Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan agar pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu meneliti setiap permohonan membina rumah ibadat dengan adil, telus dan tersusun.
Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Mohamad Munir Bani, berkata pihak istana tidak mahu ada sebarang peruntukan undang-undang diketepikan dalam menguruskan isu tersebut.
Katanya, Sultan Sharafuddin juga mahu aspek pemantauan dilakukan oleh pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan atau tanah persendirian dapat dibanteras serta dikawal.
Menurut Mohamad Munir, baru-baru ini Sultan Sharafuddin disembah maklum oleh kerajaan negeri berhubung maklumat keberadaan kuil Hindu yang dibina tanpa kebenaran di Selangor setakat 31 Jan lalu.
Katanya, sebanyak 687 kuil tanpa kebenaran dibina di Selangor membabitkan 388 di tanah milik kerajaan dan baki 299 lagi di tanah milik persendirian.
"Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu yang melibatkan kira-kira 11.3 peratus di Selangor.
"Jumlah ini pun tidak mengambil kira kuil di seluruh Selangor yang telah didirikan secara sah dan mendapat kebenaran pihak berkuasa negeri," katanya.
Isu pembinaan kuil haram menjadi panas sejak beberapa hari lalu sehingga membawa kepada penahanan sekumpulan penunjuk perasaan yang berhimpun di tengah Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.
Seorang pengawal keselamatan yang menjadi pengerusi sebuah kuil Hindu di Dengkil pula didakwa di Mahkamah Majistret Sepang semalam atas pertuduhan menceroboh.
Mohamad Munir berkata pendirian kerajaan pusat berhubung pembinaan rumah ibadat di negara ini memang selaras dengan dasar Selangor, iaitu menekankan kepentingan pematuhan undang-undang.
"Perkara ini juga harus dipatuhi dalam setiap pembinaan dan pembangunan rumah-rumah ibadat khususnya kuil-kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang," katanya.
Tambah Mohamad Munir, selaku ketua agama Islam di Selangor, Sultan Sharafuddin sentiasa mengambil berat aspek sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip toleransi yang menjadi teras keharmonian masyarakat di negeri itu.
"Baginda sentiasa menekankan bahawa setiap rumah ibadat perlu dibina berdasarkan permohonan yang dibuat dan mendapat kelulusan sah daripada PBT serta mengikut segala perundangan dan garis panduan yang telah ditetapkan," katanya.
Sultan Sharafuddin juga, kata Mohamad Munir, mengingatkan bahawa pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan atau melibatkan pencerobohan akan menimbulkan ancaman keselamatan.
"Sultan Selangor menegaskan agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran ini dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama dan telah menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat," katanya.
