Seorang pemimpin kanan PAS hari ini berkata partinya tidak akan campur tangan dalam pergolakan dalaman Bersatu, sekutu PN, yang melibatkan kem presiden Muhyiddin Yassin dan timbalan presiden Hamzah Zainudin.
Ketika ditemui Parlimen, Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan, yang telah beberapa kali menyertai Hamzah untuk sidang akhbar mingguan ketua pembangkang itu, juga enggan menyatakan pandangan peribadinya.
"PAS tidak sama-sekali tidak akan campur tangan atau bagi pandangan apa-apa isu dalaman Bersatu.
"Cuma harapan kita apa-apa berlaku dalam Bersatu diuruskan sebaiknya, untuk kepentingan bukan sahaja Bersatu tapi juga PN,” kata timbalan setiausaha agung PN itu kepada Malaysiakini.
"Sebab kemantapan parti-parti anggota PAS, Bersatu, Gerakan, MIPP itu penting untuk memastikan kemantapan PN yang menjadi harapan sebahagian besar rakyat Malaysia," tambahnya.
Awal hari ini, Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee, muncul sebagai pemimpin parti paling kanan yang menyeru peletakan jawatan Muhyiddin sebagai presiden.
Ahli Parlimen Beluran itu dalam satu kenyataan berkata bahawa tindakan lembaga disiplin parti memanggil Hamzah memberi gambaran kepada orang ramai bahawa Bersatu tertumpu pada menjaga kedudukan Muhyiddin, bukannya isu yang diperjuangkannya.

Secara berasingan, Naib Presiden Bersatu, Radzi Jidin, berkongsi puisi yang bertajuk "Peritnya Tiada Damai", dipercayai merujuk kepada pergolakan parti itu,
Radzi dan naib presiden ketiga Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, adalah antara wakil rakyat parti yang menghadiri perhimpunan di rumah Muhyiddin Ahad lalu.
Antara yang tidak hadir pertemuan itu adalah pemimpin Bersatu yang dilihat merupakan penyokong Hamzah.
Pertelingkahan dalaman Bersatu telah reda sedikit sejak beberapa bulan lalu, tetapi perbalahan yang jelas antara kem Muhyiddin dan PAS mengenai penguasaan PN telah mendedahkan keretakan selanjutnya dalam parti itu.
Sementara itu, Takiyuddin hari ini menegaskan bahawa sebarang keputusan mengenai pengerusi PN baru untuk menggantikan Muhyiddin hanya boleh dimuktamadkan pada mesyuarat majlis tertinggi gabungan itu yang akan datang, yang dijadualkan diadakan selepas 19 Februari.
"(Keputusan) di luar dari (mesyuarat) itu kita tak boleh pakai. Jadi sekarang ni kalau PAS diputuskan untuk memimpin PN, maka PAS akan mengemukakan nama pemimpin," katanya.
Setiausaha Agung PAS itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai temu bual Sinar Harian dengan Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man minggu lalu, bahawa parti itu didakwa telah menerima "restu" Muhyiddin untuk memegang jawatan pengerusi tanpa sebarang syarat.
Sumber yang rapat dengan Muhyiddin mendakwa bahawa PAS sekali lagi akan mencalonkan presidennya, Abdul Hadi Awang, untuk jawatan itu.
