Salah satu sayap Bersatu hari ini menempelak naib presiden parti itu, Ronald Kiandee, yang membuat desakan terbuka agar Muhyiddin Yassin melepaskan jawatan sebagai presiden.
Bersandarkan kepada prestasi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini, Pemuda Bersatu (Armada) berpendapat, Ronald "tidak layak" untuk membuat gesaan tersebut.
Ketua penerangannya, Harris Idaham Rashid, berkata mereka mahu melihat semua pemimpin parti menggembleng tenaga mencapai kejayaan besar pada masa mendatang.
"Armada menegaskan Ronald tidak layak untuk bercakap soal meminta presiden berundur selepas PRN Sabah apabila Bersatu yang dipimpin olehnya kalah di semua kerusi yang dipertandingkan.
"Tambahan pula majoriti calon Bersatu hilang deposit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ia menyusul tidak lama selepas Ronald membuat kenyataan terbuka mendesak Muhyiddin berundur dari jawatan Presiden Bersatu.
Antara lain, Ronald berpendapat Muhyiddin gagal menyelesaikan krisis dalaman Bersatu dengan berkesan sehingga melarat menjadi kemelut yang hampir mustahil dipulihkan.
Turut dibangkitkan ialah langkah Lembaga Disiplin Bersatu memanggil timbalan presiden parti tersebut, Hamzah Zainudin, untuk menjawab beberapa pertuduhan yang dibuat ke atasnya.
Harris Idaham berkata jika ada pihak yang cuba menggugat kestabilan parti, Armada berpendapat adalah lebih baik mereka dikenakan tindakan disiplin daripada membenarkan keutuhan parti dihancurkan dari dalam.
Datang bersama tanggungjawab
Sementara itu anggota Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Mohd Yazid Mohd Yunus, turut berpendapat Ronald tidak wajar membuat gesaan ke atas Muhyiddin berdasarkan rekod dalam PRN Sabah lalu.
Kata Mohd Yunus, ketika parti berdepan dengan tekanan, apa yang patut dibuat Ronald ialah bermuhasabah.
"Realiti PRN Sabah tidak boleh dinafikan. Bawah kedudukan beliau sebagai Ketua PN Sabah dan tokoh utama Bersatu di negeri itu, lebih 90 peratus kerusi yang dipertandingkan mengalami kekalahan, malah 36 orang daripada 42 orang calon telah hilang deposit.
"Ini bukan sekadar kekalahan biasa, tetapi satu tamparan besar terhadap kredibiliti kepimpinan negeri.
"Lebih mengecewakan, Ronald sendiri tewas di kawasannya, DUN Sugut dengan majoriti 2783 undi.
"Seorang pemimpin yang gagal mempertahankan sokongan di kubu sendiri sewajarnya tampil dengan rasa tanggungjawab dan rendah diri, bukannya mendesak orang lain mengosongkan jawatan," katanya.

Dia yang juga Adun Lepar di Pahang berpendapat, Ronald akan dilihat bermaruah jika meletak jawatan sebagai Pengerusi Bersatu Sabah.
Pada masa sama, Mohd Yazid mempersoalkan sumbangan diberi Ronald kepada parti yang dianggapnya "tiada lonjakan signifikan" atau naratif yang bersifat nasional.
Katanya, jawatan naib pbukan sekadar gelaran sebaliknya datang bersama tanggungjawab untuk memperkukuh organisasi, menyatukan pimpinan negeri, dan menjadi benteng mempertahankan parti ketika diserang.
"Jika peranan itu tidak dilaksanakan dengan berkesan, maka adalah tidak adil untuk menyalahkan presiden semata-mata atas segala kelemahan," katanya.
