Kemelut dalaman Bersatu terus memanas dengan seorang lagi pemimpin kanan parti itu membuat desakan terbuka agar presiden mereka, Muhyiddin Yassin, melepaskan jawatannya.
Gesaan itu kali ini dibuat Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, yang tidak teragak-agak menyifatkan Muhyiddin gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan.
Jelas Ronald, tindakan Lembaga Disiplin Bersatu menghadapkan timbalan presiden parti itu, Hamzah Zainudin, atas tuduhan lama dan baru adalah satu langkah yang jelas bersifat regresif.
Malah, katanya, tindakan badan tersebut bercanggah dengan usaha memperkukuhkanparti bagi menghadapi PRU akan datang.
“Lebih membimbangkan, tindakan lembaga disiplin menghadapkan ketua-ketua bahagian termasuk ahli parlimen dan Adun yang menyokong Hamzah memperlihatkan penyalahgunaan prosedur secara terdesak bagi membungkam suara pimpinan utama parti daripada terus menyampaikan pandangan, teguran dan maklum balas demi kelangsungan serta masa depan Bersatu.
“Keadaan ini menyebabkan Bersatu pada pandangan rakyat kelihatan semakin hilang arah dan tersasar daripada matlamat perjuangan sebenar.
"Seolah-olah perjuangan parti kini hanya tertumpu kepada usaha mengekalkan kuasa Muhyiddin serta melindungi kelompok penyokong pemimpin tertentu tanpa mengambil kira hubungan dan kepercayaan rakan-rakan parti sahabat dalam gabungan PN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu hadir ketika penyokong dari kem Muhyiddindan Hamzah saling menyerang secara terbuka sejak beberapa hari lalu.

Ronald yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, dalam konteks tersebut, Muhyiddin jelas gagal menguruskan krisis dalaman parti dengan berkesan, sehingga ia dibiarkan berlarutan ke tahap yang hampir mustahil untuk dipulihkan.
“Lebih malang, beliau dilihat menggunakan seluruh baki kekuatan yang ada semata-mata untuk mempertahankan kedudukannya sebagai presiden demi memenuhi agenda peribadi untuk kembali menjadi perdana menteri, termasuk menghalang laluan Hamzah daripada memimpin Bersatu pada masa hadapan,” katanya.
Dia yang pernah menjadi Menteri Pertanian dan Industri Makanan menegaskan, untuk memulih serta membina semula kekuatan sebenar Bersatu - termasuk memperkukuhkan hubungan strategik bersama rakan-rakan komponen PN - langkah yang patut diambil Muhyiddin ialah berundur.
Desak umum sokong Muhyiddin
Menurut Ronald, dia percaya kenyataan yang dibuat dengan niat murni hari ini boleh diterima oleh seorang pemimpin berjiwa besar seperti Muhyiddin.
“Apatah lagi pendirian ini selari dengan inti pati kenyataan beliau sendiri terhadap Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Singapura pada 2008,” katanya.
Muhyiddin merupakan antara pemimpin kanan Umno yang mendesak Abdullah agar berundur atas faktor kebimbangan parti berkenaan menghadapi PRU dan tidak dapat menguasai dua per tiga Dewan Rakyat.
Bagaimanapun semasa gerakan menjatuhkan Najib Razak, Muhyiddin menyatakan dia "menyesal" membuat desakan tersebut ke atas Abdullah.
Ketika itu Muhyiddin merupakan Pengerusi Jawatankuasa Etika dan Pindaan Perlembagaan Umno.
Sebelum ini sejumlah pemimpin pelbagai peringkat menyuarakan kehendak mereka agar Muhyiddin memberi laluan kepada Hamzah memimpin Bersatu.
Rasa kurang senang itu turut dikongi sesetengah pemimpin parti lain dalam PN.
Pada masa sama penyokong Muhyiddin pula kian giat mempertahankan bekas perdana menteri berkenaan sambil mendesak agar Hamzah disingkirkan.
Desakan agar Hamzah dipecat sebelum ini disuarakan beberapa ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, dengan lembaga disiplin sekali lagi memanggil bekas Menteri Dalam Negeri tersebut.
Dua ahli MPT Bersatu, Mohd Yazid Mohd Yunus dan Jasri Jamaludin malah mendesak Hamzah agar secara terbuka menyuarakan sokongan kepada Muhyiddin selaku presiden.
Sementara itu, pemimpin Bersatu yang digantung keahlian, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mencabar musuh-musuh Hamzah untuk bertindak.
