Penduduk Taman Dato Harun, Petaling Jaya, hari ini berhimpun bagi membantah pembinaan sebuah kuil Hindu di kawasan itu dengan alasan komposisi demografi penduduk dan isu trafik.
Seorang penduduk yang mahu dikenali sebagai Roslan berkata penduduk tempatan tidak menerima sebarang notis awal dan hanya mengetahui tentang pembangunan itu semalam.
Ini katanya selepas beberapa penduduk melihat notis yang dipasang di tapak pembinaan kuil berkenaan.
Roslan, yang menetap di Taman Dato Harun lebih 50 tahun berkata pembinaan kuil tidak sesuai dengan kawasan yang majoriti penduduknya Melayu-Muslim.

“Kami berkumpul di sini untuk menyatakan rasa tidak puas hati dan mempersoalkan kenapa (kuil) ini dibina di sini.
“Kalau mereka mahu bina sesuatu, silakan, kami tidak membantah apa-apa, tetapi kawasan ini 95 peratus penduduknya Melayu.
“Kami cuma mahu tahu kenapa tiada wakil datang berunding dengan kami. Kami tidak tahu mengenai perkara ini dan hanya mendengarnya daripada pihak lain. Wakil rakyat kami pun tidak dimaklumkan, begitu juga penduduk kampung,” katanya kepada Malaysiakini.
Menurut notis yang dipasang oleh Pejabat Tanah Petaling di tapak pembinaan, lot berkenaan diperuntukkan bagi pemindahan Kuil Sri Maha Mariamman Desa Perangsang yang sebelum ini terletak di PJS 4.

Roslan mendakwa kuil itu perlu dipindahkan kerana dibina di atas tanah milik Majlis Agama Islam Selangor, yang diambil semula untuk memperluas kemudahan pengurusan tanah perkuburan di kawasan tersebut.
Penduduk berusia 57 tahun itu turut membangkitkan isu trafik, berkata kuil berkenaan akan terletak di kawasan komersial padat dengan tempat letak kereta terhad manakala jalan utama sering digunakan untuk perarakan Maulidur Rasul oleh komuniti setempat.
Pemerhatian Malaysiakini mendapati tapak kuil mempunyai satu laluan masuk yang sempit, terletak bertentangan dengan dewan kenduri perkahwinan serta beberapa restoran.
Adun PN campur tangan
Terdahulu, penduduk yang bimbang berkumpul di hadapan tapak pembinaan, dengan jumlah kehadiran meningkat kepada lebih 70 orang sekitar jam 10.30 pagi.
Penduduk dilihat berbincang sesama sendiri mengenai situasi berkenaan sambil menunggu Adun Taman Medan (PN) Dr Afif Bahardin tiba untuk menjelaskan isu yang dibangkitkan.
Tidak lama kemudian, wakil rakyat itu tiba dan memberi penjelasan kepada penduduk, mengakui kebimbangan mereka serta memaklumkan langkah yang akan diambil untuk membawa perkara itu kepada kerajaan negeri Selangor.

“Kami tidak menentang kewujudan rumah ibadat untuk kaum lain. Namun, lokasi dan sensitiviti perlu dihormati bagi mengekalkan keharmonian.
“Perkara ini perlu diambil kira oleh kerajaan negeri dalam proses pemindahan,” kata Afif sambil mencadangkan kawasan berhampiran seperti Taman Seri Manja dan PJS 4 yang mempunyai komuniti India lebih besar sebagai alternatif lebih sesuai.
Pemimpin Bersatu itu turut mengkritik kerajaan negeri Selangor kerana gagal menunjukkan keadilan prosedur dan tadbir urus baik apabila kelulusan diberikan tanpa dialog rasmi dengan penduduk, peniaga tempatan atau wakil rakyat.
Afif berkata dia telah menghubungi Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan akan menyerahkan surat hari ini bagi menuntut projek itu digantung atau dibatalkan serta-merta.
Dia juga menggesa sesi libat urus komuniti diadakan dan kerajaan negeri mengenal pasti lokasi lebih sesuai bagi Kuil Sri Maha Mariamman Desa Perangsang.
Cadang kawasan hijau
Sebagai cadangan balas, Afif mencadangkan tanah tersebut dijadikan kawasan hijau awam atau taman rekreasi untuk penduduk setempat.
“Pewujudan kawasan hijau baru di sini selari dengan prinsip pembangunan mampan, perancangan bandar dan aspirasi komuniti, sekali gus membantu mewujudkan persekitaran kehidupan yang lebih sihat dan harmoni kepada orang rama,” katanya.

Bantahan seperti ini bukan perkara baru bagi penduduk kawasan tersebut kerana kawasan itu pernah menyaksikan beberapa insiden ketegangan kaum sepanjang dua dekad lalu.
Pada 2001, jalan-jalan di Taman Dato Harun dan Kampung Medan menyaksikan pergaduhan yang mengorbankan enam nyawa serta mencederakan puluhan orang.
Tragedi yang dikenali sebagai rusuhan Kampung Medan itu berpunca daripada salah faham antara seorang pengawal keselamatan India dan sebuah keluarga Melayu, sebelum merebak menjadi keganasan selama lebih empat hari.
Secara berasingan pada 2015, satu protes turut diadakan di kawasan itu apabila kira-kira 50 orang berkumpul di luar sebuah gereja di Taman Medan untuk menuntut salib pada bangunan tersebut diturunkan kerana dianggap mengganggu sensitiviti umat Islam.
Jangan jadikan ‘eksperimen sosial’
Merujuk sejarah ketegangan itu, Afif mengingatkan kerajaan negeri Selangor supaya tidak melakukan apa yang disifatkannya sebagai “eksperimen sosial” dengan meletakkan rumah ibadat bukan Islam di kawasan majoriti Melayu-Muslim tanpa rundingan terlebih dahulu.
Katanya, reaksi komuniti berpunca daripada keinginan mengekalkan keharmonian yang telah lama terbina tetapi dirasakan diabaikan oleh keputusan dari atas.
“Saya bagi analogi mudah, jika ada kampung Cina di seberang Sungai Way, tidak masuk akal membina masjid di tengah komuniti bukan Islam, bukan?
“Begitu juga di Taman Dato Harun, di mana 95 peratus penduduknya Melayu-Islam, sebab itulah kami membantah.
“Bukan kami tidak biasa hidup bersama komuniti lain, tetapi keharmonian yang dibina bertahun-tahun di Taman Medan, khususnya di Taman Dato Harun, perlu dipelihara.
“Kami harap kerajaan negeri tidak melihat perkara ini sebagai eksperimen sosial dengan melaksanakan projek seperti ini di sini,” katanya.
