir RM800,000 pada pembukaan dagangan hari ini, jauh melebihi had yang dikenakan kepada penjawat awam yang tidak dibenarkan membeli lebih RM100,000 saham dalam mana-mana satu syarikat.

Tidak jelas bila Azam memperoleh saham tersebut. Namun, semakan terhadap sejarah harga saham Velocity Capital Partners di Bursa Malaysia menunjukkan nilainya relatif tidak berubah sejak Ogos 2022 pada sekitar RM0.045 sesaham dan pernah memuncak hampir RM1.50 sesaham pada April 2019.
Azam enggan mengulas ketika dihubungi Malaysiakini.
Sebelum ini pada hujung 2021, ketua pesuruhjaya SPRM itu turut menjadi perhatian berhubung pemilikan 1,930,000 saham Gets Global Berhad (dahulunya KBES Berhad) pada 30 April 2015, bernilai kira-kira RM772,000 ketika itu.
Pegangan sahamnya dalam Gets Global Berhad berkurangan kepada 1,029,500 pada 31 Mac 2016, bernilai sekitar RM340,000. Dia juga memiliki 2,156,000 waran dalam Excel Force MSC Berhad pada Mac 2016.

Peraturan had pembelian saham RM100,000 bagi penjawat awam telah pun berkuat kuasa ketika itu.
Pada Januari 2022, Azam berkata dia telah memaklumkan Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM bahawa saham tersebut dibeli oleh adiknya yang meminjam namanya dan dia yakin tidak melakukan sebarang kesalahan.
Penjelasan itu mencetuskan siasatan Suruhanjaya Sekuriti yang akhirnya mendapati tiada bukti perdagangan proksi kerana Azam mempunyai “kawalan” ke atas akaun dagangannya sendiri.
Pada 20 Januari 2022, ketua pembangkang ketika itu Anwar Ibrahim berjanji akan membangkitkan perkara tersebut dengan perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Ini selepas Pemuda PKR menyerahkan memorandum kepadanya yang antara lain menggesa ketua SPRM mengisytiharkan aset mereka.
Namun, sejak menjadi perdana menteri pada November 2022, Anwar menjadi penyokong kuat Azam malah menegaskan peneraju SPRM itu satu-satunya individu yang berani mengambil tindakan terhadap pemimpin rasuah.
Anwar juga telah melanjutkan kontrak Azam sebagai ketua SPRM sebanyak tiga kali selepas usia persaraan.
Kontrak semasa Azam dijadualkan tamat pada 12 Mei 2026 dan dia memberi bayangan akan bersara sepenuhnya.

Selepas laporan Bloomberg hari ini diterbitkan, Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim berpendapat Anwar perlu merehatkan ketua SPRM itu sekarang.
“Kerana ada perjembangan baru, ada fakta baru, ada evidence dan keterangan baru maka PM Anwar Ibrahim patut mengarahkan Azam Baki bercuti atau kontraknya ditamatkan segera supaya satu siasatan baru oleh SPRM dan/ atau polis terhadap Azam Baki.
"Tiada pilihan lain jika PM Anwar jujur untuk memerangi rasuah dan salah guna kuasa ke akar umbi,” kata Hassan kepada Malaysiakini.
Ahli parlimen PKR yang lantang bersuara itu berkata Anwar sedia maklum mengenai dakwaan terhadap Azam dan sokongan berterusan terhadap ketua SPRM itu telah menjejaskan kredibiliti kerajaan dalam usaha memerangi rasuah.
