Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Didakwa ceroboh tanah: Penduduk Orang Asli direman hingga dua hari

Penduduk Orang Asli dari Kampung Jemeri, Rompin, yang ditahan polis atas dakwaan menceroboh tanah milik Sultan Pahang, direman selama satu hingga dua hari.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Rompin Sharif Shai Sharif Mondoi ketika dihubungi Malaysiakini, hari ini.

Menurutnya, Mahkamah Majistret Pekan membenarkan 17 penduduk wanita Orang Asli yang ditahan direman selama sehari dan akan dibebaskan hari ini.

"Bagi empat orang penduduk lelaki Orang Asli dibenarkan selama dua hari sehingga esok," katanya.

Kesemua mereka dibawa ke mahkamah bagi permohanan reman di hadapan Majistret Melody Wong Sze Woon.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan penahanan penduduk orang Asli itu semalam dilakukan kerana didakwa menceroboh tanah milik Sultan Pahang.

Menurut Sharif Shai, perkara itu dimaklumkan oleh wakil syarikat yang dilantik untuk mengusahakan kawasan ladang di tanah berkenaan.

"Wakil syarikat itu mendakwa sekumpulan Orang Asli menceroboh dan merosakkan palang besi serta memotong kelapa sawit di kawasan ladang milik Sultan Pahang seluas 718.281 hektar tanpa kebenaran.

"Geran tanah tertera nama Tuanku Sultan Pahang (Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, Malaysiakini melaporkan penduduk suku Orang Asli Jakun itu ditahan selepas bertindak merobohkan palang yang dibina di laluan masuk ke kawasan yang didakwa sebagai tanah wilayah adat kampung berkenaan.

Kesemua yang ditahan terdiri daripada empat lelaki dan 17 wanita berusia antara 26 hingga 60 tahun.

Kes disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS